Ina, Suhaimi - Tak Naik Pelamin

NOR Diana Mohd Naim, 23, pernah mengimpikan sebuah majlis perkahwinan nan indah. Bersanding di atas pelamin bersama lelaki yang dicintainya, tetapi semua itu hanya tinggal angan-angan buat gadis dari Kota Tinggi ini.

Bakal disatukan tanggal 12 Ogos nanti di samping lelaki yang baru dikenalinya, Mohd Suhaimi Saad, 27, pasangan itu memilih meraikannya cukup hanya dengan majlis ringkas yang dibenarkan syarak.

Ketika sesi fotografi ini berlangsung, Ina sempat berseloroh pada juru foto kami supaya mengambil gambarnya yang sedang duduk di atas pelamin di dalam butik Lat’s Collections milik Kak Sofie.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket
GAMBAR (kiri), TERTARIK: Hiasan baju pengantin pikat hati Ina.
GAMBAR (kanan), RAJA SEHARI: Jurusolek tampil keayuan Ina.



“Abang, ambillah gambar Ina atas pelamin sebab selepas ini Ina tidak merasa bersanding atas pelamin,” katanya berseloroh.

Di tanya tidakkah dia kesal kerana impiannya untuk bersanding tidak tercapai, Ina yang baru saja mengikat tali pertunangan dengan Suhaimi dua bulan lalu berkata, sebagai isteri dia harus menurut kata suaminya.



“Mungkin dulu Ina tidak tahu hukum. Sekarang Ina berada di jalan yang benar, apa yang dia cakap itu adalah ilmu. Ina kena terima ilmu itu dengan terbuka.

“Pada majlis pernikahan nanti, Ina akan khatam al-Quran. Kami juga akan buat tahlil dan kenduri doa selamat serta sembahyang berjemaah,” katanya yang akan dinikahkan di Masjid Jamek Felcra Sungai Ara, Kota Tinggi.

Pada malam itu nanti, Suhaimi akan menyerahkan wang hantaran bernilai RM10,000. Sementara barang hantaran pula akan dibawa pada majlis persandingan mereka nanti yang dijadual berlangsung selepas Aidilfitri. Pada majlis pernikahan mereka, kedua-dua mempelai memilih fabrik berwarna putih dan ungu.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

Ina kurang setuju apabila ramai mengatakan dia seperti tidak sabar untuk mendirikan rumah tangga. Mereka bukan tidak sabar mahu berkahwin, tetapi selepas mengambil kira beberapa faktor jelas sekali perkahwinan adalah jalan penyelesaian.

“Bukan kami tidak sabar mahu berkahwin. Banyak benda yang kami perlu jaga, orang ramai tidak tahu tetapi mereka hanya tahu cakap belakang saja. Suhaimi kena jaga sebab dia ikon nasyid, jika tidak nanti nama Ina dan dia akan buruk. Nama Hijjaz juga akan tercalar, begitu juga dengan nama keluarga kami.

“Disebabkan itu, kami tidak pernah keluar berdua. Selalunya kami akan keluar dengan sepupu dan adik Ina sekali, tetapi kita tidak tahu niat jahat orang. Silap hari bulan mereka ambil gambar kami berdua dan disebarkan di internet. Lagipun selepas berbincang kami dapati benda yang baik eloklah disegerakan,” kata Ina yang kelihatan semakin berseri-seri sejak menjalinkan hubungan dengan Suhaimi.



Buang Jauh-Jauh Episod Duka

NAMPAKNYA Ina sudah dapat melupakan episod duka yang pernah menerjah hidupnya kira-kira setahun lalu. Pada 10 Julai lalu, cukuplah setahun ikatan pertunangannya dengan Mawi putus. Namun, Ina tidak mahu mengingati peristiwa pahit itu lagi.

Dia mengakui sedang bahagia dengan Suhaimi, walaupun berkenalan mereka cukup singkat tetapi mereka masih lagi dalam proses untuk mengenali hati budi masing-masing. Ina yang sudah pun mengikuti kursus kahwin di Zura’s Akademi di Bangsar pada 22 Ogos lalu tidak tahu lagi akan menetap di mana.

Selepas nikah nanti, Suhaimi akan berpindah ke rumah sewa Ina yang terletak di Kota Damansara kerana Suhaimi diberikan cuti selama enam bulan daripada mengajar. Suhaimi bercadang untuk berhenti mengajar di Sekolah Rendah Agama, Al Irsyad, Kuantan tetapi tidak dibenarkan guru besar sekolah berkenaan.

Jadi Suhaimi meminta cuti selama tiga bulan tetapi diberikan lima bulan oleh pengetuanya. Selepas kahwin Suhaimi bercadang untuk berhenti mengajar di sana dan khabarnya mahu mengajar di sekolah sekitar Kuala Lumpur saja kerana tidak mahu berpisah jauh daripada bakal isterinya.

“Dulu tak ada isteri jadi tidak fikir sangat apabila ditugaskan ke Kuantan tapi sekarang ini sudah ada isteri, susah pula hendak berulang alik ke Kuala Lumpur selalu. Saya masih minat mengajar cuma sekarang ini bergantung kepada keadaan. Sejak bertunang dengan Ina rezeki saya semakin lebat.

“Kedudukan ekonomi kami pun belum kukuh lagi, kalau seorang tinggal di Kuantan dan seorang lagi di Kuala Lumpur kos lebih tinggi. Jadi kami akan fikirkan cara untuk atasi masalah itu,” kata Suhaimi yang tidak berdebar menghadapi hari indah dalam hidupnya cuma mengakui dia risau kerana tanggungjawabnya sudah bertambah.







No comments: