Pengajar Terlampau!

KUALA TERENGGANU: Sungguh mengaibkan apabila 18 pelatih wanita sebuah institusi kemahiran di Selangor, dikatakan dipaksa menanggalkan pakaian kecuali coli serta seluar dalam oleh tenaga pengajar mereka.

Dalam keadaan separuh bogel itu, semua pelatih wanita berusia antara 18 hingga 24 tahun turut dipaksa berdiri dalam bengkel selama empat jam dari jam 8 pagi hingga 12 tengah hari, Jumaat lalu.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

Bukan setakat itu, seorang pelatih dari Hulu Terengganu dekat sini, mendakwa mereka juga dimaki-hamun serta dipanggil anjing dan babi.

Dia yang tidak mahu namanya didedahkan, memberitahu Harian Metro, semua beg pelatih dikumpulkan di tengah bengkel manakala telefon bimbit mereka dirampas seorang daripada dua tenaga pengajar terbabit.

“Kami memang malu diperlakukan begitu. Walaupun cuba membantah, dua tenaga pengajar itu mengugut melakukan sesuatu yang lebih teruk jika kami berdegil.



“Kami terpaksa akur dengan perintah mereka sebelum menanggalkan pakaian dan terpaksa menebalkan muka apabila ada pelatih lelaki melintas depan kelas,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, insiden memalukan itu bermula apabila pihak fakulti menerima maklumat ada seorang pelatih meninggalkan institut sehari sebelum itu dan tidak hadir kuliah.

Katanya, mereka tidak berpuas hati dengan tindakan yang diambil kerana sebahagian besarnya tidak bersalah dan sepatutnya tidak dibabitkan dalam hal itu.

“Ibu bapa kami menganggap tindakan itu keterlaluan sebelum ada yang membuat laporan di Balai Polis Kuala Kubu Baharu,” katanya yang tidak akan melupakan kejadian mengaibkan itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Kubu Baharu, Superintendan Hud Abd Rahman, ketika dihubungi semalam, mengesahkan beberapa laporan diterima membabitkan insiden terbabit.



Menurutnya, siasatan masih dijalankan dan sehingga kini, keterangan pelatih dan beberapa saksi lain dirakamkan bermula Sabtu lalu.

Mengulas kejadian terbabit, Ketua Fakulti Perkhidmatan Personal institut itu, Rubiah Kassim, berkata berlaku salah faham antara pengajar dan fakulti dalam menangani isu disiplin pelatih.

“Memang benar, majoriti pelatih mempunyai masalah disiplin seperti minum ubat batuk, arak, berpesta di asrama, tidak solat dan berlaku sumbang.

“Tetapi, arahan saya pada hari itu cuma hanya penolong saya merampas semua telefon bimbit kerana memang polisi tidak membenarkan pelatih membawa telefon ke kelas atau di bengkel,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Rubiah berkata, tenaga pengajar terbabit tidak berniat memalukan pelatih, malah mereka memohon maaf kepada pelatih dan keluarga masing-masing.



Penolong Pengarah Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Ahmad Zaki, pula berkata pihaknya akan menjalankan siasatan dalaman dan tindakan sewajarnya akan diambil selepas selesai siasatan.


No comments: