Ustazah 2 Suami

KOTA BHARU: Seorang guru wanita yang berpengalaman lebih 10 tahun dalam bidang pendidikan agama dan berkelulusan Sijil Tinggi Ugama (STU) didakwa sanggup bersuami dua walaupun sudah rujuk kembali dengan suami pertama.

Difahamkan, perceraian wanita itu dengan suami pertama dianggap terbatal sebaik si suami berkata: ‘Kita ni kira rujuk dah ni’ sebelum dijawab isterinya dengan nada setuju: ‘Iyo (betul) ko (ke)?’.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

Kata-kata itu diungkapkan pasangan suami isteri itu beberapa hari selepas si suami melafazkan cerai talak satu di rumah mereka di Kampung Padang Bemban, 6 April lalu.

Suami wanita itu yang hanya mahu dikenali sebagai Mohamad, 36, mengakui menceraikan isterinya berusia 34 tahun dengan talak satu, namun mendakwa sudah rujuk kembali selang beberapa hari kemudian.

Katanya, perkataan rujuk itu dilafazkannya ketika mereka berdua mengadakan hubungan kelamin buat pertama kali selepas berpisah.



“Namun, saya kecewa kerana isteri merahsiakan tindakan kami rujuk semula daripada pengetahuan ibu dan keluarganya menyebabkan mereka hanya mengetahui perceraian kami.

“Sepanjang 12 tahun berkahwin, desakan dan campur tangan ibu mentua terhadap isteri menyebabkan mahligai bahagia yang kami bina runtuh,” katanya ketika ditemui di rumah keluarganya di Kampung Tegayong, Melor, dekat sini, semalam.

Selepas rujuk kembali, kata Mohamad, dia terus tinggal di rumah itu sebelum dihalau keluar pertengahan Julai lalu oleh seorang imam akibat didesak ibu mentuanya dengan alasan sudah bercerai.

Menurutnya, dia terkejut dengan perbuatan imam itu kerana walaupun sudah dijelaskan hubungannya dengan isteri masih sah, namun alasan itu tidak diendahkan.

“Berikutan itu, saya terpaksa akur dan dengan berat hati meninggalkan rumah itu sebelum dimaklumkan tiga anak saya bahawa ibu mereka sudah berkahwin dengan lelaki lain berusia 53 tahun dari Pasir Mas, 30 Ogos lalu.



“Saya yang terkejut mendengar berita itu kemudian menghubungi isteri bagi mendapatkan pengesahan.

“Isteri saya menjelaskan perkahwinannya dengan lelaki itu kerana terpaksa sedangkan saya masih suaminya yang sah,” katanya.

Kata Mohamad, dia difahamkan isterinya dan suami barunya itu dinikahkan abang kandung wanita itu yang juga seorang guru agama dengan bersaksikan imam terbabit.

Selain itu, sebelum berkahwin, keluarga wanita itu juga tergesa-gesa mendapatkan surat cerai daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK) pada 27 Ogos lalu.

Bagaimanapun, katanya, mereka gagal berbuat demikian kerana perceraiannya dan isteri sudah terbatal.



“Pada 1 September lalu, kira-kira jam 10 pagi, saya bersama pegawai JHEAIK ke Kampung Padang Bemban sebelum mendapati isteri dan suami barunya itu berada dalam rumah terbabit.

“Ketika diminta pegawai terbabit mengenai dokumen sah bagi mengesahkan perkahwinan isteri saya dengan lelaki itu, mereka berdua gagal memberikan dokumen sebagai bukti,” katanya.

Sementara itu, Pengarah JHEAIK, Ab Aziz Ab Rahman ketika dihubungi, berkata kes isteri bersuami dua itu kini menjadi kes mahkamah apabila suami pertamanya membuat laporan berhubung kejadian itu.

“Justeru, mahkamah akan memutuskan sama ada perkataan ‘rujuk’ yang dilafazkan suami pertama wanita itu sah atau sebaliknya.

“Jika mengikut hukum syarak, wanita itu tidak boleh berkahwin dengan mana-mana lelaki selagi tidak mendapat keputusan mahkamah berhubung status perceraiannya itu,” katanya.











No comments: