Syurga Bukan Untuk Pekerja Malas

Menyorot kembali zaman kegemilangan Islam, telah terbukti bahawa budaya kerja Islam mampu mencapai cita-citanya. Rasulullah SAW telah membuktikan kecemerlangan ini dengan menjalankan tugasnya dengan baik sehingga tertubuhnya kerajaan Islam Madinah.

Kerajaan diasaskan Baginda itu mempunyai sistem pentadbiran dan perundangan sistematik yang merakamkan satu daripada daya usaha kegemilangan tamadun manusia. Kejayaan dakwah dan pembinaan negara membuktikan kecemerlangan mutu kerja dakwah Baginda.

Bagaimanakah falsafah budaya kerja mampu membentuk pencapaian mutu serta kuantiti hasil kerja yang hebat? Kekuatan budaya kerja Islam sebenarnya berasas kepada keimanan yang mencakupi suatu pengertian luas dan tidak ada pada ideologi ciptaan manusia.

Banyak membuat pertimbangan negatif terhadap Islam berasaskan iman dan akidah adalah faktor yang melembabkan mutu kerja serta menjejaskan prestasi perkembangan ekonomi. Alasannya, apabila iman sudah menjadi tunjang kehidupan, seseorang itu tidak mempunyai kebebasan kerana dikatakan tidak lagi mementingkan pekerjaan atau kehidupan. Kesannya mereka menjadi malas dan tidak produktif.

Bagi mereka yang yakin, iman dan akidah adalah faktor pendorong semangat untuk bekerja. Ia adalah semangat dalaman untuk melakukan kerja bukan kerana dipaksa oleh majikan atau untuk ganjaran, gaji dan kenaikan pangkat.



Mereka yang benar-benar beriman juga faham setiap kerja yang berfaedah di dunia ini akan mendarat ganjaran pahala pada akhirat kelak. Syurga bukan tempat orang yang malas dan menganggur! Tetapi adalah tempat orang rajin bekerja, sempurna serta ikhlas.

Di samping kesempurnaan kerja, mereka juga bekerja dengan teliti serta menggunakan setiap tenaga dan kemahiran yang ada demi memajukan masyarakat dan syiar Islam. Mereka teliti dalam memenuhi waktu dan sentiasa berakhlak dengan tugas yang dipertanggungjawabkan.

Ini membuktikan falsafah kerja Islam mampu meningkatkan mutu kerja. Walau bagaimanapun, budaya kerja itu tidak lagi menjadi landasan dalam suasana bekerja hari ini. Budaya kerja moden mempunyai pelbagai kelemahan seperti ketiadaan akhlak bekerja, pertikaian antara pekerja dan majikan serta pembaziran. Keadaan ini sudah pasti menimbulkan implikasi dan masalah bagi merealisasi pentadbiran dan pertumbuhan ekonomi.

Iman dan pekerjaan mempunyai kaitan langsung. Maka jelaslah iman dan kerja adalah dua aspek yang tidak dapat dipisahkan jika matlamatnya mahukan sebuah negara yang benar-benar cemerlang.










No comments: