Serina Berdikari Dari Kecil

DALAM usia muda, anak dara tukang masak terkenal Chef Wan, Serina Redzuawan, sudah boleh berbangga dengan pencapaiannya hari ini. Jika Chef Wan, melakar nama dalam bidang masakan, Serina, 24, pula dikenali menerusi dua cabang seni, lakonan dan pengacaraan.

Lebih bermakna, Serina kini sudah mempunyai produksi sendiri, Real Wonders yang ditubuhkan dengan duit sendiri bersama rakan kongsi sejak setahun lalu.

Bagaimanapun, semua yang dikecapi Serina hari ini berkat kerja kerasnya sejak tujuh tahun berkecimpung dalam bidang seni.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

“Saya sudah dididik hidup berdikari sejak kecil. Terus terang saya katakan, saya ingin berjaya atas titik peluh sendiri tanpa menumpang nama atau tuah bapa.

“Papa juga pernah beritahu, dia bangga dengan saya kerana saya tidak pernah ‘merengek’ meminta wangnya. Saya masih ingat lagi, papa pernah menangis pada pagi Aidilfitri bila saya berinya duit raya.



“Sebagai anak, sudah sewajarnya kita memberi kesenangan pada ibu bapa yang sudah tua,” katanya.

Malah, sejak hari pertama Serina melangkah menjadi anak seni lagi, dia juga menghadiri uji bakat sendirian tanpa ditemani bapanya.

“Papa memang banyak beri nasihat dan perangsang tapi selepas itu saya sendiri kena usaha untuk menggapai apa yang direncanakan itu.

“Mungkin orang kata, saya hanya cakap berapi-rapi tapi belum tahu hasilnya lagi.

Saya pula tidak pernah peduli apa yang orang cakap. Apa yang penting, saya akan kotakan apa yang saya rancangkan itu,” katanya.



Serina berkata, dia menceburi semua cabang seni seperti drama, filem, teater dan mengacara untuk mencapai misi menjadi anak seni serba boleh.

“Saya tidak pula tamak merebut semua tawaran yang datang kerana saya sedar kemampuan diri sendiri.

“Saya tidak mahu dikenali sebagai artis tidak berdisiplin pula jika tidak boleh komited pada kerja yang diserahkan. Sebagai artis, saya kena ada disiplin. Selain itu, saya tidak ingin cari musuh dalam industri seni.

“Maklumlah, saya cari makan dalam bidang seni dan saya akan pastikan orang puas hati dengan komitmen kerja yang saya berikan,” katanya.

Ketika menjayakan sesi fotografi yang diatur Rap dengannya baru-baru ini, Serina tampil dengan imej rambut pendek yang diwarnakan perang.



“Alhamdulillah, rezeki saya tidak pernah putus tahun ini.

“Saya sedar ramai peminat yang tertanya-tanya kenapa saya jarang muncul di kaca televisyen? Sebenarnya saya banyak terbabit dalam projek pengacaraan terutama di Thailand dan Brunei.

“Masa saya juga banyak dihabiskan di luar negara. Saya akui rindu untuk menjayakan sesi fotografi dengan pihak media seperti dulu,” katanya.

Seperti bapanya, Serina juga mula melebarkan sayapnya menimba pengalaman bekerja di luar negara.

“Sudah dua kali saya menjadi pengacara dalam program masakan di Singapura dan Brunei Darussalam. Antaranya, Program Jalan-Jalan Cari Makan Antarabangsa.



“Saya juga baru pulang dari Brunei selepas lebih sebulan di sana kerana menjayakan program 26 episod berbentuk masakan dan pelancongan, Periuk Malaysia Belanga Brunei.

“Selesai penggambaran itu, saya ke Pulau Redang, Terengganu pula menjayakan drama Sea Providence usaha sama syarikat tempatan dengan sebuah stesen televisyen popular di China, CCTV.

“Drama ini mengisahkan tragedi tsunami dan bakal disiarkan di dua negara iaitu Malaysia menerusi RTM dan China,” katanya.

Projek lain ialah drama produksi Indonesia untuk Enak Sama Enak dan Cinta Sempadan yang membabitkan penampilan pelakon Thailand.

Mengenai projek baru pula, Serina berkata, dia sibuk menjayakan penggambaran telefilem drama Aku Anak Anugerah terbitan Imagines Pictures untuk saluran RTM.



“Apa yang menarik perhatian saya untuk berlakon dalam cerita ini ialah skripnya bagus. Saya bawa watak Manisah, perempuan GRO yang diselamatkan lelaki bisu.

Cerita ini menimbulkan keinsafan buat saya kerana baru saya tahu sukar untuk jadi orang bisu.

“Saya juga berpeluang belajar bahasa isyarat untuk berkomunikasi dengan orang bisu dalam cerita ini. Selain itu, ramai pelakon baru dalam cerita ini antaranya, pendatang baru berbakat besar, Hanis Kamal Bakar,” katanya.

Dalam pada itu, Serina berkata, banyak lagi projek baru yang menantinya tapi masih dalam peringkat perbincangan.

“Antaranya projek drama membabitkan pelakon Thailand dan Malaysia pada Jun nanti dan projek filem seram. Selain itu, saya juga impikan untuk buat projek Samarinda dengan saluran TV3,” katanya.



Sementara itu, Serina memang tidak berahsia hatinya sudah dimiliki.

Maklumlah, hubungan cinta yang terjalin selama setahun itu direstui ibu dan bapanya.

“Dia lulusan universiti luar negara dan baru saja bertugas sebagai jurutera di sini.

Kami berdua saling menyayangi antara satu sama lain dan saya harapkan ini cinta terakhir saya.

“Mengikut perancangan, saya ingin menamatkan zaman bujang sebelum usia mencecah 30 tahun. Tapi soal jodoh ini kita serahkan kepada Tuhan.

“Saya juga tertawan dengannya kerana dia pandai menghormati ibu bapa saya dan pandai sejukkan hati saya yang panas.

“Dia juga memahami kerjaya saya sebagai anak seni. Kalau tak jumpa sebulan pun dia ‘cool’ lagi dan ia menyerlahkan sifatnya yang lebih matang berbanding usianya,” katanya.




Pofil

NAMA PENUH: Serina Redzuawan

USIA: 24 tahun

TARIKH LAHIR: 1 Jun 1983

TEMPAT LAHIR: Hospital Sentosa Kuala Lumpur

PENDIDIKAN: Sijil Pengurusan Hotel dan Pelancongan di Sekolah Antarabangsa Legend

STATUS: Bujang

PROFESION: Pengacara dan pelakon

PENGACARAAN: Tommy & Oscar, Top Bollywood, Jalan-Jalan Cari Makan

Antarabangsa, Trek Kembara, Ala Bufet, Telebriti, Mango TV dan Galaksi.

TEATER: Teater Bangsawan Tengku Anum, Bangsawan Naga Chini dan Dejavu

DRAMA: Lebih 40 drama antaranya, Astana Idaman, Cinta Sempadan, Kasih Nurlisa, Skuad Elite, Cinta Gila, Nun Di Sana Cintaku, Rita &Raihan, Amukan Puaka, Kasih Di bawah Bayu, Janji Tinggal Janji, Tak Tercapai Akalmu dan Zon 606

FILEM: Tujuh Perhentian, Hingga Hujung Nyawa, Potret Mistik, Tangkai Jering, Bujang Senang dan Mr Cinderella








Sumber : Harian Metro Edisi 05-06-2007



Kata Izalsyah; "Pun berdikari juga."




No comments: