Teksi Meter Roket : 4 Kilometer RM60

KUALA LUMPUR: Mengejutkan apabila sebuah teksi beroperasi di sekitar ibu kota dikesan menggunakan ‘meter roket’ ciptaan sendiri yang boleh menyebabkan meter tambang berputar dengan laju sehingga mencapai RM60 bagi perjalanan sejauh empat kilometer saja.

Meter tambang teksi terbabit yang diubah suai hanya memerlukan pemandu menggosok seutas dawai yang dipasang di tempat tersorok menyebabkan ia berputar laju berbanding biasa tanpa disedari penumpang.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

Bagi mengelak taktik licik itu disedari penumpang dan pihak berkuasa, dawai yang diletakkan berhampiran tempat duduk pemandu berkenaan disorokkan di bawah getah pengalas kaki.

Dawai berkenaan disambung dengan wayar ke meter dan hujungnya pula disambungkan ke pedal pembuka but kereta.

Penggunaan ‘meter roket’ itu dikatakan popular di kalangan pemandu teksi tidak bertanggungjawab yang mempunyai niat tidak baik terhadap penumpang demi mengaut untung lebih.



Mereka biasanya memilih penumpang tertentu yang kurang arif mengenai selok-belok laluan di ibu kota, sebagai sasaran melakukan penipuan tambang menggunakan meter roket berkenaan.

Malah, wartawan Harian Metro yang melakukan ‘eksperimen’ bersama pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mendapati meter teksi berkenaan boleh mencecah sehingga RM60 untuk perjalanan dari Ibu Pejabat JPJ Wilayah Persekutuan di Wangsa Maju ke Seksyen 1 sejauh hanya empat kilometer.

Pengarah JPJ Wilayah Persekutuan, Nadzri Siron, berkata pihaknya mengesan perbuatan pemandu teksi berkenaan dalam operasi di Pasar Seni di sini, minggu lalu.

“Dalam operasi jam 10.30 pagi itu, JPJ melakukan pemeriksaan ke atas sebuah teksi dan mengesan satu wayar yang mencurigakan disambungkan pada meter teksi.

“Selepas diteliti, kami mendapati pemandu berkenaan mengubah suai meter untuk mendapatkan keuntungan lebih,” katanya ketika ditemui di sini.

Pakej Web Jualan

Berikutan itu, katanya, teksi berkenaan disita untuk tindakan lanjut manakala pemandunya disaman dan diberikan surat tunjuk sebab.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati pemandu berkenaan menyewa teksi itu daripada seorang pemilik dan JPJ akan memanggil pemilik kenderaan awam itu untuk diambil keterangan.

“Kami ingin mengingatkan pemandu teksi agar tidak melakukan perbuatan berkenaan kerana tindakan tegas menanti mereka.

“Perbuatan tidak bertanggungjawab segelintir pemandu teksi juga menyebabkan imej rakan setugas turut tercemar,” katanya.

Nadzri berkata, pemandu teksi dan pengguna yang mempunyai maklumat mengenai perbuatan itu boleh membuat aduan terus kepada Unit Aduan dan Siasatan JPJ di talian 03-40202223 dan 03-40236470 (selepas waktu pejabat).













No comments: