Cerita Mawi & Rossa

CANDA tawa penyanyi kecil molek kelahiran Semarang, Indonesia ini tetap seperti dulu. Sama seperti saat dia kembali membawa bingkisan terbarunya, setahun lalu selepas beberapa tahun namanya menghilang sesudah menggilap nama di sini menerusi lagu Tegar daripada album ketiganya.

Usai menyempurnakan persembahan hari pertama sempena Minggu Setiausaha di Sogo City Arena, Kuala Lumpur bersama Mawi, Rossa tidak menolak untuk ditemubual. Meskipun lelahnya belum hilang, dia tetap bersedia meluangkan waktu untuk ditemui media. Ceria nada suaranya, walaupun saat itu dia memerlukan rehat yang cukup kerana bakal beraksi lagi pada keesokannya.

“Saya senang dapat hadir sekali lagi di sini,” katanya ringkas memulakan bicara sesekali menyapa teman media yang lama tidak ditemuinya.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket
Rizky Langit Ramadan melengkapkan hidup Rossa


Setahun menyepi, kali terakhir Rossa mengunjungi ibu kota ketika dia disahkan hamil tiga bulan, April tahun lalu. Bagaimanapun, ketika itu Rossa meminta media tempatan supaya tidak menghebahkan dulu berita gembira itu kerana belum membuat pemeriksaan lengkap. Gusar itu hanya cetusan perasaannya.

Dan kerana tidak tahu dirinya hamil hasil perkahwinan dengan pemain dram kumpulan Padi, Yoyo, Rossa sempat beraksi dan berlari lincah di padang ketika menjayakan Fiesta Media Idola di Kuantan, Pahang.



“Alhamdulillah, tanggal 3 Oktober tahun lalu, saya selamat melahirkan bayi lelaki, Rizky Langit Ramadan. Kehadirannya cukup bermakna kerana Rizky lahir menjelang tarikh ulang tahun kelahiran saya. Inilah hadiah ulang tahun kelahiran yang paling bermakna dalam hidup saya,” katanya yang menyambut hari lahir pada setiap 9 Oktober.

Saat ditanya perasaannya kali pertama melihat bayi comel yang kini berusia enam bulan, Rossa berkata kelahiran Rizky melengkapkan institusi kebahagiaan yang dibinanya bersama Yoyo, selepas hampir tiga tahun menanti kehadiran penyeri kehidupan mereka.

“Hidup saya kini sempurna, lengkap selepas saya bergelar ibu. Terlalu indah perasaan itu dan meskipun jadual kehidupan seni saya cukup padat, saya tidak meminggirkan tanggungjawab yang satu itu. Mungkin bagi orang lain sukar untuk menjalankan dua peranan berbeza serentak.

“Saya percaya kasih sayang dan kualiti masa akan mengeratkan hubungan kami ,” kata Rossa yang menyusukan bayinya dengan susu badan selama enam bulan.

Kata Rossa, dia tidak dapat berehat lama selepas melahirkan Rizky. Genap 40 hari berpantang, penyanyi berusia 28 tahun bergegas ke lokasi untuk menjayakan penggambaran klip video album kompilasinya, Yang Terpilih. Album kompilasi yang diedarkan awal tahun ini memuatkan tiga lagu balada baru iaitu Terlalu Cinta, Atas Nama Cinta dan Cinta Tak Termiliki.


“Saya tidak mempunyai kesulitan untuk mendapatkan kembali berat badan sebelum mengandung dulu. Selepas 40 hari berpantang dengan ketat, alhamdulillah saya berjaya mendapatkan semula bentuk badan yang dulu. Saya perlu disiplin kerana banyak kerja yang menanti selesai saya berpantang.

“Selain menyempurnakan dua klip video, Terlalu Cinta dan Atas Nama Cinta, saya juga sibuk dengan promosi album yang masih berlangsung. Selepas ini saya akan menjelajah ke 12 kota di Indonesia untuk siri promosi. Akhir April ini, saya akan kembali ke Kuala Lumpur untuk pelancaran album. Sibuk namun saya bahagia kerana nyanyian memang jiwa saya,” katanya.



Rossa, Mawi duet dalam album?

BIARPUN persembahan pertama Minggu Setiausaha bersama Mawi berlanjutan hingga jam empat petang, namun kebijaksanaan dua artis ini untuk mengikat hati penonton membuatkan waktu yang pantas berlalu itu tidak begitu dirasai. Sebenarnya, itu bukan pertemuan pertama mereka berdua.

Mawi dan Rossa pernah dipertemukan di Singapura untuk sesi fotografi sebuah majalah. Akui Rossa, pertama kali bertemu Mawi dia menyangka lelaki itu seorang yang serius.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

“Ternyata dia jauh berbeza. Saya senang bekerjasama dengannya kerana dia seorang yang lucu. Persembahannya juga luar biasa dan itu memberi semangat kepada saya untuk memberikan yang terbaik kepada semua,” katanya yang pada petang itu berduet dua lagu dengan Mawi iaitu Seri Langkat dan Jika.

Lanjutan kolaborasi sulung yang mencatat kejayaan besar, apatah lagi semua meja habis ditempah, Rossa membayangkan untuk bekerjasama dengan Mawi dalam produksi album.

“Idea itu tercetus ketika kami di pentas tadi. Saya senang jika diberi kesempatan itu, namun semuanya memerlukan perancangan yang teliti. Mawi sendiri saya lihat mempunyai karakter vokal yang hebat, justeru tidak hairan apabila dia digilai peminat perempuan,” katanya.



Pertama kali menjayakan persembahan Minggu Setiausaha, Rossa mengakui seronok meniti pengalaman itu kerana tidak pernah menjayakannya di Indonesia. Himpunan lagu popular seperti Kembali, Atas Nama Cinta dan Tegar melatari persembahan yang bermula jam 1.30 petang itu.

Berselang seli dengan persembahan Mawi yang memperkenalkan lagu terbarunya, Angan Sedar serta Kian, Aduh Saliha dan lagu lama, medley Salam Mesra dan La Obe, tawa ceria menghiasi dewan yang padat dengan tetamu.

Gurau Mawi yang agak semput selesai menyanyikan medley lagu 60-an itu, malah sempat ke belakang pentas untuk meneguk air, dia menyangkakan tanggungjawab sebagai penyanyi itu mudah.

“Dulu saya ingat senang jadi penyanyi, hanya berdiri di pentas dan menghiburkan peminat. Rupanya tidak, peranan sebagai artis sebenarnya jauh lebih besar. Saya akui agak semput apabila menyanyikan lagu rancak ketika ini. Maklum badan tengah naik dan paling saya risau jika perut boroi,” katanya.

Hanya berkesempatan sekali mengadakan latihan penuh kerana Rossa tiba lewat petang Sabtu lalu, tetamu terus ditemani alunan lunak lagu Aku Bukan Untukmu dan merasai getaran tenaga penyanyi periang itu menerusi lagu Pudar dan Sakura.

Lebih bermakna buat Rossa apabila persembahan mereka berdua petang itu turut diserta Sultanah Kedah, Tuanku Sultanah Haminah Hamidon dan isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.



Profil Rossa


NAMA SEBENAR: Sri Rossa Roslaina Handiyani
TEMPAT KELAHIRAN: Sumedang
TARIKH LAHIR: 9 Oktober 1978
HOBI: Membaca, menonton
PENDIDIKAN: Sarjana Fakulti Ilmu Sosial dan Ilmu Politik, Universitas Indonesia
ALBUM: Untuk Sahabatku (1988), Nada Nada Cinta (1996), Tegar (2000), Kini (2002), Kembali (2004) dan Yang Terpilih (2006).


No comments: