Jangan Desak Erra

SEMEMANGNYA pelakon dan penyanyi jelita ini seorang yang begitu tenang. Ketika dirinya dihambat pelbagai persoalan yang menuntut jawapan pasti dari bibirnya, dia masih mampu bertahan.

Langsung tidak melarikan diri, sebaliknya Erra Fazira betah melayan setiap pertanyaan yang keluar daripada mulut pihak media. Cuma berbeza daripada pertemuan terdahulu, Erra yang ditemui ketika sesi rakaman program raya terbitan TV3, Ole-Ole Raya lebih senang jika ditanya mengenai urusan kariernya.

Cerita pertunangannya dengan Ketua Pegawai Operasi Suria FM, Engku Emran Engku Zainal Abidin yang hangat diperkatakan ketika ini, malah terdengar khabar mereka bakal menjalin ikatan pada 7 September ini (esok) dibiarkan Erra berlalu tanpa jawapan pasti.

Bagi Erra, dia lebih selesa bersikap adil kepada semua pihak media apatah lagi selepas tindakannya mengundang hanya media tertentu ketika kekecohan hubungannya dengan pelakon, Hans Isaac, tidak lama dulu membuatkan ramai berkecil hati.

Tidak mahu kesilapan yang sama berulang, Erra berkata, perkara mengenai urusan peribadinya akan diperjelaskan apabila tiba masa yang bersesuaian kelak.



“Saya berhutang janji yang sama dengan semua pihak. Justeru, saya senang untuk berkongsi dengan semua pihak media serentak jika berlaku sesuatu yang baik dalam kehidupan saya. Saya harap semua pihak faham dengan situasi yang saya lalui ini.

“Saya tidak mahu terkena lagi. Dulu ada pihak media berkecil hati dan marah-marah apabila mereka tidak dijemput pada sidang media penjelasan hubungan saya dengan Engku Emran, tetapi kali ini saya tidak mahu perkara itu berulang lagi.

“Saya tidak mahu membelakangkan pihak yang bertanggungjawab dalam memacu karier seni kerana tanpa mereka saya tidak mungkin berada di sini. Cuma saya berharap sangat jangan terus didesak kerana saya akan berterus terang apabila tiba masanya nanti,” katanya, pantas meminta supaya persoalan mengenai hubungannya dengan jejaka itu ditamatkan setakat itu saja.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

Meninggalkan pertanyaan seterusnya hanya dengan senyuman, seri di wajah Erra jelas menterjemahkan kebahagiaan yang sedang menghuni sudut hatinya. Jelas kontroversi dan episod hitam yang cuba mengaburi perjalanan indahnya sebagai anak seni langsung tidak membekas di hati Erra.

Kata anak kelahiran Sungai Choh, Rawang, Selangor itu, dia sentiasa memandang kehidupan daripada sudut positif. Biar ada tangan kejam yang cuba menariknya ke bawah, Erra tidak akan membiarkan dirinya tewas dengan tuntutan emosi.

“Saya hanya mahu terus fokus untuk melicinkan lagi karier seni. Perkara negatif itu biarlah berlalu. Untuk apa saya terus memikirkan perkara yang sudah selesai dan berlalu jika itu hanya akan memberi tekanan kepada diri sendiri,” kata Erra yang baru menyempurnakan penggambaran filem antarabangsa, Hidden.



Kekasih baru, syarikat rakaman pun baru

KELAHIRAN album Ya Atau Tidak, tahun lalu menandakan berakhirnya kerjasama Erra dengan syarikat rakaman antarabangsa, Sony BMG Music Entertainment. Seraya itu juga Erra mengucapkan selamat tinggal kepada syarikat berkenaan untuk beralih dan mencuba nasib di payung baru.

Barangkali ia tidak segah syarikat terdahulu yang mempunyai rangkaian meluas di seluruh dunia, namun Erra mempunyai alasan tersendiri mengapa dia menerima tawaran daripada syarikat rakaman tempatan, Suria Records (SRC).

“Mereka menunjukkan dedikasi serta kesungguhan untuk meneruskan kelangsungan kerjaya nyanyian saya. Jujurnya, ketika dilamar SRC saya langsung tidak membuat perbandingan dengan syarikat rakaman terdahulu kerana apa yang penting adalah perancangan mereka untuk membina karier nyanyian saya.

“Mereka ada perancangan yang teliti dan itu membuatkan saya tertarik untuk bersama SRC,” katanya mengenai syarikat rakaman yang pernah menaikkan nama Datuk Siti Nurhaliza ketika permulaan karier nyanyian penyanyi itu.

Sebagai permulaan, Erra akan memasuki studio rakaman untuk merakamkan sebuah lagu raya yang bakal dimuatkan dalam album kompilasi Aidilfitri, disusuli pembikinan album terbaru tidak lama lagi.



Ketika ini, proses pengumpulan material album sulungnya bersama SRC sedang dijalankan dan kata Erra, album itu akan menggunakan khidmat komposer dua negara iaitu Malaysia dan Indonesia.

Tambah Erra, dia ingin lari daripada konsep album terdahulu dan berkemungkinan mencuba sentuhan yang mempunyai elemen rock sebagai pembaharuan.

“Saya mahukan kelainan dan proses itu tidak mudah. Mungkin mengambil sedikit masa tetapi saya tidak kisah asalkan produk yang dihasilkan itu memberi kepuasan kepada kedua-dua pihak,” katanya.

Ditanya mengenai CicakMan 2 yang menyaksikan pengarahnya, Yusry memilih pelakon sinetron popular Indonesia, Tamara Blezinsky untuk membawakan watak Rrama, Erra berkata, dia tidak kecewa meskipun peranan itu adalah antara yang menjadi idamannya.



Baginya, setiap apa yang berlaku ada hikmahnya dan perancangan CicakMan 2 yang beberapa kali tertunda menyebabkan Erra tidak mampu memberi komitmen ketika penggambaran sekuel CicakMan itu dimulakan.

“Saya tidak pernah menerima sebarang tawaran rasmi daripada mereka, sebaliknya hanya cakap-cakap mulut. Dan apabila tarikh penggambaran makin dekat, kami nampaknya tidak menemui kata sepakat. Tidak mengapa mungkin bukan rezeki saya.

“Namun saya bangga kerana peranan itu dibawakan oleh Tamara yang juga pelakon kegemaran saya. Saya percaya dia mampu memberi kejutan untuk watak berkenaan,” katanya.

Cuci Mulut; Erra, Hans Putus Cinta, Erra Kata; "Itu Gosip Bohong!" & Erra Tetap Laris!


Pakej Web Jualan

Profil Erra Fazira

Nama penuh: Fazira Wan Chek

Nama komersial: Erra Fazira

Tarikh lahir: 9 Februari 19734

Umur: 33 tahun

Tempat lahir: Sungai Choh, Rawang, Selangor

Kerjaya: Pelakon, penyanyi, penerbit dan ahli perniagaan

Pencapaian: Miss Malaysia/World (1992), Queen Voice Of Asia di Khazaksthan, Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia (Soal Hati dan Hingga Ke Hujung Nyawa), Pelakon Filem Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (sebanyak tujuh kali)

Antara filem: Sembilu, Sembilu II, Tragedi Ok tober, Gerak Khas The Movie, Maria Mariana, Maria Mariana II, Gemilang, Pasrah, Soal Hati, Soalnya Siapa, Kuliah Cinta, I Know What U Did Last Raya, Lady Boss, Hingga Ke Hujung Nyawa, Cinta Kolesterol, Janji Diana, KL Menjerit 1, Persona Non Grata, Tujuh Perhentian, Mr Cinderella, Mr Cinderella II, Putih (Filem Animasi), Potret Mistik, Pengantin Popular, Castello, Sembilu 2005, Gila-Gila Pengantin, Khabie Kushie Khabie Igam, Lost & Faun, Hidden

Album: Erra Fazira Mini Album, Aku Dan Dia, 2.5 Sayang, Kini, Sampai Bertemu, Kini Kembali dan Ya Atau Tidak.

Program TV: Fesyen Tempo dan Selebriti X.








Sumber : Berita Harian Edisi 06-09-2007




Komen Izalsyah; "Malas nak komen la! Kita tunggu dan lihat je ehh."




No comments: