Derita ‘Nenek Kongsi’

KUALA LUMPUR: Seorang warga emas berusia kira-kira 70 tahun, kini menghabiskan sisa kehidupannya tinggal bersama sekumpulan pendatang Indonesia di sebuah bilik kecil yang menyerupai rumah kongsi buruh asing di Kampung Pandan Dalam, di sini, walaupun anak lelakinya tinggal bersebelahan.

‘Nenek kongsi’ berkenaan terpaksa mendiami bilik usang dan panas yang dipenuhi barangan lusuh bersama tujuh pendatang asing serta beberapa remaja lelaki.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

Lebih menyedihkan,anak lelakinya langsung tidak mempedulikan kebajikan warga emas terbabit biarpun tinggal bersebelahan bilik itu.

“Kalau diikutkan hati, mak cik rasa macam nak bawa semua barang dan lari ke tempat lain kerana lebih sanggup tinggal di rumah orang lain daripada duduk bersebelahan anak yang tidak mengenang budi.

“Tinggal di sini lebih menyakitkan hati kerana mak cik sering dikasari dan dimarahi anak yang ditatang sejak kecil.



“Mak cik tak ada rumah lain. Nak tinggal di rumah saudara-mara, mereka pun ada keluarga. Mak cik tak ada harta lain selain rumah dan rantai ini,” kata wanita yang dipanggil Nek Bi itu sambil menunjukkan satu-satunya barang kemas yang belum digadai anaknya ketika dikunjungi Harian Metro.

Menurutnya, anak lelakinya itu mula mengabaikan dan tidak menjaga kebajikannya selepas berumah tangga lebih 10 tahun lalu.

“Mak cik sudah tidak merasakan kasih sayang anak kerana diabaikan sebegini. Kadang-kadang mak cik terfikir mengapa ada anak sepertinya.

“Apabila melihat anak orang lain yang begitu baik menjaga dan menghormati ibu mereka, mak cik amat sedih dan sakit hati mengenangkan layanan buruknya,” katanya sambil mengesat air mata.

Difahamkan bilik yang didiami Nek Bi itu sebenarnya rumah kepunyaannya tetapi dipisahkan anaknya kepada dua bahagian untuk dijadikan bilik sewa.



Sebahagian rumah didiami anak lelakinya bersama isteri dan anaknya, manakala sebahagian lagi dijadikan 10 bilik yang disewakan kepada pendatang asing dan beberapa remaja lelaki.

Malah, rumah kongsi berkenaan pernah menjadi markas judi dan sarang maksiat golongan pendatang itu yang sering membawa masuk perempuan, tetapi tidak dapat dipastikan sama ada mereka memiliki permit sah atau sebaliknya.

Sudah bertahun-tahun Nek Bi dibiarkan keseorangan dan terpaksa menguruskan makan minum sendiri walaupun anaknya mewah dengan hasil kutipan sewa bilik kongsi terbabit.

Menurutnya, hanya di bilik itu tempat dia makan, tidur dan berehat kerana tidak dibenarkan menggunakan ruang tamu di bahagian yang didiami anaknya.

“Mak cik tak tahan duduk lama dalam bilik ini kerana kurang selesa dan panas. Pasang kipas pun, anginnya masih panas.



“Sebab itu hampir setiap petang mak cik akan keluar bersiar-siar di sekitar kampung dan singgah di mana-mana hentian bas untuk menenangkan diri dan mengubati kesedihan,” katanya.

Difahamkan kebakaran pernah berlaku di rumah terbabit ketika anak lelakinya sekeluarga pulang beraya di rumah besan dan membiarkannya beraya berseorangan di bilik itu, tiga tahun lalu.

Yang sepupu, sepapat; Derita Hajah dan 7 Tenggang








No comments: