PM Nasihat Rakyat Waspada Sebelum Melabur

KUANTAN: Rakyat tidak harus terpedaya dengan pelbagai bentuk instrumen pelaburan menerusi internet yang mendakwa kononnya berupaya memberi pulangan lumayan dalam tempoh singkat, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Perdana Menteri kesal kerana masih ramai terpedaya dengan skim seumpama itu dan mereka yang berbuat demikian tidak sedar risiko besar perlu ditanggung kerana terlalu ghairah mahu mendapat untung dengan cepat.

“Pelaburan sebenarnya memerlukan jangka masa panjang untuk membuahkan hasil lumayan. Oleh itu, pelabur perlu mempunyai kesabaran dan jangan terpedaya dengan skim pelaburan jangka pendek yang tidak diketahui asal usulnya. Yang hendak hasil cepat, mungkin rugi cepat.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

“Saya harap rakyat tidak menyokong perkara yang tidak diiktiraf seperti skim pelaburan menerusi internet itu bagi memastikan ia tidak berleluasa dan merugikan kita,” katanya berucap menutup Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2007 di sini, semalam.

Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob; Pengerusi Permodalan Nasional Bhd (PNB), Tan Sri Ahmad Sarji Abdul Hamid dan Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.



MSAM 2007 yang berlangsung sejak 20 April lalu di Padang MPK2 di sini, dianjurkan oleh PNB bagi memberi pelbagai maklumat mengenai pelaburan dan operasi anggota anggota kumpulan syarikatnya kepada orang ramai.

Abdullah berkata, kini ada pelbagai produk pelaburan di pasaran dan orang ramai perlu bijak memilih skim yang berwibawa dan diluluskan oleh kerajaan seperti unit pelaburan ditawarkan oleh kumpulan PNB.

“Ada pelbagai unit amanah dan unit amanah hartanah yang diuruskan institusi pelaburan bertauliah di seluruh negara, termasuk PNB yang mampu memberikan pulangan yang kompetitif setiap tahun.

“Rakyat boleh memilih satu atau dua dana amanah yang sesuai dengan profil risiko masing-masing untuk membuat pelaburan,” katanya.

Beliau berkata, penubuhan skim Amanah Saham Nasional (ASN) 26 tahun lalu membuka ruang, terutama kepada Bumiputera untuk berjinak-jinak dalam pelaburan dan kejayaan PNB membuka unit amanahnya kepada bukan Bumiputera, turut menarik minat negara luar mencontohinya.



Katanya, walaupun kerajaan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang mengelolakan skim cepat kaya menerusi internet, sokongan serta maklum balas semua pihak untuk memastikan gejala itu dibanteras sepenuhnya amat diperlukan.

Perdana Menteri berkata, inisiatif PNB mengembangkan kegiatannya ke pasaran kewangan antarabangsa dapat memberi peluang kepada agensi terbabit untuk memantapkan lagi kedudukannya di peringkat global.

Langkah itu membolehkan PNB mengaut keuntungan pelaburan di pasaran lebih luas, berbanding pasaran kewangan domestik, selain membuka peluang kepada profesional Bumiputera membabitkan diri secara langsung dalam bidang penyelidikan dan tinjauan pasaran kewangan dunia.

Beliau mahu warga PNB menyaingi prestasi ditunjukkan syarikat pengurusan pelaburan antarabangsa seperti Fidelity dan Vanguard yang mampu memberi pulangan berpuluh-puluh kali ganda kepada pelabur mereka.

“PNB bukan saja perlu memastikan pulangan pelaburan yang kompetitif kepada pelaburnya, malah perlu berusaha menjadi sebuah institusi pelaburan yang mempunyai tahap kecekapan dan kewibawaan dari segi pengurusan dan kakitangannya setanding syarikat pelaburan antarabangsa,” katanya.



No comments: