Keputusan SPM 24 A1???

IPOH: Bapak borek anak rintik. Mungkin itu peribahasa paling sesuai bagi pasangan anak dan bapa yang mendakwa mereka memperoleh keputusan cemerlang 24 1A dalam peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) 2006.

Namun, dakwaan itu langsung tidak logik kerana Kementerian Pelajaran hanya membenarkan seseorang pelajar mengambil maksimum 21 mata pelajaran untuk peperiksaan berkenaan.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

Antara faktor lain yang menyangkal dakwaan ini ialah pelajar berkenaan baru berusia 13 tahun, manakala bapanya pula mendakwa dirinya bekerja sebagai jurutera berpengalaman dan berusia 53 tahun.

Pengarah Jabatan Pelajaran Perak, Datuk Mohammed Zakaria Mohd Noor ketika membuat pendedahan, semalam berkata, beliau dimaklumkan perkara itu oleh sebuah akhbar Tamil yang mahu mendapatkan pengesahannya, kelmarin.

Menurutnya, jurutera terbabit dikatakan menghubungi pejabat akhbar itu meminta membuat liputan kejayaan dua beranak berkenaan yang memperoleh 24 1A dalam SPM dengan lulus 100 peratus dalam semua mata pelajaran.

Bagaimanapun, berdasarkan nombor kad pengenalan, pelajar berkenaan didapati hanya berusia 13 tahun dan tiada rekod mengambil peperiksaan SPM di mana-mana sekolah di negeri ini.

“Siasatan kami mendapati tiada calon seperti ini di mana-mana sekolah di Perak, tetapi nama dan nombor kad pengenalan yang digunakan adalah sah.

“Berdasarkan slip peperiksaan yang disalin wartawan akhbar itu, lelaki terbabit mendakwa anaknya menuntut di sebuah sekolah terkenal di bandar raya ini dan memperoleh semua 1A dalam 24 subjek dan begitu juga dengan dirinya.

“Salinan slip ini kami sahkan sebagai palsu kerana jelas ditaip sendiri kerana banyak kesalahan ejaan, tiada logo kementerian...panjang sehingga dua muka dan ada ucapan tahniah serta jumlah peratusan lulus berbanding format sebenar,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sijil penghargaan kepada 13 pelajar di negeri ini yang memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM 2006.

Mohammed Zakaria berkata, pihaknya juga dimaklumkan pelajar itu mengambil keputusannya di pejabat jabatan pelajaran di sini, dan tidak seperti pelajar lain di sekolah masing-masing.

Katanya, pihaknya berasa tidak logik apabila seseorang boleh mengambil sehingga 24 mata pelajaran kerana jumlah mata pelajaran maksimum dibenarkan kementerian hanya 21 walaupun 108 subjek ditawarkan.



“Ini cubaan menipu kerajaan Malaysia dan siasatan kami mendapati semua dakwaannya palsu. Ini boleh dikatakan berlaku untuk kali pertama di negeri ini dan mungkin di seluruh negara.

“Tujuan perbuatan itu untuk mendapatkan publisiti media selain mahu namanya juga disiarkan di akhbar tempatan seperti kes Nadiah Amira Jamil di Batu Pahat yang diuar-uarkan konon memperoleh 19 1A dalam SPM,” katanya.

Beliau berkata, siasatan mengenai kes itu akan diteruskan bagi mendapatkan jawapan lebih kukuh mengenai perbuatan lelaki berkenaan sebelum laporan diserahkan kepada Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) untuk tindakan.



Sumber : Harian Metro Edisi 15-03-2007




Kata Izalsyah; "Gila publisiti murah!"



No comments: