Keranda Mat Gian

KUANTAN: Sekumpulan penagih dadah menjadikan keranda di sebuah surau di Kampung Pantai Beserah di sini, sebagai tempat melepaskan gian kerana sukar mencari tempat persembunyian.

Perlakuan pelik itu terbongkar apabila kariah surau desa itu hairan apabila sekumpulan penagih yang pada awalnya berlegar di sekitar rumah ibadat itu secara tiba-tiba hilang dari pandangan.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

Penduduk yang melakukan intipan turut menemui kesan lilin, penutup jarum picagari, kelongsong pil dan beberapa bungkusan makanan di stor surau berhampiran keranda itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Beserah, Datuk Faisal Abdullah, berkata kegiatan itu mula dikesan apabila jemaah surau mendapati penagih yang kerap merayau di situ hilang sekelip mata sejak sebulan lalu.

“Saya rasa penagih dadah sudah tiada pilihan hingga keranda dijadikan tempat melepaskan gian. Penduduk tahu perkara ini selepas melakukan intipan berikutan remaja yang mulanya berlegar di surau tiba-tiba hilang,” katanya.



Berdasarkan maklumat diperoleh penduduk, katanya, penagih melakukan suntikan di tempat lain sebelum tidur dalam keranda.

Malah, katanya, ada juga penagih menjadikan keranda itu seperti rumah untuk bermalam setiap hari berikutan peningkatan operasi dan rondaan 24 jam polis bagi mengesan penagih dadah di kawasan itu.

“Disebabkan kebanyakan surau terletak di kawasan agak jauh dari aktiviti harian penduduk, kelibat Mat Gian terbabit sukar disedari bersembunyi di surau itu,” katanya.

Faisal berkata, dianggarkan kira-kira 20 penagih dadah berusia antara 18 hingga 30 tahun di kawasan pantai itu.

Beliau berkata, kumpulan `bangkai bernyawa’ itu dikatakan menjadi punca kegiatan jenayah lain seperti pecah rumah dan kecurian harta awam.



“Kebanyakan mereka penganggur dan pengumpul besi buruk manakala sebahagiannya mengambil upah menolak bot nelayan di pantai.

“Tidak semua penagih terbabit penduduk kawasan berkenaan, sebaliknya ada yang datang dari kawasan pusat bandar untuk melepas gian di surau itu kerana ia lokasi `selamat’ mengelak dicekup polis,” katanya.

Bagi mengelak tempat ibadat seperti surau dan masjid turut dijadikan tempat penagihan dadah, penduduk diminta menghubungi polis tanpa perlu bertindak sendiri.

“Ini kerana penagih mampu bertindak agresif jika mereka berkumpulan,” katanya.




No comments: