Temberang Mak Andam!

KUALA LUMPUR: Awas bakal pengantin! Anda perlu berhati-hati memilih mak andam berikutan ada antara mereka dipercayai menggunakan alat solek berjenama terkenal tiruan semata-mata untuk mengaut keuntungan berlebihan dengan mengenakan harga tinggi terhadap pakej ditawarkan.

Taktik kotor itu dibongkar seorang pembantu mak andam yang hanya mahu dikenali sebagai Rina, 22, pada pertemuan dengan wartawan Harian Metro di Hentian Puduraya di sini, baru-baru ini.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

Dia yang hampir empat tahun menjadi pembantu beberapa mak andam, berkata kebanyakan bakal pengantin yang membuat tempahan teruja apabila mengetahui wajah mereka akan dirias menggunakan alat solek berjenama terkenal.

“Mereka selalunya bertanya jenis alat solek yang bakal digunakan. Jadi kami akan sebut beberapa jenama terkenal supaya mereka boleh pilih.

“Biasanya mereka akan memilih jenama luar negara, kononnya untuk sentuhan eksklusif, sesuai dengan harga pakej yang kami tawarkan iaitu antara RM1,500 hingga RM3,500” katanya.

Menurut Rina, kosmetik tiruan digunakan bagi menjimatkan kos penyediaan alat solek asli yang mahal.



Katanya, pelanggan sering kali tidak banyak soal apabila tiba hari persandingan.

“Mereka juga percaya alat solek yang kami bawa barangan asli.

“Bagaimanapun, kami juga perlu bijak membuat pilihan kosmetik tiruan di pasaran. Kami akan pilih yang nampak macam tulen saja,” katanya.

Rina berkata, dengan menggunakan kosmetik tiruan, perniagaan andaman boleh untung berlipat ganda.

“Kami guna barang murah, tapi untung sebab harga (pakej) mahal,” katanya, tersenyum.



Katanya, jika ada pelanggan mengadu mengalami masalah wajah selepas hari persandingan, mak andam bijak memberi alasan ‘mungkin produk itu kurang serasi dengan jenis kulit’.

“Tapi biasanya mereka tidak komen banyak kerana sedia maklum dengan risiko mencuba produk baru lebih-lebih lagi bila diberitahu ia kosmetik jenama terkenal.

“Jadi mereka akan terima saja alasan kami,” katanya.

Tinjauan di kawasan Masjid Jamek dan pasar larut malam (Up Town) di sekitar ibu kota mendapati, banyak barangan kosmetik dipercayai tiruan dijual dengan harga murah.

Setiap barangan yang dipercayai diseludup dari negara jiran itu, dijual dengan harga antara RM5 hingga RM30.



Menurut peniaga, dengan adanya kosmetik tiruan, pengguna boleh mendapatkan alat solek berjenama dengan harga murah tanpa perlu risau kesan sampingan jika tidak mempunyai masalah alahan kulit.

Bagaimanapun, jika pengguna menghadapi masalah selepas menggunakan produk terbabit, mereka tidak dapat berbuat apa-apa berikutan tiada sebarang jaminan keselamatan.

Ketika ditanya mengenai sumber kosmetik terbabit diperoleh, peniaga terbabit enggan mendedahkan sebaliknya mendakwa ia diuruskan ‘bos’ gerai berkenaan.

Sementara itu, Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), N Marimuthu, berkata pengguna perlu lebih prihatin dan teliti terhadap khidmat andaman.

“Sebagai pengguna, mereka berhak mempersoalkan jenis dan ketulenan bahan kosmetik yang ditawarkan.



“Dapatkan maklumat terperinci mengenai produk terbabit sebelum bersetuju untuk disolek pada wajah,” katanya.

Marimuthu berkata, produk tiruan bukan saja berbahaya kepada pengguna yang mempunyai masalah alahan, malah penangannya mampu mencacatkan rupa.

“Jadi, ada baiknya pengguna bersikap lebih prihatin dan bijak. Jangan sudah terkena baru mahu bertanya.

“Bagaimanapun, bagi yang tertipu dengan mak andam, mereka boleh tampil membuat aduan di Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional atau menghubungi kami di talian 03 78779000 untuk bantuan atau pertanyaan,” katanya.


No comments: