Cinta Pandang Pertama Ning Baizura

Amat bijak penyanyi tersohor ini menutup kisah cinta dengan jejaka pilihan hatinya Omar Sharif Christopher Layton Dalton daripada dihidu oleh pihak media.

Pengakuan Ning Baizura baru-baru ini untuk bertunang dengan jejaka yang berasal dari Nottingham, England itu setelah sepuluh bulan berkenalan memang agak memeranjatkan, sedangkan tiada sebarang cerita tentang kisah cintanya didedahkan di mana-mana media sebelum ini.

Walau apapun, malam tadi (19-07-2007) bertempat di kediaman bapa Ning sendiri, Sheikh Hamzah Sheikh Mohd, di Seksyen 18, Shah Alam, penyanyi berusia 32 tahun ini akhirnya selamat melangsungkan pertunangan dengan Omar di dalam suasana sederhana namun tetap meriah.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket
Ning kelihatan anggun mengenakan jubah rekaan Michael Ong.



Tercapai jua hasrat Ning untuk mengadakan majlis tersebut di rumah bapanya itu dengan penuh adat tradisi Melayu di mana selain bapa dan ibu Ning, Satilah Abdullah, majlis itu juga turut dihadiri oleh kira-kira 300 orang tetamu terdiri daripada ahli-ahli keluarga, sanak-saudara serta kenalan rapat pasangan tersebut.

"Saya memang amat gementar, tapi pada masa yang sama memang saya amat gembira kerana dipertemukan dengan Omar dan ini adalah detik yang amat kami nantikan.



"Sepuluh bulan kami cuba mengenali hati masing-masing dan ketika ini kami masih melakukan perkara yang sama. Saya tidak pernah jatuh cinta pandang pertama, tetapi kali pertama saya bertemu Omar, saya tahu dia ada pakej kriteria lelaki yang saya cari.

"Mungkin itulah yang dinamakan jodoh dan pertemuan. Saya amat yakin, we are going to be together. Insyaallah, kami merancang untuk berkahwin kemungkinan pada pertengahan tahun depan," ujar Ning yang ditemui sejurus selepas berlangsungnya majlis tersebut.

Ning dan Omar mula menjalinkan hubungan sejak September tahun lalu di majlis perkahwinan rakannya di Bali.

Jejaka berasal dari Nottingham, England itu bertugas sebagai Pengarah Perunding Asia Pasifik di Landmark Graphics Malaysia Sdn Bhd sejak dua tahun lalu dan telah memeluk Islam pada awal Julai lepas.

Pada majlis pertunangan yang berlangsung sekitar jam 9.30 malam itu, pihak lelaki yang diwakili oleh Datuk Ramli Shamsuddin menghadiahkan lima dulang hantaran berbalas tujuh daripada pihak perempuan termasuk sebentuk cincin berjenama Cartier.



Antara barang hantaran daripada Ning adalah sirih junjung, sejadah dan Al-Quran, kain sepersalinan dan songket Atikah, bola golf dan paatchi chocolate manakala antara barangan hantaran oleh pihak lelaki ialah sirih junjung, kek coklat serta telekung dan sejadah.

Upacara menyarung cincin pula disempurnakan oleh ketua rombongan pihak lelaki merangkap ibu angkat Omar iaitu Datin Farida Hashim yang mewakili keluarga Omar di Nottingham yang tidak dapat hadir ke majlis itu kerana terikat dengan urusan masing-masing.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket
Datin Farida Hashim selaku ketua rombongan pihak lelaki merangkap ibu angkat Omar menyarungkan cincin pertunangan di jari Ning.



Farida juga turut bertindak selaku perancang majlis pertunangan tersebut di mana hiasan pelamin, bunga dan dulang hantaran bagi kedua-dua belah pihak diaturkan sepenuhnya oleh Farida sendiri.

Apa yang menarik, di perkarangan rumah turut diletakkan skrin besar yang menayangkan upacara tersebut memandangkan ketika majlis berlangsung hanya ahli keluarga dan jurugambar dibenarkan masuk disebabkan ruang rumah yang agak sempit.

Omar juga dibenarkan menyertai upacara tersebut atas persetujuan keluarga pihak perempun yang ingin memberi peluang kepadanya melihat sendiri adat tradisi upacara itu, walaupun jika mengikut tradisi dia tidak dibenarkan berbuat demikian.



Ning yang kelihatan anggun mengenakan jubah berwarna krim rekaan Michael Ong, sedondon dengan Omar yang mengenakan baju melayu dengan warna yang sama berkata, proses 'lamaran' yang dibuat oleh Omar amat berbeza.

"Dia 'melamar' ayah saya dulu dan sebenarnya dia masih belum melamar saya, mungkin dia ingin tunggu dan buat di satu tempat yang romantik," kata Ning sambil tersenyum.

Namun, ibu bapa Ning dan pihak media yang memenuhi ruang rumah tersebut akhirnya menjadi saksi apabila Omar kemudiannya secara gentleman meluahkan hasratnya melamar Ning di hadapan semua yang berada di situ.

"Saya rasa mungkin ini adalah masa yang sesuai. 'Ning, will you be honoured to marry me?'," luah Omar sambil diiringi sorakan pihak media.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket
Ning dan Omar pada majlis pertunangan mereka.



Walaupun lamaran itu tidak termaktub di dalam tradisi adat Melayu, namun jelas terpancar riak kegembiraan di wajah Ning apabila dia membalas lamaran itu dengan jawapan "Of course!"



Ning bagaimanapun berkata, dia agak sedih kerana keluarga Omar tidak dapat menghadirkan diri pada majlis pertunangan tersebut.

"Saya merancang untuk melawat mereka nanti kemungkinan pada awal Ogos depan. Tapi, keluarga dia memang ok, dan kami selalu berbual secara online dengan menggunakan web camera.

"Insyaallah, saya ingin bawa mereka datang pada majlis perkahwinan kami kelak," kata Ning yang masih belum bersedia untuk mendedahkan lagi jumlah hantarannya.

Ning juga turut menambah, dia sudah bersedia untuk cuba membimbing Omar mempelajari dengan lebih mendalam lagi tentang Islam.

"Selepas ini, saya sendiri yang akan menemaninya hadiri kelas agama sebab saya pun harus belajar banyak lagi. Kita akan cuba bantu antara satu sama lain," jelas Ning yang akan meneruskan kerjaya seninya kelak walaupun sudah berkahwin.



Tambah penyanyi dan pelakon ini, Omar sendiri sentiasa memberikan sokongan penuh terhadap kerjayanya walaupun sehingga hari ini, tunangnya itu belum berkesempatan melihat Ning beraksi di pentas.

"Dia tidak pernah lihat saya menyanyi di pentas. Insyaallah, pada 30 Ogos ini adalah hari lahirnya dan dia memang berhajat untuk lihat saya perform. Selepas ini, saya juga akan bawa dia ke mana-mana show saya jika berkesempatan," kata Ning.

Dalam pada itu, Omar yakin keputusannya memilih Ning adalah tepat, sejak pertemuan pertama mereka lagi tidak lama dulu.

"Saya akui ini adalah cinta pandang pertama. Dia seorang wanita yang bijak, berdikari, suka tersenyum, cantik dan amat memahami diri saya.

"Saya sudah bersedia untuk menjadi suami dan saya yakin ia akan menjadi satu perjalanan hidup yang menarik buat kami ," kata anak bongsu daripada tiga beradik ini yang menggemari lagu Breath Again dari album Ning berjudul Erti Pertemuan.



Komen Sheikh Hamzah Sheikh Mohd (ayah Ning);

"Bila pertama kali Ning beritahu saya dia menyukai seseorang, saya memang tidak sabar untuk bertemu dengannya dan akhirnya saya berkesempatan bertemu dengan Omar pada pertengahan Jun lalu.

"Saya jarang berjumpa orang Inggeris seperti Omar. Dia memang berbeza. Pertama kali berjumpa dia, saya lihat dia menggeletar.

"Banyaklah juga soalan yang saya tanyakan pada dia. Tetapi kemudiannya dia sudah mula banyak bercerita terutamanya tentang keluarganya."



Cerita Satilah Abdullah (ibu Ning);

"Ada sesuatu yang menarik tentang Omar. Dia seperti ada 'aura' tersendiri. Dia seorang yang penyayang, baik hati dan simple.

"Saya rasa inilah yang diperlukan Ning kerana Ning seorang yang glamor dan dia memang perlukan seseorang yang 'biasa'. Kami memang mahu seseorang yang lihat Ning bukan sebagai bintang tetapi lebih kepada hati budinya."

Pakej Web Jualan





No comments: