3 Perkara Perlu Diamalkan Peniaga

PERNIAGAAN adalah suatu kegiatan yang amat dianjurkan Islam kepada umatnya. Ini kerana aktiviti perniagaan menjanjikan hasil pulangan berlipat ganda kepada peniaga yang berusaha bersungguh-sungguh. Tidakkah Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud: “9/10 rezeki itu adalah datang daripada perniagaan.” (Hadis riwayat Tirmizi)

Di samping itu, medan perniagaan juga adalah antara tempat turunnya limpahan rahmat Ilahi kepada Muslim yang melakukan kebajikan dalam bidang perniagaan. Sehubungan itu, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Allah memberikan rahmat-Nya pada setiap orang yang bersikap baik ketika menjual, membeli dan membuat suatu kenyataan.” (Hadis riwayat Bukhari).

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket
“9/10 rezeki itu adalah datang daripada perniagaan.” (Hadis riwayat Tirmizi)


Di dalam al-Quran, salah satu terminologi yang sering digunakan dalam helaian al-Quran untuk memerihalkan amal salih demi meraih keredaan dan rahmat Ilahi adalah perniagaan. Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang selalu membaca kitab Allah dan tetap mendirikan solat serta mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka secara sembunyi atau secara terang-terangan, mereka (dengan amalan yang demikian) mengharapkan sejenis perniagaan yang tidak akan mengalami kerugian; supaya Allah menyempurnakan pahala mereka dan menambahkan mereka dari limpah kurnia-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi sentiasa membalas dengan sebaik-baiknya (akan orang-orang yang bersyukur kepada-Nya).” (Surah Faathir, ayat 29-30)

Walaupun perniagaan adalah satu bidang yang sarat dengan risiko dan cabaran sentiasa berhadapan dengan kemungkinan untung dan rugi, namun naluri dan fitrah manusia masih cenderung dan menginginkan keuntungan daripada perniagaan itu. Malah, kalau boleh, jiwa manusia mengidamkan keuntungan berlipat ganda.

Oleh sebab itu, terdapat sebahagian manusia yang sanggup dan tergamak menghalalkan segala macam cara demi meraih keuntungan berlipat ganda. Natijahnya, ada peniaga sengaja memanipulasi situasi kenaikan gaji kakitangan kerajaan dengan menaikkan harga barangan keperluan asas sehingga membebankan pengguna.



Tidak kurang juga ada peniaga melakukan penipuan dalam timbangan dan ada pula sanggup memakan riba yang terlarang di samping melakukan amalan rasuah demi kepentingan peribadi dan keuntungan segera.

Sehubungan itu, Allah berfirman yang bermaksud: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).” (Surah al-Baqarah, ayat 188)

Perlu diinsafi bahawa keuntungan menurut perspektif al-Quran tidak hanya terbatas dalam perkara yang bersifat material dan duniawi saja, malah ia turut merentasi sempadan kepada perkara bersifat rohaniah dan ukhrawi bernilai abadi.

Pengertian ayat 29 dari surah Faathir menegaskan bahawa Allah akan memberikan ganjaran yang tidak terhingga kepada orang yang melakukan transaksi perniagaan dengan tiga amalan utama iaitu membaca dan bertadabbur al-Quran, menyegerakan pelaksanaan solat dan menafkahkan sebahagian harta dimiliki kepada golongan yang memerlukan.





Al-Quran


Membaca dan memahami al-Quran adalah satu kewajipan yang sewajarnya dilakukan setiap Muslim pada setiap masa dan ketika. Ini kerana al-Quran adalah kitab panduan hidup serba lengkap, di dalamnya terdapat pelbagai pengajaran, hukum hakam, peringatan dan juga sebagai kurikulum kehidupan untuk diterjemahkan dalam konteks realiti kehidupan semasa di samping menjawab pelbagai persoalan hidup, baik yang bersifat peribadi, keluarga, masyarakat sosial mahupun negara.

Peniaga yang sentiasa membaca dan memahami al-Quran akan menjadikan al-Quran sebagai imam dan pembimbing ke arah menjalankan aktiviti perniagaannya dengan penuh jujur, adil dan saksama. Al-Quran akan bertindak sebagai perisai bagi seorang peniaga daripada melakukan penipuan, penyelewengan, rasuah dan lain-lain amalan yang dilarang syarak.

Bukankah Allah berfirman maksudnya: “Sesungguhnya al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang amat betul (agama Islam), dan memberikan berita yang menggembirakan orang yang beriman yang mengerjakan amal salih bahawa mereka beroleh pahala besar.” (Surah al-Isra', ayat 9)





Mendirikan Solat


Solat pula adalah tiang seri agama Islam. Sesiapa yang mendirikan solat bermakna dia telah menegakkan agama Islam. Sehubungan itu, Islam amat menganjurkan umatnya supaya menyegerakan pelaksanaan solat apabila masuk waktunya.

Hal ini kerana menyegerakan solat yang disertai pula dengan kekhusyukan yang mendalam akan melahirkan ketenangan jiwa dan juga kekuatan jiwa yang berupaya menepis pelbagai macam godaan dan cabaran hidup.

Peniaga yang solatnya khusyuk akan tercegah daripada perbuatan keji dan mungkar seperti mana ditegaskan Allah melalui firman-Nya yang bermaksud: “Bacalah dan ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari al-Quran, dan dirikanlah solat (dengan tekun), sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedah dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.” (Surah al-Ankabut, ayat 45)





Harta


Menafkahkan sebahagian harta dimiliki untuk kepentingan golongan lebih memerlukan seperti fakir miskin, anak yatim, ibu tunggal, pesakit yang memerlukan sumber kewangan bagi menampung kos perubatan mereka dan lain-lain lagi adalah antara amalan yang amat dituntut Islam. Amalan menafkahkan harta pada hakikatnya akan mengembangkan dan juga menambahkan keberkatan harta yang dimiliki itu.

Dalam Islam, harta bukanlah sesuatu dilarang kepada umatnya untuk mencari, memiliki dan menggunakannya dalam kehidupan seharian. Malah, Islam menganggap harta itu sebagai urat nadi kehidupan yang akhirnya akan membawa kesejahteraan hidup di dunia dan juga di akhirat di samping ia juga adalah sebahagian daripada kepentingan individu dan masyarakat umum.

Allah berfirman maksudnya: “Dan janganlah kamu berikan (serahkan) kepada orang yang belum sempurna akalnya akan harta (mereka yang ada dalam jagaan) kamu, (harta) yang Allah telah menjadikannya untuk kamu semua sebagai asas pembangunan hidup kamu; dan berilah mereka belanja dan pakaian dari pendapatan hartanya (yang kamu niagakan) dan juga berkatalah kepada mereka dengan kata-kata yang baik.” (Surah al-Nisa', ayat 5)

Demikianlah konsep perniagaan yang tidak pernah kerugian menurut perspektif al-Quran dengan melaksanakan prinsip perniagaan mengikut syarak demi meraih keuntungan duniawi dan juga menjejaki keredaan Ilahi di akhirat nanti.




No comments: