Iswara Kembar

KUALA LUMPUR: Tentulah aneh dan mengejutkan apabila sebuah Proton Iswara Aeroback boleh berada di dua tempat berasingan pada satu masa. Namun itulah yang berlaku sehingga pemilik sah kenderaan itu keliru.

Pekerja am rendah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Azimah Mat Yusop, 47, meletakkan kereta di tempat letak kenderaan di Kuartes DBKL Jalan Semarak di sini, pada 3 April lalu.

Pada masa sama, anak saudaranya memberitahu dia melihat kereta jenis serta nombor plat sama dipandu seorang lelaki di sekitar Wangsa Maju.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

Kekeliruan itu bagaimanapun terjawab apabila semakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan mendapati kereta dipandu lelaki di Wangsa Maju itu kenderaan curi yang menggunakan nombor plat pendaftaran palsu.

Menurut Azimah, dia terkejut diberitahu keretanya yang diletakkan di Kuarters DBKL dipandu seorang lelaki di Seksyen 2, Wangsa Maju.



Dia yang sedang bertugas menghubungi jiran bagi mendapatkan kepastian.

“Saya terkejut apabila jiran memberitahu kereta saya masih di tempat letak kereta di rumah. Ia menimbulkan tanda tanya bagaimana nombor plat Proton Iswara dengan warna sama dengan kereta saya dipandu orang lain di Wangsa Maju.

“Anak saudara saya kemudian mengekori kereta itu ke sebuah flet dan melihat pemandunya meninggalkan kereta di situ,” katanya kepada Harian Metro di sini, semalam.

Azimah berkata, dia yang bimbang kejadian buruk segera membuat laporan di Balai Polis Wangsa Maju dan JPJ Wilayah Persekutuan, keesokannya.

Ini kerana dia bimbang kereta ‘kembar’ itu digunakan untuk tujuan jenayah.


“Saya bernasib baik kerana tiada kejadian tidak diingini berlaku seperti saman atau kesalahan lain dilakukan lelaki yang menggunakan kereta ‘kembar’ saya.

“Yang peliknya, selain nombor pendaftaran sama, warna dan model kereta terbabit juga serupa,” katanya.

Azimah berkata, dia difahamkan, sebaik menerima laporan, anggota JPJ Wangsa Maju segera menjalankan siasatan dan berjaya menjejaki kereta berkenaan di Seksyen 2 Wangsa Maju, kelmarin.

Sementara itu, Pengarah JPJ Wilayah Persekutuan, Nadzri Siron, berkata pegawainya melakukan pemantauan terhadap kereta terbabit sejak dikesan kelmarin, namun tiada sesiapa mengambil kereta itu selepas beberapa jam dipantau.

“Kereta itu kemudian ditunda ke pejabat JPJ dan kami percaya ia sudah beberapa hari ditinggalkan di situ,” katanya.



Beliau berkata, hasil pemeriksaan pada nombor enjin dan casis mendapati kereta itu menggunakan nombor plat dan cukai jalan palsu.

Menurutnya, kereta berkenaan dilaporkan dicuri di sekitar daerah Sentul awal tahun ini dan ia kini disita untuk tindakan lanjut.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat atau aduan boleh menghubungi Unit Aduan dan Siasatan JPJ di talian 03-40202223 dan 03-40236470 (selepas waktu pejabat).



No comments: