Bahaya Anggap Kemiskinan Sebagai Takdir

KEMISKINAN adalah bahaya besar yang mengancam keamanan, kesejahteraan dan kestabilan masyarakat. Abu Hurairah pernah meriwayatkan bahawa Abu Zar berkata, “Saya hairan melihat sebahagian orang yang tidak memiliki makanan di rumahnya. Bagaimanakah mereka dapat bersabar dan tidak keluar rumah dengan menghunus pedang dan menimbulkan rusuhan?”

Seseorang mungkin boleh bersabar menghadapi kemiskinan jika dia menyedari punca sumber penghasilan dan terlampau ramainya manusia yang memerlukan. Tetapi jika kemiskinan itu timbul akibat kesilapan disengajakan ekoran penindasan segolongan kecil manusia menikmati kemewahan dengan mengorbankan kepentingan golongan majoriti, maka kemiskinan seperti inilah yang membangkitkan emosi dan kemarahan setiap orang. Ia akan menimbulkan fitnah dan kegoncangan yang boleh meruntuhkan nilai kasih sayang serta persaudaraan dalam masyarakat.

Selagi ada dalam masyarakat perbezaan sosial yang ketara sehingga sebahagian orang tinggal dalam pondok dan sebahagian lain tinggal di istana, sebahagian orang tidur beralaskan tanah, manakala sebahagian lain mendirikan bangunan tinggi, selagi itu api kebencian dan kemarahan akan menyala dalam diri masyarakat.



Kemiskinan juga berbahaya terhadap kedaulatan, kebebasan dan kemerdekaan bangsa. Semangat untuk membela maruah bangsa sukar ditemukan di dalam dada seorang miskin yang sedang memerlukan bantuan.

Dia menyedari bahawa negara dan bangsanya sendiri tidak mempedulikan nasibnya. Negaranya tidak memberi makanan dalam keadaan lapar, tidak melindunginya dalam kecemasan dan tidak pernah menghulurkan bantuan untuk menariknya keluar daripada keperitan hidup.

Apabila satu negara bersikap keras terhadap golongan miskin dan tidak pernah mempedulikan keadaan mereka, tidak mustahil mereka enggan mengorbankan darahnya kepada negara.

Pakej Web Jualan

Islam tidak hanya menentang golongan yang berpendapat kemiskinan dan penyeksaan jasmani adalah sesuatu yang suci dan boleh membawa kepada ketinggian rohani. Islam juga menentang golongan kedua yang memandang kemiskinan dengan penuh kepasrahan dan menganggapnya sebagai nasib yang sudah ditakdirkan Allah.

Pandangan seperti ini menjadi penghalang terhadap usaha ke arah memperbaiki keadaan, menegak keadilan dan mewujudkan jaminan kesejahteraan yang diidamkan.

Pada satu masa, Umar al-Faruk pernah membatalkan niatnya memasuki negeri Syam. Beliau memerintahkan tenteranya meninggalkan negeri itu serta-merta kerana khuatir mereka akan terdedah kepada wabak yang sedang berjangkit di dalam negeri itu.



Salah seorang sahabat mencela tindakan beliau itu seraya berkata, “Wahai Amirul Mukminin, adakah engkau melarikan diri daripada takdir Allah? Beliau menjawab, “Ya, kami melarikan diri daripada takdir Allah yang ingin menuju takdir Allah yang lain.”

Nabi Muhammad SAW pernah ditanya dengan soalan yang serupa apabila Baginda berusaha mengubati satu penyakit, “Wahai Rasulullah SAW adakah anda berusaha menolak takdir Allah?” Baginda SAW menjawab, “Justeru usaha untuk mengubati penyakit itu juga adalah takdir Allah!” (Riwayat Ahmad dan Ibnu Majah)

Jika kemiskinan diibaratkan sebagai satu penyakit maka ketahuilah bahawa Allah sudah menurunkan cara atau sistem yang boleh menyembuhkannya. Jika kita menganggap kemiskinan itu adalah takdir Allah, maka kita mesti memahami bahawa usaha membanteras kemiskinan dan melepaskan manusia daripada cengkamannya juga adalah takdir dan kehendak Allah.









No comments: