Ally Iskandar Elak Soal Jodoh

PADA usia 31 tahun, tentunya soalan cepu mas bagi pengacara rancangan Malaysia Hari Ini (MHI), Ally Iskandar, apabila pulang ke kampung halaman ialah sama ada dia sudah pun menemui calon pilihan hati, atau apakah dia kini sudah bersedia untuk bergelar seorang suami?

Ally sendiri mengaku, pertanyaan sedemikian sudah semestinya muncul soalan kedua daripada ibu bapanya selepas bertanya khabar, setiap kali dia menjenguk mereka.

“Jika dulu, bolehlah saya memberikan alasan masih menunggu (Datuk) Siti Nurhaliza datang meminang, tetapi kini apabila Siti pun sudah berkahwin, entah apa lagi alasan yang harus saya beri,” katanya bergurau.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket
Ally Iskandar yang segak bergaya.


Kata Ally, seboleh-bolehnya dia akan cuba mengelak sebaik mungkin apabila soal jodoh cuba dibangkitkan keluarga dan saudara. Jelasnya, bukan memandang remeh hal berkaitan perkahwinan, namun apabila jodohnya belum kesampaian, dia tidak berbuat apa-apa.

“Soal jodoh bukannya boleh dipaksa-paksa,” kata jejaka yang turut bergelar produser kepada rancangan yang mendapat perhatian antara 600 hingga 700 ribu penonton setiap kali bersiaran pada waktu pagi.



Pemuda yang murah dengan senyuman ini juga menjelaskan, dirinya kini masih kekosongan kerana belum ada wanita yang benar-benar melekat di hatinya walaupun dia sendiri tidak kurang menjadi bahan gosip bercinta dengan artis. Pelakon Fasha Sandha ialah antara paling hangat dikaitkan dengan jejaka ini.

“Kami berdua masih berkawan seperti biasa. Begitupun, persahabatan kami ada batas dan hadnya. Hendak terlalu rapat, masing-masing sibuk dengan kerjaya. Dalam bidang kerja saya, rasanya sukar untuk saya terlalu rapat dengan sesiapa. Namun, jika persahabatan itu mempunyai potensi untuk pergi lebih jauh, pastinya kita akan teruskan,” kata Ally.

Kata pemuda ini lagi, gosip percintaan dia dan Fasha juga agak berlainan apabila sering kali wanita jelita itu dikaitkan dengan pelakon lelaki yang menjadi pasangannya di filem. Begitupun, Ally tidak pernah berlakon di sisi aktres berkenaan, namun gosip tetap melanda mereka berdua.

“Bagi saya pula, sekiranya saya berkawan dengan seseorang, saya perlu bersahabat dengan keluarganya juga. Tidak kisah, orang itu ialah artis atau sebaliknya,” kata Ally yang mengaku terpaksa mengharungi tempias gosip apabila berkawan dengan golongan popular dan selebriti.

Namun begitu, jelas Ally, seandainya persahabatan itu tidak melangkaui batas susila dan adat Timur yang diwarisi serta tidak menjejaskan reputasi diri, maka dia tidak menganggap perhubungan sebagai kawan bersama golongan wanita, popular atau tidak, bukanlah suatu kesalahan dan tidak perlu diungkit.





Setia Bersama TV3

ALLY dicungkil bakatnya menerusi program Sinaran kira-kira sedekad yang lalu. Meskipun gagal membawa pulang sebarang kejayaan daripada rancangan berkenaan, potensi yang dimiliki lelaki ini mendapat perhatian TV3. Lalu, dia diberikan peluang mengacarakan program kuiz Mana Popular.

Setahun kemudian, tatkala dirinya mengacarakan program Sinaran yang sebelum itu pernah disertainya, dia mendapat tawaran untuk bekerja sepenuh masa bersama stesen televisyen terkemuka berkenaan.

“Apabila ditawarkan sebagai kakitangan sepenuh masa, saya memohon TV3 menempatkan saya di bahagian majalah. Lalu, bermulalah kerjaya sebagai wartawan penyiaran bersama MHI. Jika dihitung, sudah tujuh tahun saya bersama rancangan ini.

“Boleh diibaratkan, saya sebenarnya membesar bersama MHI. Saya pula amat bersyukur kerana di sini, saya agak murah rezeki. Daripada orang suruhan, kini saya termasuk dalam golongan yang merancang,” ujarnya.

Selepas bertahun-tahun mengendalikan serta menerbitkan program terbabit, tidakkah terdetik di hati beliau ingin bertukar ke bahagian lain?


“Sebenarnya, bersama MHI pun sering kali menyaksikan kita muncul dengan sesuatu yang baru. Kita sendiri tidak boleh cepat bosan apabila melakukan sesuatu kita gemari. Jika dilihat, MHI sendiri menuntut banyak pembaharuan, sama ada dari segi suntingan, mood, rasa, kandungan, set dan sebagainya,” kata Ally.

Mengenai cabaran dihadapi, jejaka peramah ini berkata, mungkin kerana dia sudah agak lama, lalu setiap isu yang diperbincangkan pada hakikatnya tidaklah membuatnya kerisauan. Isu semasa yang dikupas, jelasnya, sudah berulang kali timbul sebelum ini.

“Cuma angka dan namanya saja yang berubah-ubah,” katanya.

Bagaimanapun, jelas Ally, mengendalikan rancangan itu hampir setiap hari boleh dianggap dianggap antara cabaran yang dia perlu tanggung.

“Jika tidak mengacara, saya akan bertanggung jawab pula menerbitkannya. Apabila terfikir sekali-sekala dengan kerja yang begini, hendak mengambil cuti pun agak sukar. Tetapi, itulah cabarannya bersama MHI.

“Lagi satu, kita sentiasa perlu berfikir, bagaimana hendak mengekalkan fokus penonton bagi tempoh dua jam lebih itu. Akhirnya, kita akan memberikan yang terbaik kerana minat mendalam dan dedikasi diri. Bagi saya pula, ada saja sesuatu yang ingin saya kongsi bersama orang ramai di kaca TV. Jadi, keseronokan itu tetap dirasakan setiap hari,” kata anak muda ini.





Info Ally Iskandar Mohd Mardzi

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket ANAK muda ini dilahirkan pada 13 Januari 1976 di Kuala Lumpur tetapi dibesarkan di Gong Badak, Kuala Terengganu.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket ALLY memegang ijazah Sarjana Muda Bahasa Inggeris dan Pengajian Filem University of The Pacific, Stockton, California, Amerika Syarikat.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket PERNAH mengacara rancangan dan acara di TV3 seperti Anugerah Juara Lagu ke-20 dan ke-21, Konsert Jom Heboh, Majalah Tiga Edisi perkahwinan Aidid Marcello dan Norzie Pa’ Wan Chik, program sensasi tiga episod Tiada Rahsia Datuk Siti Nurhaliza dan Datuk Khalid Mohd Jiwa, Singgah Sahur, ResQ dan peringkat akhir Pesona Nona.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket PERNAH juga beberapa kali dicalonkan ke Top 5 Anugerah Bintang Popular Berita Harian dalam kategori Pengacara TV Popular.









3 comments:

Anonymous said...

nk kwn ngn abg ally klu abg ally sudi..

AINNUR QASEH said...

sewaktu kamu lahir,
kamu menangis & orang2 disekelilingmu tersenyum...
jalanilah hidupmu dgn penuh iman & taqwa...
sehingga sewaktu kamu mati...
kamu tersenyum & orang2 disekelilingmu menangis...

AINNUR QASEH said...

Salam perkenalan wat Anonymous & Abg Ally....