Toyol 'Lebai Celup'

KUALA LUMPUR: Sindiket pemungut derma yang diketuai seorang lelaki ‘lebai celup’ sanggup mengajar muridnya terdiri kanak-kanak perempuan berpura-pura menjual buku agama sebelum mencuri barangan berharga pemilik rumah.

Kanak-kanak itu dihantar lelaki berlagak alim terbabit menggunakan van pada awal pagi di sekitar taman perumahan mewah sebelum menjemput mereka pulang sebelah petang.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

Lebai yang tidak ‘berhati perut’ itu menggunakan khidmat kanak-kanak bagi meraih simpati orang ramai selain mengambil kesempatan mencuri barang berharga pemilik rumah yang tidak menyedari kehadiran mereka.

Kegiatan sindiket itu sukar dikesan pihak berkuasa berikutan lebai celup terbabit sangat licik.

Bagaimanapun, penduduk di kawasan dikunjungi pernah terserempak dengannya ketika dia datang menghantar dan menjemput muridnya.

Pegawai pemasaran, Juniza Yasmini Hussein, 35, yang tinggal di Alam Damai, dekat sini, adalah antara beberapa mangsa sindiket peminta sedekah terbabit apabila pelbagai barangan berharganya bernilai RM4,670 dilarikan kanak-kanak itu, tengah hari Ahad lalu.

“Kumpulan pemungut derma itu sering mengunjungi rumah saya, terutama pada hujung minggu untuk menjual pelbagai jenis buku agama dan mereka memang bersopan-santun.



“Bagaimanapun, kira-kira jam 1 tengah hari Ahad lalu, seorang kanak-kanak perempuan datang tanpa memberi salam seperti kelazimannya menyebabkan saya tidak sedar,” katanya kepada Harian Metro di sini, semalam.

Ketika itu, dia berada di ruang tamu sambil menonton televisyen dan pintu rumah tidak berkunci.

“Saya tidak sedar langsung kehadiran kanak-kanak itu. Saya meletakkan beg tangan di atas meja berhampiran pintu dan sebaik menoleh untuk mengambil telefon bimbit, saya dapati beg tangan itu lesap sekelip mata.

“Saya terus berlari keluar rumah untuk meninjau kelibat pencuri dan ketika itu, jiran sebelah rumah memaklumkan dia ternampak seorang kanak-kanak perempuan bertudung yang selalu datang menjual buku agama keluar dari rumah saya,” katanya.

Bagaimanapun, Juniza berkata apabila menjenguk di luar pagar depan rumahnya, dia tidak nampak kelibat kanak-kanak yang dimaksudkan jiran itu yang mungkin sudah menyembunyikan diri.



“Saya sedih kerana beg yang hilang itu mengandungi beberapa barang peribadi, termasuk kamera digital, wang tunai, telefon bimbit serta barangan berharga lain,” katanya yang membuat laporan di balai polis berhampiran.

Dia langsung tidak menyangka kanak-kanak bertudung yang dipercayai masih menuntut di sebuah pondok agama, menjadi budak suruhan lebai celup terbabit.



Sumber : Harian Metro Edisi 09-03-07



Kata Izalsyah; "Banyak lagi kerja halal 'Bang Lebai' oii!!!"





No comments: