Canon Pixma MP530 - Pencetak 4 Fungsi Dalam Satu

KOMPUTER peribadi (PC) kini sudah menjadi suatu keperluan, justeru sebahagian besar kita kini mempunyai ruang khas untuknya.

Bagi mereka yang menggunakan PC untuk ‘mencari makan’, sudah tentu pelbagai kelengkapan berkaitan perlu diletakkan berhampiran bagi melicinkan tugasan, seperti mesin faks, mesin pengimbas dan mesin pencetak. Ini sudah tentunya memerlukan ruang lebih luas.

Menyedari masalah itu, Canon mengambil langkah proaktif dengan memperkenalkan mesin pencetak empat dalam satu yang turut berfungsi sebagai pengimbas, mesin faks dan penyalin.

Pertama kali diberikan peluang menggunakan perkakasan serba lengkap ini, penulis tidak dapat menafikan kemampuan model Canon Pixma MP530 yang berupaya menjimatkan ruang di dalam rumah.

Menekankan kepuasan bagi tugasan mencetak, model ini dilengkapi teknologi kepala pencetak FINE yang mampu menghasilkan titisan dakwat dengan resolusi sehingga 9,600 dpi.



Justeru, pemiliknya akan menikmati cetakan imej yang tepat secara saintifiknya, yang mana setiap cetakan imej akan dihasilkan hampir tepat dengan paparan yang sebenar.

Selain itu, teknologi FINE ini juga menawarkan kualiti cetakan pada kepantasan luar biasa, yang mana cetakan imej pada saiz 4 X 6 inci hanya memerlukan masa 51 saat.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

Lebih tepat lagi, model MP530 ini mampu menghasilkan 29 cetakan biasa (hitam putih) dan 19 cetakan berwarna dalam tempoh seminit.

Pada masa sama, ia turut dilengkapi Sistem Tangki Dakwat Individu yang menjimatkan kos dan selesa digunakan, yang mana sistem ini memastikan dakwat tidak akan dibazirkan sama sekali.

Melihat kepada fungsi keduanya, iaitu sebagai mesin penyalin, model ini mampu melaksanakan tugasan menyalin dua muka helaian secara manual, sekali gus menjimatkan kos penggunaan kertas.



Tidak melupakan pengguna perlu menjalankan tugasan secara pantas, fungsi penyalin MP530 mampu menyalin sehingga 28 helaian hitam putih dan 19 helaian berwarna dalam tempoh seminit.

Di sebalik saiznya yang menyenangkan itu, model ini mampu menjalankan tugasan menyalin mengikut kemahuan anda.

Contohnya anda mampu menyalin empat helaian muka surat di dalam satu muka, sekali gus menjimatkan kos penggunaan kertas.

Fungsi ketiga yang diketengahkan model ini adalah sebagai pengimbas, yang mana ia dilengkapi teknologi ADF yang mampu mengimbas sehingga 30 imej asal dalam masa yang sama.

Dilengkapi MP Navigator, anda boleh memindahkan pelbagai dokumen yang telah diimbas ke dalam fail PDF dan pada masa sama, anda boleh mencari fail PDF yang dicipta dengan menggunakan kata kunci yang anda letakkan.

Pakej Web Jualan

Selain itu, jika anda mahu melakukan imbasan imej pada saiz yang besar seperti A3 atau B4, dan tidak mempunyai akses kepada pengimbas bersaiz berkenaan, model ini adalah penyelesaiannya.

Anda hanya perlu melakukan imbasan pada separuh saiz sebenar dan kemudian mencipta komposit data ke dalam komputer peribadi. ‘

Fungsinya yang terakhir adalah sebagai mesin faks yang mana ia menawarkan kebolehan menghantar faks berwarna yang menyokong piawaian Super G3 bagi penghantaran berkelajuan tinggi.

Menakjubkan, dokumen biasa bersaiz A4 akan difaks dalam tempoh kira-kira tiga saat, sekali gus menjimatkan masa dan juga kos pemiliknya.



Pada masa sama, ia dilengkapi fungsi Mendail Pantas Berkod yang mampu menyimpan sehingga 40 nombor faks, yang memudahkan anda menghantar dokumen dengan lebih pantas.

Menariknya, ia turut dilengkapi kemudahan cetakan DVD/CD, yang mana teks atau imej boleh dicetak terus ke atas kedua-dua platform berkenaan, justeru anda tidak perlu mencetaknya di atas label ‘sticker’.

Secara keseluruhannya, pada harga kira-kira RM1,088, model serba lengkap ini tidak harus dilepaskan bagi anda yang mahu menjimatkan ruang di dalam bilik komputer, pada masa sama ia turut sesuai digunakan di dalam pejabat.





Spesifikasi Canon Pixma MP530

Dimensi: 468 X 467 X 263 mm

Berat : 12. 8 kg

Cetakan: 29 helai (hitam putih) 19 helai (warna) seminit

Imbasan: Resolusi 1,200 X 2400 dpi (maksimum)









No comments: