Nadiah Amirah & SPM 19 1A

BATU PAHAT 4 Mac – Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2006 yang akan diumumkan pada 12 Mac ini dijangka menyaksikan satu lagi rekod baru dilakarkan apabila seorang pelajar perempuan dari sebuah sekolah di pekan Rengit dekat sini berjaya memperoleh 19 1A.

Pelajar pintar itu, Nadiah Amirah Jamil, 18, ialah penuntut Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Sardon.

Berita kejayaan itu dibayangkan kepada Nadiah Amirah oleh pegawai Kementerian Pelajaran yang menghubunginya pada 24 Januari lalu bagi mendapatkan biodatanya.

Photobucket - Video and Image Hosting
CEMERLANG... Nadiah Amirah Jamil yang memperoleh 19 1A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2006 menunjukkan 19 kertas soalan mata pelajaran yang diambilnya di Kampung Sungai Tongkang Tambak, Batu Pahat, Johor, semalam.



Pengumuman kejayaan itu kelak, jika benar, akan memadamkan rekod Nur Amalina Che Bakri dari Sekolah Menengah Ulu Tiram dekat Johor Bahru yang mendapat 17 1A dalam SPM 2004.

Nadiah Amirah, anak sulung daripada tiga beradik, mengambil mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik Moden, Matematik Tambahan, Fizik, Kimia, Biologi, Sejarah, Pendidikan Islam serta Bahasa Inggeris dalam Sains dan Teknologi (EST).

Dia juga mengambil subjek Prinsip Akaun, Perdagangan, Ekonomi Asas, Tasaur Islam, Pendidikan Al-Quran dan Sunah, Pendidikan Syariah Islamiah, Sains Teras, Geografi dan Sastera.

Gadis ini sememangnya pelajar pintar sejak di sekolah rendah lagi apabila mencatatkan keputusan 5A dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di Sekolah Kebangsaan Sungai Tongkang, Rengit.

Keputusan itu melayakkannya meneruskan pelajaran di Sekolah Menengah Sains Kluang dan dia sekali lagi mencatat keputusan cemerlang 9A dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Demi cita-citanya untuk memadamkan rekod Nur Amalina yang menjadi idolanya, Nadiah Amirah sanggup meninggalkan segala kemudahan di sekolah berasrama penuh untuk kembali menyambung pelajaran di Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Sardon yang dikategorikan sebagai sekolah luar bandar.



Tanpa had

Ketika ditemui Utusan Malaysia, Nadiah Amirah berkata, hanya di sekolah biasa sahaja seseorang pelajar dibenarkan mengambil jumlah mata pelajaran tanpa had dalam peperiksaan SPM.

Katanya, jika dia hendak menyaingi Nur Amalina, dia kena bertukar ke sekolah biasa.

Usaha dan pengorbanannya itu berbaloi dengan kejayaan cemerlang sebagai pelajar tunggal yang memperoleh 19 1A.

Namun apa yang pasti, Johor sekali lagi bakal melahirkan seorang pelajar pintar daripada keluarga sederhana.

Kata Nadiah Amirah: “Keazaman dan cita-cita mengatasi segalanya.”

Bapa Nadiah Amirah, Jamil Omar, 55, ialah guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Sardon manakala ibunya, Zakiah Zakaria, 51, mengajar di sebuah sekolah kebangsaan di Rengit.


Lauk Tambah; Nadiah kongsi rahsia kejayaan melalui dua buku



Sumber : Utusan Malaysia Edisi 05-03-2007



Ucap Izalsyah; "TAHNIAH! TAHNIAH! & TAHNIAH"





No comments: