Peralat Agama!

KUALA LUMPUR: Kerana mahu menagih wang derma daripada jemaah, sekumpulan lelaki warga emas dipercayai rakyat asing sanggup berpura-pura memeluk Islam di masjid.

Kumpulan itu yang dipercayai bergerak aktif dari satu masjid ke masjid lain di sekitar ibu kota merayu jemaah menghulurkan derma, kononnya untuk membantu mereka yang daif.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

Bagaimanapun, kebanyakan mangsa yang menghulurkan derma musykil terhadap niat kumpulan terbabit apabila semakin ramai lelaki tidak dikenali muncul di masjid dan menyatakan niat untuk memeluk Islam.

Terbaru, kumpulan lelaki terbabit dipercayai memperdaya jemaah Masjid Al Ikhwaniyah, Taman Cheras Utama di sini, supaya menghulurkan derma lebih RM300 selepas berjaya meyakinkan imam dan jemaah masjid berkenaan mengenai niat mereka untuk memeluk Islam.

Seorang jemaah, Noor Azmi Md Noor, 44, berkata dalam kejadian Sabtu lalu, dua lelaki berketurunan Cina datang ke masjid itu kira-kira jam 8 malam, beberapa minit selepas jemaah selesai menunaikan solat Maghrib.



Menurutnya, kedua-dua lelaki terbabit memberitahu jemaah mengenai hasrat bertemu imam masjid berkenaan.

“Sebaik dibawa berjumpa imam, lelaki berusia sekitar 50-an itu menyatakan hasrat memeluk Islam dan meminta bantuan imam mengislamkan mereka secepat mungkin.

“Jemaah yang menyangka lelaki terbabit benar-benar ingin memeluk Islam menyambut hasrat itu dengan gembira kerana menyangka mereka berniat ikhlas,” katanya.

Pada masa sama, lelaki terbabit memberitahu mereka hidup daif menyebabkan jemaah simpati lalu mengadakan kutipan derma kilat bagi disumbangkan kepada ‘mualaf’ terbabit.

“Dianggarkan lebih RM300 dikutip sebelum wang derma itu diserahkan kepada dua lelaki terbabit yang bersungguh-sungguh menyatakan minat memeluk Islam,” katanya.



Menurutnya, kebanyakan jemaah tidak berprasangka buruk berikutan niat lelaki terbabit memeluk Islam dianggap sebagai murni.

“Namun, selang dua hari kemudian, lelaki sama muncul bersama empat lagi lelaki di masjid itu sekitar jam 4 petang. Lelaki terbabit mendakwa tiga lagi rakannya yang juga berketurunan Cina mahu memeluk Islam.

“Lelaki itu kemudian menunaikan solat Asar bersama jemaah masjid sebelum meminta rakannya diislamkan segera,” katanya.

Azmi berkata, niat lelaki terbabit bagaimanapun mencetuskan prasangka di kalangan jemaah berikutan riak wajah mereka tidak menampakkan keikhlasan.

“Ketika ditanya sama ada mereka membawa kad pengenalan, semua lelaki terbabit menyatakan tidak membawanya dengan memberi pelbagai alasan.



“Ada antara mereka mendakwa kehilangan MyKad, manakala selebihnya memberikan salinan fotostat MyKad yang mencurigakan,” katanya.

Menurutnya, semua lelaki berusia 40-an hingga 50-an itu mendakwa tidak mempunyai pekerjaan tetap, malah ada yang memberitahu hidup sebatang kara dan bekerja sebagai pengawal keselamatan.

“Alasan dan cerita itu menyebabkan kebanyakan jemaah masjid mula curiga dan yakin mereka mempunyai niat tertentu. Berikutan itu, jemaah dan ahli jawatankuasa masjid menasihatkan kumpulan lelaki terbabit merujuk perkara itu kepada pejabat agama Islam jika mereka benar-benar ingin memeluk Islam.

“Kami menyuruh mereka ke pejabat Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) atau Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) untuk proses pengislaman secara sah dan teratur.

“Menyedari kami mula mengesyaki niat buruk mereka, kumpulan lelaki terbabit segera beredar meninggalkan masjid.



“Saya yakin kumpulan itu sengaja menjual agama untuk menipu orang ramai bagi meraih simpati dengan cerita sedih dan palsu,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jais, Fakrul Azam Yahya, ketika dihubungi Harian Metro, semalam, mengesahkan menerima laporan berhubung kemunculan kumpulan tertentu yang cuba mengutip derma di beberapa masjid dengan berpura-pura mahu memeluk Islam.

Menurutnya, kumpulan terbabit dipercayai turut didalangi beberapa lelaki warga asing dipercayai dari China dengan dibantu penduduk tempatan.

“Saya menasihati ahli jawatankuasa masjid supaya berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan taktik licik kumpulan itu yang cuba meraih simpati orang ramai.

“Ahli jawatankuasa masjid sepatutnya merujuk perkara itu ke pejabat agama daerah bagi mendaftarkan individu yang ingin memeluk Islam supaya proses terbabit boleh dijalankan secara lebih berkesan dan mengikut saluran betul,” katanya.



Apa yang membimbangkan ada individu yang sudah memeluk Islam bergelar mualaf, mendaftar sekali lagi untuk memeluk Islam sehingga menimbulkan kekeliruan berhubung motif mereka sebenar.



No comments: