Jangan Lengah Tunai Zakat Fitrah

Dalam kerancakan umat Islam menjalani ibadat puasa Ramadan, ada satu lagi kewajipan yang mesti ditunaikan dalam bulan yang penuh berkat ini, iaitu zakat fitrah.

Mengenai berzakat ini, Rasulullah s.a.w bersabda: Sedekah yang diambil ia (zakat) daripada orang kaya di kalangan mereka dan dikembalikannya kepada orang fakir di kalangan mereka. (riwayat Bukhari)

Zakat fitrah ini pula adalah pelengkap kepada ibadat puasa Ramadan dan di negara kita, menunaikan ibadat ini bukanlah sukar kerana boleh dikatakan kita boleh menemui para amil bukan sahaja di masjid hatta di tempat tumpuan orang ramai seperti pusat beli-belah.

Bagi mengupas isu ini, wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN dan jurufoto ASWAD YAHAYA menemu bual Eksekutif Dakwah Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Ahmad Husni Abd. Rahman.



MEGA: Siapakah yang wajib membayar zakat fitrah ini?

AHMAD HUSNI: Bagi menjawab persoalan ini, elok kita merujuk kepada hadis Rasulullah s.a.w. Daripada Ibnu Umar bahawa nabi s.a.w memfardukan zakat fitrah dalam bulan Ramadan ke atas setiap manusia Muslim (tidak kira hamba atau merdeka, lelaki atau perempuan, kecil atau besar) yang dikeluarkan sebanyak segantang tamar atau makanan ruji. (riwayat Bukhari dan Muslim)

Berdasarkan hadis ini, dapat kita fahami bahawa zakat fitrah ini wajib dikeluarkan oleh setiap umat Islam. Cuma para fuqaha menetapkan yang afdal menunaikan fitrah ialah orang yang wajib atasnya memberi nafkah.

Contohnya, bagi anak-anak, yang wajib membayar fitrah ialah bapa, bagi isteri pula ialah suami. Bagaimanapun, anak-anak harus membayar fitrah untuk ayah atau bapa mereka.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket
Ahmad Husni Abd. Rahman,
Eksekutif Dakwah Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.


MEGA:
Mungkin persoalan seterusnya ialah siapakah yang wajib membayar fitrah bagi amah atau pembantu rumah kita?

AHMAD HUSNI: Dalam hal ini, Imam Al-Khatib Al-Syarbini dalam kitabnya Mughni al-Muhtaj menjelaskan ketua atau pemilik kepada amah atau pembantu rumah itu lebih afdal membayar zakat fitrah walaupun amah tersebut wajib membayarnya.



MEGA: Adakah orang yang hidup pada Ramadan tetapi meninggal sebelum masuk bulan Syawal turut wajib membayar fitrah?

AHMAD HUSNI: Dalam hal ini, ulama berpendapat, jika seseorang itu hidup pada Ramadan tetapi mati sebelum sampai waktu wajib menunaikan fitrah iaitu dari terbenam matahari hinggalah solat sunat aidilfitri, mereka ini tidak wajib membayar fitrah.

Bagi mereka yang hidup pada Ramadan dan sempat sampai ke waktu wajib walaupun berada di dalamnya sekejap contohnya beberapa minit pada waktu Maghrib malam 1 Syawal, golongan ini wajib menunaikan fitrah.

Bagi setiap anak yang dilahirkan pada akhir Ramadan iaitu sebelum waktu Maghrib terakhir Ramadan, golongan ini juga wajib dikeluarkan zakat fitrahnya. Tetapi jika anak tersebut lahir selepas Maghrib hari terakhir Ramadan maka tidak wajib fitrah baginya.

MEGA: Apakah waktu yang afdal membayar fitrah kerana masih ada di kalangan umat Islam menunggu waktu pagi hari raya untuk menunaikannya?

AHMAD HUSNI: Memanglah waktu yang paling afdal ialah pagi Hari Raya. Bagaimanapun, membayar fitrah pada waktu sebelum pagi Hari Raya adalah harus dan turut diberi pahala oleh Allah s.w.t.

Daripada Ibnu Abbas, baginda s.a.w bersabda, “Difardukan zakat fitrah untuk membersihkan jiwa orang yang berpuasa daripada perkara yang sia-sia dan bersifat dusta, ia juga sebagai makanan dan kelazatan kepada fakir miskin. Bagi sesiapa yang menunaikannya sebelum solat Aidilfitri maka zakatnya diterima dan barang siapa yang menunaikannya selepas daripada itu, ia hanyalah sedekah”. (riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah)

Namun, untuk mengelak daripada terlepas menunaikan rukun Islam yang keempat ini, adalah lebih baik umat Islam tidak menunggu ke waktu wajib untuk membayar fitrah. Lebih baik, ia ditunaikan awal sama ada seminggu atau sehari sebelum Aidilfitri untuk mengelak daripadanya timbul sebarang kesulitan.



MEGA: Ada umat Islam yang suka membayar zakat fitrah terus kepada individu tertentu tanpa melalui amil yang dilantik. Apakah kesan tindakan sebegini?

AHMAD HUSNI: Sebenarnya tidak ada larangan oleh mana-mana empat imam mazhab bagi mereka yang ingin membayar fitrah terus kepada penerima tanpa melalui amil. Apa yang penting ialah ibadat itu ditunaikan.

Bagaimanapun, Allah menyebut perkataan amil dalam firman-Nya: Sesungguhnya, sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang fakir, orang miskin, amil-amil yang mengurusnya, orang mualaf yang dijinakkan hati mereka, hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, orang yang berhutang, untuk dibelanjakan di jalan Allah dan orang yang musafir (yang terputus bekalan) dalam perjalanannya. (at-Taubah: 60).

Apabila amil disebut oleh Allah, maka kita harus menghargai peranan mereka sebagai salah satu asnaf yang layak menerima zakat dan sebagai petugas menerima fitrah. Lagipun, syariat Islam menetapkan zakat itu diambil daripada harta mereka bermakna ada orang lain yang mengambilnya.

Antara implikasi tindakan begini ialah orang miskin ini mempunyai perasaan malu yang tebal untuk meminta daripada individu. Bagaimanapun, perasaan malu itu kurang jika meminta daripada pemerintah (Baitulmal).

Kedua, kita memerlukan ilmu yang secukupnya untuk mengetahui siapakah golongan asnaf yang layak menerima zakat fitrah. Kebiasaannya, masyarakat umum tidak mempunyai ilmu ini. Apa yang membimbangkan kita ialah duit fitrah itu tidak sampai kepada golongan sasaran yang tepat.

Ketiga, apabila diserah kepada amil, maka wang tersebut akan diagih secara adil kepada kesemua lapan asnaf yang ditetapkan. Jika salah satu asnaf itu tidak ada, pengagihannya akan didahulukan kepada asnaf lain yang lebih berhak.



MEGA: Terdapat individu yang makan beras siam atau beras wangi tetapi membayar zakat mengikut kadar beras biasa. Adakah kadar ini bertepatan dengan syariat Islam?

AHMAD HUSNI: Para fuqaha memutuskan bahawa zakat fitrah itu berdasarkan makanan ruji tempatan. Kalau di Malaysia, kadarnya adalah mengikut harga beras yang ditetapkan oleh kerajaan.

Dari Abu Said al-Khudri, Rasulullah bersabda: Kami pada zaman Nabi mengeluarkan zakat daripada makanan ruji, waktu itu ialah gandum, kurma, kismis dan roti. (riwayat Bukhari)

Tidak semestinya kita membayar fitrah mengikut harga beras yang kita makan. Memadai kita bayar mengikut kadar harga beras yang dimakan oleh masyarakat secara umum.

Namun, bagi mereka yang makan beras wangi dan sebagainya, jika mereka membayar fitrah berdasarkan kadar harga beras tersebut adalah lebih afdal.

MEGA: Antara dilema golongan yang bekerja di ibu negara ialah memilih tempat membayar zakat sama ada di Kuala Lumpur atau di kampung. Apa penyelesaian dalam hal ini?

AHMAD HUSNI: Perkara ini tidak harus dijadikan isu. Soal hendak bayar di mana tidak patut timbul. Bagi zakat fitrah, ia boleh dijelaskan di mana-mana baik di kampung atau di bandar tempat kita bekerja.

Bagaimanapun, jika zakat harta, adalah lebih afdal menunaikannya di tempat kita mencari rezeki.



MEGA: Apakah ancaman Allah kepada mereka yang tidak menunaikan zakat fitrah?

AHMAD HUSNI: Allah memberi amaran keras kepada golongan ini dengan firman-Nya: Dan jangan sekali-kali orang yang bakhil dengan harta benda yang Allah kurniakan kepada mereka menyangka bahawa keadaan bakhil itu baik bagi mereka. Bahkan ia adalah buruk bagi mereka. Mereka akan dikalongkan (seksa) dengan apa yang mereka bakhilkan itu pada hari kiamat kelak. (ali-Imraan: 180)

Dalam ayat yang lain, Allah menjelaskan: Dan ingatlah orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkan kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya, (iaitu) pada hari dibakar emas dan perak (harta benda) itu dalam neraka jahanam lalu diselar dengannya dahi mereka dan rusuk mereka serta belakang mereka (sambil dikatakan kepada mereka): “Inilah apa yang telah kamu simpan untuk diri kamu sendiri, maka rasalah (azab) dari apa yang kamu simpan itu. (at-Taubah: 34 & 35)

Dalam satu hadis daif disebutkan bahawa puasa orang yang tidak membayar zakat fitrah itu tergantung-gantung antara langit dan bumi.










No comments: