Hidup Mewah Tipu Melayu

KUALA LUMPUR: Dengan menubuhkan syarikat dikenali dengan nama jolokan ‘Syarikat Tipu Melayu’ atau STM, seorang dalang sindiket ‘kad koyak dan kaya’ mampu bergaya dengan memiliki dua kereta mewah jenama BMW dan Mercedes Benz model CLK berharga hampir RM1 juta.

Perancang utama sindiket itu yang dikenali Jack, 29, pernah beberapa kali diberkas pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Wilayah Persekutuan.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

Bagaimanapun, dia tidak serik, malah dikesan menjalankan penipuan dengan menawarkan hadiah wang tunai serta kereta mewah palsu, sejak lebih empat tahun lalu.

Difahamkan, sindiket itu yang kerap menukar nama syarikat dan berpindah-randah bagi mengelak serbuan KPDNHEP mensasarkan golongan Melayu kelas pertengahan untuk diperdaya membabitkan jumlah penipuan RM200,000 sebulan.

Ketua Penguat Kuasa KPDNHEP Wilayah Persekutuan, Othman Nawang, berkata sindiket licik terbabit ditumpaskan selepas pihaknya mengesan ‘kad koyak dan kaya’ yang menawarkan hadiah Proton Perdana V6, Toyota Vios, Perodua ViVA, motosikal dan wang tunai puluhan ribu ringgit.



Menurutnya, mereka menggaji pekerja berusia awal 20-an yang dihantar memerangkap mangsa di pusat beli-belah, stesen minyak, kawasan meletak kenderaan dan terbaru di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT).

“Kegiatan syarikat itu terbongkar apabila kami menyerbu markas mereka di Bangunan Brunsfields, Jalan Cheras, pagi semalam.

“Operasi diketuai Pegawai KPDNHEP Wilayah Persekutuan, Azlin Kamaruddin bersama sembilan anggota,” katanya.

Beliau berkata, hasil serbuan, seorang pengurus lelaki berusia 30-an dan kerani wanita berusia 20-an ditahan.

Menurutnya, semakan pada resit pembayaran dan dokumen pada komputer mendapati kebanyakan mangsa adalah Melayu termasuk penjawat awam.



“Kami turut menyita beberapa unit kerusi mengurut, alat refleksologi kaki, alat penapis air, mesin mengempis perut, ketuhar gelombang mikro dan pelbagai produk lain buatan China. Semua barang yang dirampas itu dianggarkan bernilai lebih RM350,000,” katanya.

“Kebanyakan mangsa terjerat selepas terpikat dengan kad itu yang diberi percuma untuk dikoyak.

“Mangsa biasanya diyakinkan kononnya kad misteri yang bakal dikoyak itu mengandungi hadiah Proton Perdana V6 bernilai lebih RM100,000 yang akan diserahkan serta-merta.

“Mereka disyaratkan membuat pembelian terlebih dulu produk kesihatan seperti kerusi urutan, alat mengurut kaki dan refleksologi serta barangan elektrik dengan jumlah RM5,000. Pembayaran boleh dibuat secara tunai atau kad kredit,” katanya.

Mangsa yang membuat pembayaran hanya menyedari ditipu apabila kereta atau motosikal dijanjikan tidak diserahkan, malah diminta mengoyakkan kad lain yang memberikan hadiah barangan elektrik lebih murah daripada nilai wang dibayar sebelumnya.



Bagaimanapun, mangsa tidak menerima hadiah kenderaan dijanjikan dengan alasan kad hadiah pertama tidak sah diperlakukan selepas kad kedua dikoyak.

“Siasatan lanjut mendapati syarikat itu pernah diserbu beberapa kali sebelum ini, namun kerap mengubah taktik serta nama syarikat. Oleh itu, kami panggil mereka STM,” katanya syarikat yang diserbu semalam hanya cawangan kecil di Cheras.

Katanya, dipercayai terdapat ibu pejabat mereka yang belum dapat dikesan penguat kuasa KPDNHEP.

Othman berkata, sindiket itu dikesan selepas seorang gadis yang bekerja sebagai kerani ditipu di stesen LRT Maluri pada 20 Julai lalu.

“Dalam kejadian itu, mangsa yang berusia 25 tahun ditawarkan seorang wanita memilih satu daripada kad hadiah misteri yang didakwa mengandungi hadiah lumayan sempena ulang tahun syarikat itu.



“Mangsa yang yakin dengan helah itu memilih satu kad sebelum terkejut kerana memenangi Proton Perdana V6. Berikutan itu, ahli sindiket terbabit memujuk mangsa ke pejabatnya di Jalan Cheras untuk mengambil hadiah berkenaan dengan menaiki teksi,” katanya.

Menurutnya, wanita terbabit mendakwa mangsa perlu mempunyai sedikit wang bagi urusan dokumen mendapatkan hadiah terbabit.

“Mangsa dibawa ke sebuah bank di Jalan Pudu untuk membuat pengeluaran wang RM2,888 sebelum ke pejabat syarikat kad koyak dan kaya itu. Dia diarah menandatangani dokumen.

“Bagaimanapun, mangsa diarah mencabut satu daripada lima kad lagi sebelum mendapati kandungan hadiahnya hanya alat urutan kaki dan penapis air. Mangsa yang sudah membayar wang tidak diberikan kereta dijanjikan, sebaliknya membawa pulang barangan elektrik terbabit,” katanya.

Mangsa yang menyedari ditipu membuat laporan di Balai Polis Cheras.

Pemilik syarikat itu boleh didakwa mengikut Seksyen 25(4) Akta Jualan Langsung 1993 yang jika disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM100,000 dan tiga tahun penjara.








No comments: