Lembu Cuci Dosa

KUALA LUMPUR: Menunaikan haji bukan di Makkah, membersihkan dosa cukup beri lembu sekadar pengeras. Itu antara pegangan kumpulan ajaran sesat diketuai seorang lelaki digelar ‘Tok Guru’ yang dikesan bergiat aktif di Selangor sekarang.

Tok Guru terbabit hanya bergerak pada waktu malam bersama beberapa pengikutnya untuk mencari ahli baru yang mahu mencuci dosa.

Dia akan memberi ceramah sebelum menilai jenis dosa yang dilakukan ahli baru.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

Berdasarkan maklumat diperoleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) melalui aduan dan perisikan, pengikut yang terlalu banyak dosa perlu menjalani pembersihan beberapa peringkat ditetapkan.

Peringkat pertama membabitkan seekor dua lembu untuk dikorbankan.

Setakat ini, kumpulan ajaran sesat itu hanya bergiat aktif di sekitar Selangor.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Belia dan Mesra Rakyat Selangor, Datuk Abdul Rahman Palil memberitahu Harian Metro kumpulan ajaran sesat terbabit baru ditubuhkan beberapa bulan lalu.

“Pengikutnya dipercayai menjalankan kegiatan semata-mata untuk mengaut keuntungan.



“Ketua kumpulan yang digelar Tok Guru itu bukan saja meminta lembu, malah turut mengenakan caj RM200 hingga RM300 sebagai wang untuk disedekah selepas selesai upacara mencuci dosa dijalankan.

“Tok Guru terbabit juga akan meminta ahlinya menyerahkan wang tunai bagi mereka yang ingin menunaikan haji tetapi bukannya di Makkah, sebaliknya lokasinya ditetap sendiri oleh Tok Guru,” katanya di sini, semalam.

Selain itu, menurutnya, pengikut yang mahu menyuci dosa hanya diminta menyerahkan lembu untuk dikorbankan tetapi tidak mengetahui kegunaan dagingnya.

Bagi mengelakkan mereka memecahbelahkan umat Islam di negara ini, menurut Abdul Rahman, Jais hanya menunggu masa untuk memberkas ketua dan pengikut ajaran sesat terbabit.

“Jais akan memastikan kumpulan ajaran sesat yang baru wujud itu dilumpuhkan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya tidak boleh mendedahkan lagi nama kumpulan ajaran sesat itu kerana bimbang ia ‘ghaib’ hingga sukar dikesan.



No comments: