Pusara Lebuhraya

TAIPING: “Ketika tiba di tempat kejadian, kami dapat melihat mayat seorang wanita masih memeluk erat anaknya di kerusi dengan kepala si ibu tersepit antara tingkap bas dan batu yang dilanggar bas itu.

“Ketika itu, keadaan kanak-kanak terbabit agak parah. Kami tak tahu keadaannya selepas itu kerana semua mangsa dihantar ke Hospital Taiping untuk rawatan,” kata Penguasa Balai Bomba Taiping, Mazlan Zainal.

Harian Metro difahamkan, wanita itu ialah Sri Asiah, 32, dari Medan, Indonesia yang turut terbunuh bersama suaminya, H Abu Bakar S AG, 27.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

Anak mereka hanya dikenali sebagai Abdul Karim, 4, dan menerima rawatan rapi di Hospital Taiping.

Mazlan berkata tragedi itu adalah kemalangan paling ngeri pernah dilihatnya sepanjang bertugas dengan pasukan Bomba dan Penyelamat.



Katanya, sukar untuk menceritakan keadaan penumpang bas itu ketika anggotanya tiba di tempat kejadian tetapi keadaannya memang menyayat hati.

Kemalangan bas ekspres terburuk dalam sejarah negara itu mengorbankan 20 penumpang dan sembilan cedera, termasuk tiga parah.

Kejadian berlaku kira-kira jam 4.30 pagi semalam di Kilometer 229 Lebuhraya Utara-Selatan di Bukit Gantang, dekat sini.

Bas ekspres dalam perjalanan dari Melaka menuju ke Butterworth itu dikatakan menuruni laluan berbukit sebelum terbabas lalu merempuh penghadang jalan sebelah kiri dan terjunam dalam parit sedalam lima meter.

Mazlan berkata, ketika tiba di tempat kejadian, dia melihat bas ekspres itu terbalik dalam parit selepas dipercayai merempuh satu batu besar di tebing sebelah kiri jalan.



Katanya, dia dan 41 anggota dari tiga balai bomba termasuk Kuala Kangsar dan Sungai Siput melihat bumbung bas ekspres itu tercabut, manakala semua penumpang masih berada di kerusi masing-masing tetapi menghempap antara satu dengan lain akibat tekanan kuat ketika bas itu merempuh batu besar.

“Kami menerima panggilan orang ramai kira-kira jam 4.45 pagi dan tiba 15 minit kemudian bersama 41 anggota dan tiga jentera bomba serta terus memulakan kerja menyelamat dan mengeluarkan mangsa.

“Malangnya, kami dapati lebih separuh daripada penumpang sudah meninggal dunia, manakala yang lain berada dalam keadaan tidak sedarkan diri,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini.

Mazlan berkata, pemandu bas yang turut maut dalam nahas itu dipercayai mengantuk dan mungkin tidak perasan haluan bas yang dipandunya sebelum melanggar dua penghadang jalan serta merempuh sebuah batu besar lalu terjunam dalam parit itu.

“Punca kejadian tidak dapat dipastikan, tapi berdasarkan saksi, bas itu dipandu secara tidak stabil kerana dilihat ke kiri dan kanan jalan beberapa kali sebelum terbalik apabila tayarnya termasuk dalam longkang kecil di tepi lebuh raya,” katanya.



Sementara itu, Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Raja Musa Raja Razak, berkata semua mangsa yang terbunuh membabitkan 18 rakyat Malaysia dan dua warga Indonesia.

Menurutnya, sembilan yang cedera ialah lima rakyat tempatan, dua warga Vietnam, seorang warga Nepal dan seorang warga Indonesia.

“Kebanyakan penumpang maut berikutan bas ekspres itu remuk dan bumbungnya tercabut, mengakibatkan ada penumpang tercampak dan sebahagiannya tersepit dalam bas itu,” katanya.

Penumpang yang cedera dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Taiping.










No comments: