7 Tenggang!

KUALA LUMPUR: Marah dan kesal dengan perbuatan tujuh anak mengabaikan kebajikan ibu bapa mereka yang sudah uzur sebagaimana didedahkan Harian Metro, Sabtu lalu, ahli Dewan Rakyat, semalam sepakat melahirkan kekesalan sambil mengutuk tindakan anak derhaka terbabit.

Serentak itu, beberapa Ahli Parlimen mencadangkan kerajaan mengenakan potongan gaji terhadap anak berkemampuan yang menghantar ibu bapa ke pusat jagaan, manakala anak yang sanggup menjaga orang tua mereka diberi insentif.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

Datuk Badruddin Amiruldin (BN-Jerai) menyarankan anak yang mengabaikan ibu bapa tidak diberikan sebarang bentuk bantuan kerajaan.

“Saya cadangkan kerajaan menutup pusat jagaan warga emas supaya anak lebih bertanggungjawab terhadap ibu bapa yang membesarkan mereka selama ini.



“Justeru, saya berpendapat kerajaan jangan ambil tanggungjawab untuk menjaga orang tua ini. Biar kita keluarkan dalam akhbar siapa bapa yang tak terjaga dan minta anak dia jaga,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Pusat Jagaan (Pindaan) 2006 di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau berkata, generasi masa kini begitu mudah menjadi ‘anak derhaka’ sehingga sanggup menghantar ibu bapa ke pusat jagaan warga emas sedangkan ibu bapa mereka boleh membesarkan anak.

Datuk Mohamad Shahrum Osman (BN-Lipis) berkata, peruntukan yang sedang dibahaskan sekarang bukan untuk menggalakkan anak menghantar ibu bapa ke pusat jagaan, tetapi memastikan orang tua terbela dan anak pula bertanggungjawab menyediakan keperluan ibu bapa masing-masing.

“Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat perlu mengubah persepsi masyarakat bahawa dalam keadaan yang sudah berubah, pusat jagaan perlu dikenali sebagai usaha penjagaan ibu bapa selepas anak keluar bekerja,” katanya.

Datuk Idris Haron (BN-Tangga Batu) pula hairan kerana mengikut istilah, emas patutnya disimpan, tetapi warga emas sebaliknya dihantar ke pusat jagaan.



“Sebenarnya emas ini kena simpan, tapi warga emas atau usia emas dihantar ke tempat lain. Dilabur di rumah orang tua,” katanya.

Beliau mencadangkan pusat jagaan orang tua diberi wajah baru, dilengkapi kemudahan selesa dan jangan jadikan seperti pusat tahanan atau pusat serenti.

Mohd Yusof Majid (BN-Setiu) mencadangkan kerajaan memotong gaji anak berkemampuan bagi menyedarkan mereka supaya lebih menghargai dan bertanggungjawab terhadap ibu bapa yang banyak berjasa.

“Setuju atau tidak, anak yang hantar ibu bapa ke pusat jagaan warga emas dikenakan potongan gaji, manakala yang menjaga ibu bapa diberi insentif selain potongan cukai,” katanya.

Cadangan Mohd Yusof turut dipersetujui Datuk Mahadzir Mohd Khir (BN-Sungai Petani) yang berpendapat tugas menjaga ibu bapa bukan satu bebanan, tetapi tanggungjawab bersama.



Datuk Rosli Mat Hassan (BN-Dungun) turut mencelah dengan mencadangkan kerajaan menyediakan akta atau undang-undang baru bertujuan memastikan setiap anak lebih bertanggungjawab dan tidak hanya tahu menghantar ibu bapa yang sudah uzur ke pusat jagaan warga emas.

“Ini supaya anak-anak tidak menghantar ibu bapa ke rumah jagaan warga emas sehingga menjejaskan kempen masyarakat penyayang,” katanya.

Pada 7 April lalu, Harian Metro melaporkan nasib sepasang suami isteri, Bakhtiar Ramli (bukan nama sebenar), 63, dan isterinya yang berusia 50-an yang diabaikan tujuh anak mereka.

Tindakan tujuh beradik itu disifatkan sebagai anak derhaka apabila sanggup membuang ibu dan ayah mereka yang menghidap penyakit asma dan sakit mental sejak setahun lalu, sehingga pasangan warga emas itu terpaksa menumpang dan menagih simpati di rumah saudaranya.

Berikutan itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) terpaksa mengambil alih tugas anak derhaka itu dengan menempatkan pasangan terbabit di pusat jagaan warga emas, Rumah Seri Kenangan (RSK) di Kampung Ungku Mohsin, Johor Bahru.


No comments: