Izwan Pilus Ditaja???

NAMANYA masih hijau di persada hiburan atau istilah lainnya baru setahun jagung bergelar anak seni. Namun, dalam tempoh yang singkat, penyanyi yang kini popular dengan lagu Indah Lelapku, Izwan Pilus, 28, mampu memiliki kereta mewah mencecah harga RM1 juta.

Hendak kata namanya begitu popular dan menerima bayaran puluhan ribu ringgit setiap kali membuat persembahan, pemuda mesra dengan panggilan Izwan ini sendiri mengakui masih lagi bertatih untuk menempatkan diri sekali gus mencuri perhatian penggemar seni suara.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket
SIAPA TAJA?...Baru setahun jagung bergelar
penyanyi Izwan sudah mampu memiliki kereta mewah.


Justeru, timbul kemusykilan apabila dia mampu memiliki kereta mewah meskipun bukan mustahil sekiranya individu itu berusaha keras. Apakah Izwan atau nama sebenarnya Khairil Izwan Pilus mewah kerana ditaja?

Tambahan pula perkara ini sudah menjadi ‘trend’ sekarang, bukan saja di kalangan artis malah orang biasa yang mencari kemewahan dengan cara mudah.

Izwan berkata, sedikitpun dia tidak tidak melenting dengan sangkaan buruk itu, sebaliknya menegaskan apakah salah sekiranya dia ditaja?



“Alangkah bertuahnya jika saya ditaja, maklumlah menjadi artis perlukan perbelanjaan besar. Tapi biarlah tajaan itu berlandaskan prosedur yang betul, tidak melanggar undang-undang atau bertentangan hukum syarak.

“Saya cukup berbesar hati sekiranya ditaja kerana pengusaha produk kesihatan, pakaian mahupun pengusaha kereta mewah melantik saya sebagai duta atau jurucakap mereka.

“Tapi tidak perlulah ada perjanjian, misalnya saya harus meniduri CEO untuk mendapatkan semua peluang itu. Bagi saya maruah diri nilai yang tidak boleh dijual beli,” katanya.

Untuk mengelakkan kekeliruan, Izwan berterus-terang bahawa kereta Mercedes Benz SL 55 (AMG) berharga RM928,000 itu bukan miliknya.

Sebaliknya peluang memacu dan merakamkan gambar kenangan dengan pacuan empat roda itu atas bantuan seorang rakan yang juga Ketua Eksekutif Pemasaran Naza Sdn Bhd, Fairuz Abd Majid.



“Dia (Fairuz) nampak kecenderungan saya terhadap sukan permotoran walaupun tidak pakar sangat soal kereta. Justeru, dia berikan saya idea mengadakan fotografi ini di Naza World, malah beri saya peluang pilih kereta yang berkenan di hati.

“Kalau ikutkan Fairuz, dia suruh saya bergaya dengan kereta bernilai RM9 juta, tapi saya sedar saya tidak secocok dengan kereta itu. Jadi saya pilih yang ini kerana untuk mendapatkan kereta ini pun sampai bila-bila saya tidak mampu.

“Saya bahagia dengan kereta buatan Malaysia, Wira yang saya miliki sekarang. Namun, seandainya sudah tertulis suatu hari nanti saya mampu kereta hebat itu apa salahnya,” katanya.

Selain cerita kereta, ada sesuatu yang penting ingin dikhabarkan penyanyi berkulit ‘sawo matang’ ini kepada peminatnya iaitu album pembungkusan semula Indah Lelapku sudah berada di pasaran.

Katanya, pembungkusan semula album ini dilakukan bukan kerana sebelum ini ia gagal di pasaran, sebaliknya kerana masih ada permintaan dari peminat.



“Pertama kali album ini dipasarkan pada Mei tahun lalu, tetapi waktu itu orang tidak berapa mengenali saya selain ada rungutan sukar mendapatkannya di pasaran.

“Kebetulan sehingga kini single kedua, Indah Lelapku, masih hangat diputarkan di radio. Justeru, saya terfikir untuk mengemukakan idea kepada pihak pengurusan syarikat rakaman, Metro Muzik Sdn Bhd supaya mengeluarkan album pembungkusan semula ini.

“Tambahan pula, berdasarkan maklum balas dari peminat dan pendengar mereka masih inginkan album ini. Memandangkan ia hampir mencecah usia setahun, saya berasakan perlu ada suntikan baru untuk menarik minat pembeli.

“Justeru, selain menukar kulit album, album ini turut memuatkan lima lagu bonus MTV karaoke iaitu Erti Kasih, Kembali Senyum, Indah Lelapku, Malam Berdansa dan Ku Lambai Cahaya.

“Tambah menarik, soalan kuiz turut disediakan untuk peminat memenangi hadiah menarik iaitu sepetang bersama saya di pusat karaoke Red Box Ria.


“Bahkan, pembeli mereka juga akan memperoleh kupon diskaun 30 peratus Thomas&Guys serta keratan Nada Dering Pemanggil dan Nada Dering Telefon yang disertakan dalam cakera padat (CD),” katanya.

Tambah Izwan, harga album baru ini cuma ditambah RM2, menjadikan RM23.90. Namun, pembeli memperoleh dua CD mengandungi 10 lagu dan lima MTV karaoke.

Izwan juga mengakui rugi jika menghasilkan album kedua tanpa memberi peluang album Indah Lelapku terpahat di hati pendengar.

“Saya rasa tidak berbaloi keluar album baru sedangkan album ini masih ada permintaan. Sayang jika membiarkannya tenggelam begitu saja kerana titik peluh yang dicurahkan dalam pembikinan album ini bukan sedikit.

“Jika di peringkat awal ia kurang mendapat sambutan tidak bererti kita perlu duduk diam dan membiarkannya tenggelam bersama arus. Perlu disertakan dengan usaha dan strategi lain, lebih-lebih lagi melihat ia masih ada potensi.



“Sebagai penyanyi saya tidak mahu berbangga kerana dapat menghasilkan album setiap tahun sedangkan hakikatnya album saya gagal di pasaran.

“Lagipun ada dua lagu yang saya jangka mampu menambat hati pendengar iaitu Malam Berdansa ciptaan Alfa Booty dan Ku Lambai Cahaya, nukilan Salman,” katanya.

Meskipun namanya pernah mencetuskan kontroversi dikaitkan dengan dadah tidak lama dulu, Izwan yang bebas dari tuduhan pihak berkuasa tetap berjaya membina kerja seni yang cemerlang.

Buktinya, dia tercalon sebagai finalis Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2006 (ABPBH2006) bagi kategori Artis Baru Lelaki Popular dan kini melayakkan diri dalam senarai top 5, Artis Baru Terbaik, Anugerah Industri Muzik Malaysia (AIM) pada 28 April ini.

Kata Izwan, dia sendiri tidak menyangka namanya tersangkut dalam senarai pendek kategori itu kerana sedar ‘produksi pembikinan’ albumnya tidak sehebat artis lain. Izwan percaya pemilihannya disebabkan penilaian secara peribadi juri ke atas potensi yang dimilikinya.



“Bohonglah kalau saya tidak harap memasuki kategori ini, cuma saya enggan meletakkan sebarang harapan. Dicalonkan pun syukur Alhamdulillah.

“Saya jangka Bob AF2 mampu mengungguli kategori ini. Bukan saya menafikan kehebatan Farhan AF4 atau Sean Ghazi yang menerima banyak pencalon atau Fazli Zainal yang turut tercalon dalam satu lagi kategori iaitu Album Pop Terbaik.

“Cuma saya rasakan Bob mempunyai banyak kelebihan kerana vokalnya cukup versatil dan dia boleh menyanyikan pelbagai rentak lagu sama ada balada, pop dan tradisional. Bagi saya Bob antara penyanyi baru yang saya kagumi.

“Malah, Bob juga membuktikan dia artis baru yang berjaya memboloskan diri dalam kategori Vokal Lelaki Terbaik,” katanya.



Profil

NAMA: Khairil Izwan Pilus

PANGGILAN: Izwan atau Kutek

TARIKH LAHIR: 24 November 1979

TEMPAT LAHIR: Hospital Universiti, Kuala Lumpur

BINTANG: Sagitarius

TINGGI: 174 sm

ADIK-BERADIK: Anak kedua daripada empat beradik

HOBI: Membaca dan aktiviti lasak

PENDIDIKAN: Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Pelancongan dari Universiti Utara Malaysia (UUM)

MUZIK: Pop, R&B, Irama Malaysia, balada dan alternatif rock

PENCAPAIAN: Finalis Bintang RTM (2004), Finalis Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2006 dan Finalis Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-14.



2 comments:

Anonymous said...

jgn la ckp cm 2,, aq minat giler ar kt si izwan ni

Anonymous said...

izwan the best!!!