Ilusi Hantu Syabu

KUALA LUMPUR: Gara-gara ingin langsing seperti model, segelintir wanita sanggup dibayangi imaginasi ‘hantu’ kesan daripada pengambilan dadah jenis amphetamine dan methamphetamine atau dikenali syabu selepas produk pelangsing yang mereka gunakan tidak menunjukkan kesan.

Ilusi ‘hantu’ yang membayangi kehidupan mereka terhasil berikutan peningkatan hormon dopatamin akibat pengambilan syabu merangsang sistem otak menyebabkan berlaku imaginasi.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

Penggunaan dadah sintetik itu boleh menghilangkan selera makan tetapi mereka tetap bertenaga walaupun tidak menjamah makanan hingga tiga hari.

Akibatnya, wanita terbabit boleh mengurangkan berat badan antara lima hingga lapan kilogram (kg) dalam tempoh dua minggu.

Bekas penagih syabu yang hanya mahu dikenali sebagai Elyati, 23, berkata dia mengambil dadah itu dua tahun lalu bagi mengurangkan berat badan selepas mengalami kegemukan akibat selera makan yang mendadak kerana berkerja di sebuah restoran di ibu kota.



Katanya, selera makannya bertambah ketika bekerja apabila melihat makanan yang dihidangkan kepada pelanggan.

“Selepas bekerja hampir empat bulan di restoran itu, pemakanan saya tidak teratur sehingga enam kali sehari kerana tidak tahan dengan ‘godaan’.

“Dalam tempoh itu berat badan saya mencecah 60kg. Selepas itu saya mencuba produk pelangsing di pasaran,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Elyati berkata, produk itu tidak memberi kesan ketara kerana berat badan hanya berkurang sekilogram selepas hampir dua bulan.

“Selepas itu, saya memberitahu rakan mengenai masalah kegemukan yang dihadapi sebelum dia mengesyorkan syabu.


“Pada mulanya, saya sangsi dengan penggunaan bahan itu kerana ia menyalahi undang-undang dan banyak kesan negatif.

“Tetapi selepas mendengar penjelasan daripada beberapa rakan mengenai kesan ‘‘positif’ mengambil syabu seperti penurunan berat badan secara mendadak menyebabkan saya berminat mencubanya.

Menurutnya, rakannya turut mengajar menggunakan syabu secara terancang dengan mengambilnya dua atau tiga hari sekali bagi mengelak daripada ketagih.

Elyati berkata, akibat terdorong dengan ‘kesannya’ menyebabkan dia mengambil syabu kira-kira dua minggu dan berat badan berkurang enam kilogram.

Menurutnya, dia mengamalkan pengambilan dadah sintetik itu secara berterusan dalam tempoh dua bulan sehingga berat badannya mencecah 47kg.



“Selepas beberapa bulan mengambilnya, kesan negatif mula terasa apabila saya menjadi pemarah serta kerap menangis kerana ketakutan apabila sering nampak ‘hantu’ ketika berada di rumah.

“Saya juga jarang keluar rumah berikutan takut jalan berseorangan kerana menganggap semua lelaki jahat dengan wasangka mereka perogol.

“Keadaan itu, menyebabkan jiwa saya kacau dan hampir gila hingga pernah mengaji al-Quran tanpa menutup aurat kerana ketakutan dengan gangguan ‘hantu’ di sekeliling,” katanya.

Elyati berkata, dia pernah berjumpa bomoh untuk menghalau ‘hantu’ itu tetapi tidak berkesan sebelum merujuk kepada doktor yang mengesahkannya mengalami masalah mental.

Menurutnya, akibat tekanan melampau, dia tekad meninggalkan tabiat mengambil syabu sebelum pulang ke kampung di Perak dengan meminta bantuan keluarga dan merujuk doktor pakar.



Dia kini sudah setahun berhenti mengambil syabu dan berharap tidak akan mengulangi tabiat buruk itu.

“Saya kini mengamalkan pemakanan seimbang dan mengambil produk langsing yang diluluskan Kementerian Kesihatan bagi mengekalkan berat badan,” katanya.









2 comments:

Anonymous said...

alaaa. ilusi jerr sume nih. da normal, ok laa blk.. hahhaa. pandai2 kawal laa.

ice addicted said...

da terlebey..mmg laa gilaa.
dlu berat aku 70kg. skang da 55kg.
hahaha.