Erra... Hatinya Belum Dimiliki

HARI ini ramai sekali artis baru muncul dalam dunia seni namun satu perkara yang tidak ada dalam diri mereka adalah kejelitaan sejati seperti mana yang menjadi milik Erra Fazira. Terbukti selepas sekian lama Erra, 33, melepaskan gelaran ratu cantiknya kepada pelapis di bawah, kecantikan yang dikurniakan kepadanya tidak pernah pudar. Malah pelakon terkenal itu semakin anggun dan lebih prihatin menjaga imej serta penampilan diri sejak melancarkan produknya sendiri, FerraKosmoLook (Ferra).

Terbukti sejak kembali hidup solo, Erra tambah yakin mengatur langkah bukan saja dari aspek ketrampilan diri malahan agenda tugasnya yang berjaya memasuki fasa terbaru.

"Sejak ada Ferra, Erra semakin sibuk dengan jadual road tour ke seluruh negara bagi memperkenalkan produk ini yang menggunakan teknologi terbaru dari Jerman. Erra bangga kerana selepas dilancarkan tahun lalu, kami sudah mempunyai seramai 500 stokis di seluruh Malaysia. Sehingga penghujung tahun ini, Erra harap dapat menambah sehingga 1,000 orang. Buat masa ini FerraKosmoLook beribu pejabat di AmpWalk, Jalan Ampang dengan 10 kaki tangan sepenuh masa.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

"Sebenarnya niat Erra menceburi bidang ini hanyalah untuk berkongsi pengalaman dengan wanita selain memperbanyakkan lagi jumlah golongan Bumiputera dalam bidang perniagaan," ujarnya kepada Bintang Popular, baru-baru ini.

Erra akui cukup teliti dan tegas dalam hal pemilihan produk yang dipasarkan kepada pengguna. Syarat pertama Erra sebelum Ferra ditubuhkan ialah produk itu mestilah diperbuat daripada bahan yang selamat dan bersih. Erra tidak mahu produk sulungnya itu disamakan dengan sesetengah produk kecantikan lain yang datang dari kilang sama namun hanya berselindung di bawah jenama berbeza.





Berdebar tunggu tiga filem terbaru


CUKUP popular menerusi filem trilogi Sembilu, Sembilu II dan Tragedi Oktober, Erra baru saja selesai penggambaran dua filem terbaru, Anak, terbitan Boxlite Film Sdn Berhad arahan Barnie Lee serta Cuci (Tall Order Productions Sdn Bhd, arahan Hans Isaac).

"Anak sudah selesai penggambaran Januari lalu dan akan menemui penonton tahun ini juga, cuma tarikh masuk panggung belum dipastikan. Begitu juga dengan Cuci yang selesai penggambaran Mac lalu," katanya turut berdebar menanti tayangan Los Dan Faun arahan Afdlin Shauki.

Ternyata Erra punya alasan tersendiri untuk menerima dua skrip genre berbeza ini. Anak bergenre misteri manakala Cuci sarat komedi ringan.

"Kalau boleh sebelum mengundur diri dari lakonan, Erra teringin cuba pelbagai watak dan jadi lebih versatile lagi," katanya yang pernah melakonkan karakter gadis lasak dalam Janji Diana, perempuan gemuk (Cinta Kolesterol) dan nenek dalam Hingga Hujung Nyawa.

Anak antara lain mengisahkan bagaimana seorang gadis mangsa rogol akhirnya mengandung. Gadis malang itu juga diperdaya sehingga menggugurkan kandungannya. Tanpa disedari, jasad bayi yang tidak berdosa itu dijadikan alat untuk tujuan amalan sihir. Lama kelamaan, semua yang terbabit dalam perbuatan itu mula diganggu kejadian menggerunkan. Sementara Cuci pula berkisar mengenai empat pemuda yang berlumba-lumba mendapatkan tender cukup lumayan.



Sibuk dengan lakonan dan perniagaan, tidak bermakna nyanyian dipinggirkan. Penyanyi lagu Jendela Hati dan Yang Terindah Hanya Sementara ini menganggap nyanyian sebagai nadi dalam kerjaya seninya.

"Macam roller-coaster, hidup kita ada naik turunnya. Begitu juga dengan kerjaya nyanyian. Kalau tidak sibuk berlakon, Erra akan menyanyi, begitulah sebaliknya. Kebetulan kontrak dengan Sony-BMG sudah habis, Erra sedang mempertimbangkan beberapa tawaran daripada syarikat lain," katanya.





Turut gembira kejayaan Yusry


MENJAWAB soalan lebih peribadi, Erra yang pernah dikatakan intim dengan Hans Isaac menafikan hatinya sudah dimiliki lagi selepas berpisah dengan Yusri Abdul Halim.

"Kalaulah ada seru jodoh, kahwinlah Erra nanti. Tapi biarlah jodoh itu datang dengan sendiri. Bagi Erra, gosip hanyalah mainan dunia artis dan jangan kita ambil serius. Apa yang penting, Erra tak mahu tergopoh-gapah untuk berkahwin lagi. Tunggulah dulu," jelasnya.

Ditanya pencapaian Yusry yang semakin membanggakan sehingga menerima anugerah Oxford Young Achievers Awards, baru-baru ini, Erra berkata; "Yusry memang layak menerima anugerah seperti itu. Kalau hendak tahu, itulah Yusry. Dia sangat tekun dan dedikasi dengan kerjanya. Erra bangga Yusry cemerlang dalam bidang seni dan akademik.

"Kami berdua masih berkawan dan sentiasa menyokong kerjaya masing-masing. Kemesraan antara kami hanyalah sebagai rakan seperjuangan, tidak lebih daripada itu," kata Erra dengan bersungguh.






Info Erra Fazira

Nama sebenar: Fazira Binti Wan Chek

Tarikh lahir: 9 Februari 1974

Tempat lahir: Sungai Choh, Rawang, Selangor, Malaysia

Kerjaya: Aktres, penyanyi, model dan usahawan

Mula terkenal: Selepas memenangi Miss Malaysia/World 1992. Dia juga pemenang tempat ketiga Miss South East Asia 1992/1993.

Mempunyai album Erra Fazira (1994), Aku dan Dia (1995), 2.5 Sayang (1996), Kini (1999 ), Sampai Bertemu (2002), Kini Kembali (2003), Ya Atau Tidak (2006).

Antara lagu popular Pasrah, Jendela Hati, Hadirnya, Pertemuan, Lepaskanku, Sampai Bertemu, SMS Saja, Ucapkanlah (duet dengan Yusry) Jika Kau Tiada (duet dengan Yusry) Bermula Detik Ini dan Nada Kasih (duet dengan Rio Febrian).

Pernah tujuh kali dinobatkan sebagai Pelakon Filem Wanita Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABP-BH).

Pernah bertunang dengan bekas vokal utama Wings, Awie.

Bernikah dengan Yusry, pada 15 Jun 2003 dan bersanding pada 21 Jun 2003. Mereka bercerai secara rasmi pada 16 Jun 2006.






Sumber : Berita Minggu Edisi 03-06-2007



Kata Izalsyah; "Hati Ku Belum Dimiliki..." Wakakakakaka





No comments: