Saham Neraka!

KUALA LUMPUR: “Saya berdosa. Niat untuk memperbaiki ekonomi keluarga rupa-rupanya mendekatkan kami kepada api neraka kerana hasil daripada wang haram itu digunakan untuk membiayai kehidupan, sekali gus menjadi darah daging kami sekeluarga.”

Demikian luahan seorang wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Liza yang sanggup berhenti kerja sebagai pemandu bas sekolah di ibu kota gara-gara pendapatan lumayan mencecah lima angka yang diperolehnya hanya selepas beberapa bulan aktif melabur di dalam skim pelaburan di internet.

Liza yang berusia pertengahan 30-an dan mempunyai tiga anak menangis teresak-esak kerana insaf selepas mendapat penerangan pakar ekonomi Islam, Zaharuddin Abdul Rahman, mengenai pelaburan di internet yang disahkan haram.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

Mengimbas semula pembabitan di dalam pelaburan itu, Liza berkata, ia bermula awal tahun lalu selepas mendapat maklumat daripada seorang rakannya lalu membuat pelaburan awal kira-kira AS$100 (RM380) di dalam satu skim pelaburan di internet yang ketika itu masih baru beroperasi.

“Daripada pelaburan secara suka-suka, saya menjadikannya sumber rezeki sepenuh masa sehingga berhenti kerja kerana dalam tempoh kurang enam bulan, pendapatan saya mencapai lima angka apabila ada ramai ‘downline’ (orang bawahan).

“Daripada keuntungan itu, saya melabur di beberapa skim baru di internet, sekali gus memberi pulangan lumayan yang digunakan untuk membayar hutang serta menyara hidup kami sekeluarga berikutan gaji suami kecil,” katanya.

Bagaimanapun, Liza berkata, ketika ghairah mencari untung dengan melabur di internet, dia tersentak apabila membaca di dalam ruangan tulisan Zaharuddin di Metro Ahad (MA) mengenai pelaburan di internet yang disahkan haram.

Dia yang kemudian menghubungi Zaharuddin, bertekad berhenti daripada semua pelaburan haram itu untuk membina hidup baru tanpa wang haram.



“Saya tidak mahu mengheret keluarga ke dalam api neraka hanya kerana kemewahan sementara di dunia,” katanya yang bersyukur suaminya tidak berhenti kerja meskipun pendapatan daripada pelaburan di internet mencecah puluhan ribu sebulan.

Liza juga berazam mencari kerja halal selepas ini dan akan mengira semula semua keuntungan yang digunakan hasil daripada pendapatan pelaburan di internet itu.

“Saya berjanji akan membayar sedikit demi sedikit kepada badan kebajikan untuk membersihkan diri kami sekeluarga daripada wang haram,” kata Liza.

Pada masa ini, ada beberapa skim pelaburan di internet yang popular di kalangan rakyat negara ini yang mengaku kononnya mereka syarikat pelaburan online telus yang menawarkan fenomena baru dunia pelaburan ‘off shore’.

Ada pengendali skim itu mengaku mereka berpangkalan di Zurich (Switzerland), Amerika Syarikat dan Eropah serta peneraju ekonomi yang lain untuk menarik minat pelaburan bukan hanya dari rakyat Malaysia tetapi seluruh dunia.



Kebanyakan pengendali skim menawarkan pelaburan serendah AS$20 (RM76) dengan jaminan ulangan dua peratus setiap hari selama 100 hari, sekali gus bermakna seseorang mendapat keuntungan maksimum 200 peratus dalam tempoh itu.

Malah, bagi yang melabur AS$2,000 (RM7,600) pula, skim menjanjikan pulangan sehingga 290 peratus dalam tempoh 100 hari. Jumlah pulangan terus meningkat jika seseorang pelabur mempunyai ‘downline’ (orang bawahan) yang ramai.

Seorang lagi pelabur yang mahu dikenali sebagai Hazli, 30, yang baru tiga minggu terjebak dalam pelaburan di internet, berkata dia terpaksa menunggu beberapa hari lagi untuk mendapatkan modal sebelum berhenti daripada aktiviti berkaitan riba itu.

Hazli berkata, dia menyertai pelaburan itu dengan pelaburan AS$100 (RM380). Melalui pengiraannya, selepas 100 hari, dia memperoleh keuntungan kira-kira RM950 dan selepas ditolak modal, dia bakal mendapat untung bersih RM570.

“Bayangkan, dalam masa 30 hari saya bakal mendapat RM285, sedangkan ada 70 hari lagi untuk tempoh matang. Jadi jika saya melabur dalam jumlah besar, tentu pulangannya besar. Begitupun selepas menyedari ia haram, niat itu terus terbatal dan kini saya hanya menunggu untuk mendapatkan modal semula,” katanya.



Dia yang dimaklumkan mengenai pelaburan itu oleh kakak dan abang iparnya berkata, sebelum mengetahui ia haram, dia berhasrat menggunakan keuntungan sebagai simpanan untuk membuka perniagaan, membayar hutang dan membantu ibu bapa.

“Memang pada mulanya saya bersemangat untuk menyertainya, apatah lagi selepas diberitahu keuntungan diperoleh segera. Namun selepas berfikir secara logik, ke mana wang dilaburkan itu pergi dan mengapa begitu cepat iaitu selepas sehari boleh dapat keuntungan, saya terfikir kebenarannya,” katanya.

Hazli berkata, keghairahan masyarakat Melayu menyertai pelaburan seperti itu yang menjanjikan pulangan segera mengundang risiko, selain salah di sisi agama.

“Pada saya, disebabkan ghairah melabur, tidak mustahil seseorang itu membuat pinjaman ceti haram atau along kerana dalam masa sehari sudah dapat keuntungan.

“Selain itu, berdasarkan pengalaman saya, ia melalaikan kerana kita asyik mencari ‘downline’ tanpa menitikberatkan perkara wajib seperti solat, selain menimbulkan sifat tamak. Bila dapat wang, kita mahu cari lagi banyak, sedangkan apa yang diperoleh itu tiada keberkatan,” katanya.

Prepaid4U.Net Your Mobile Lifestyle

Bagaimanapun, rasa insaf Liza dan Hazli tidak dikongsi Amira, berusia pertengahan 20-an, yang bertekad tidak meninggalkan pelaburan di internet sehingga Jawatankuasa Fatwa Malaysia membuat pengumuman rasmi mengenai pengharamannya.

“Saya tidak tahu ia (pelaburan menerusi internet) halal atau haram. Ada orang kata halal dan ada juga beritahu haram.

“Begitupun, ‘upline’ (orang atas) saya bergelar haji. Malah, ada rakan bertanya seorang ustazah dan diberitahu ia halal. Saya keliru, tetapi bagi saya, terpulang kepada niat masing-masing.”

Amira berkata, pada masa ini ramai orang Melayu, sama ada kakitangan swasta atau kerajaan, ‘berlumba-lumba’ menyertai pelaburan ini yang menjanjikan pulangan dalam tempoh 24 jam atau sehari selepas menyertainya.

“Soal halal dan haram sangat penting, terutama bagi orang Islam. Jika haram, tentu saya akan tinggalkan, tetapi pada masa ini saya lihat pelbagai golongan atau status menyertainya.



“Mungkin ia (skim) masih baru di negara ini dan mendapat sambutan hangat tetapi akan datang, saya tidak tahu apa akan berlaku, terutama apabila banyak pihak mula ‘bercakap’ mengenai status halal dan haram pelaburan ini sekarang,” katanya.

Gadis berasal dari Kuala Lumpur itu tidak menafikan, keuntungan segera selain ‘kerja mudah’ antara faktor ramai orang Melayu terpengaruh untuk menjadi orang kaya baru (OKB) melalui pelaburan singkat itu.

“Bayangkan, jika seseorang itu melabur AS$100 (RM380), mereka boleh memperoleh keuntungan sehingga RM950 (AS$250) selepas tempoh matang iaitu 100 hari.

“Dalam sehari, boleh untung RM9.50 (AS$2.50). Kalau malas cari downline, mereka hanya mengaut untung ini setiap hari selama 100 hari dan jika ada downline, tentu keuntungan bertambah. Memang mudah dan senang,” katanya.

Dia yang melabur AS$500 (RM1,900) beberapa bulan lalu gembira kerana hanya dalam tempoh 40 hari, modal dilaburkan diperoleh kembali dan kini dia hanya ‘makan untung’.

“Sebelum menyertai pelaburan ini, bakal pelabur diberitahu mengenai risikonya, termasuk kerugian yang akan ditanggung sendiri. Justeru, mereka yang baru digalakkan membuat pelaburan serendah AS$20 (RM76) dan lihat hasilnya sebelum membuat keputusan sendiri,” katanya sambil menambah, pelaburan tertinggi ialah AS$2,000 (RM7,600) dengan pulang mencapai RM23,000 dalam tempoh 100 hari.

Ditanya adakah dia tidak bimbang jika satu hari nanti kerajaan mengharamkan pelaburan seperti itu, Amira berkata, seandainya perniagaan itu terbukti haram, dia tidak teragak-agak meninggalkannya.




Pelaburan Menerusi Internet Adalah Haram

KUALA LUMPUR: Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim, berang ketika mendedahkan ada pegawai kanan kerajaan di negeri itu dikesan terbabit dalam pelaburan di internet yang semakin popular hingga menjejaskan prestasi kerja.

“Jika masuk jabatan kerajaan, kita melihat segelintir kakitangan sibuk berurusan atau mengendalikan pelaburan skim pelaburan menerusi internet.

“Yang menarik, bosnya (ketua jabatan) turut mengeluarkan wang untuk menyertai skim ini. Ini menyebabkan prestasi kerja menurun,” katanya.

Bagaimanapun, hanya satu pesanan daripada Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainal Abidin kepada umat Islam yang ghairah melabur di internet:

“Jika makan khinzir itu haram dan berdosa besar, dosa makan riba adalah lebih besar daripada dosa makan khinzir. Kerana itu, al-Quran mengisytiharkan riba sebagai perang.”



Beliau berkata demikian ketika menjelaskan mengenai pelaburan menerusi internet yang disifatkannya riba.

Menurut mufti termuda negara itu, tindakan ramai orang Melayu menyertai pelaburan itu yang menjanjikan pulangan dalam tempoh singkat jelas bertentangan dengan Islam.

“Pelaburan ini tidak menjalankan sebarang bentuk perniagaan kerana menggunakan pulangan tetap (fixed return) yang jelas bertentangan dengan prinsip Islam iaitu Mudharabah.

“Apabila melabur, pelabur tidak perlu berbuat apa-apa, hanya tunggu keuntungan tanpa mengetahui apa yang dijalankan itu betul atau salah,” katanya.

Dr Mohd Asri berkata, sehubungan itu Majlis Fatwa Perlis (MFP) yang bersidang bagi membincangkan perkara berkenaan 10 Mac lalu mengeluarkan fatwa sebarang bentuk pelaburan menerusi internet adalah haram.



Namun, katanya, keputusan itu belum dibawa kepada Majlis Agama Islam Perlis (MAIP) dan pihaknya akan berbuat demikian pada pertemuan akan datang supaya dapat memberi gambaran sebenar, khususnya kepada umat Islam.

Dr Mohd Asri berkata, dalam perkara itu umat Islam tidak seharusnya mengambil jalan mudah dengan memikirkan keuntungan semata-mata tanpa mengkaji apa yang dilakukan atau disertai.

“Dalam perkara seperti ini yang menawarkan keuntungan atau pulangan segera, orang Melayu memang suka tetapi mereka perlu ingat, ini adalah haram dan berdosa besar.

“Memang ada pihak mengabui mata mereka, pada peringkat awal akan dapat pulangan, tetapi saya pasti ada pihak akan terkena,” katanya.

Beliau kesal kerana ada pihak tidak bertanggungjawab menggunakan nama pejabat Mufti Perlis dan beberapa pejabat kerajaan lain dengan mendakwa mereka menghalalkan pelaburan itu.


“Ingin saya tegaskan di sini, kami tidak pernah memberi kebenaran, jauh sekali menghalalkan pelaburan menerusi internet, kerana ia jelas haram dan berdosa besar. Begitupun, kami ambil langkah perlu bagi mengelak ia menjadi lebih buruk,” katanya.

Ditanya adakah perkara itu akan dibawa ke Majlis Fatwa Kebangsaan atau kepada majlis agama Islam negeri lain, Dr Mohd Asri berkata, ia terpulang kepada negeri masing-masing.

“Kita di Perlis mengharamkannya tetapi di negeri lain, terpulang kepada jabatan atau majlis agama masing-masing. Begitupun, saya sarankan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengambil tindakan segera supaya tidak ramai terbabit dan jadi mangsa,” katanya.

Pada masa sama, beliau menasihatkan orang Melayu khususnya supaya lebih berhati-hati sebelum menyertai sesuatu skim dan perlu merujuk kepada pihak berwibawa jika ada keraguan.

“Pada hari ini, ada pihak tidak bertanggungjawab menggunakan istilah Islam, sekali gus mengelirukan umat Islam yang menyangka sesuatu perkara itu berlandaskan hukum Islam.

“Hari ini kita ada sekuriti syariah yang menjalankan analisis mengenai pelbagai perkara. Bagi yang kurang faham, boleh merujuk kepada mereka yang terbabit,” katanya.



Sumber : Metro Ahad Edisi 18-03-07



Kata Izalsyah; "Lauk tambah, 'Hukum Melabur Dalam Swiss Cash.' "




No comments: