Datin Diaries

Mendengarkan kepada tajuknya saja, Datin Diaries, sudah cukup untuk menarik perhatian penonton, apatah lagi drama bersiri 26 episod ini mengenengahkan tentang kisah kehidupan serta konflik yang dialami oleh sekumpulan golongan 'datin'.

Hasil garapan pengarah tersohor, Rashid Sibir yang bakal memulakan siarannya di TV3 pada 6 Mac ini memaparkan kemelut yang melanda di dalam perkahwinan golongan ini yang cuba menyembunyikan kesedihan mereka dengan berpura-pura gembira di sebalik kehidupan mewah dan moden yang sedang mereka jalani.

"Saya memang sudah lama merancang untuk menghasilkan sebuah cerita mengenai sekumpulan wanita yang berkerjaya dan berkarisma. Setelah saya approach TV3, mereka berminat dengan idea tersebut dan terhasillah Datin Diaries.

Photobucket - Video and Image Hosting
Tiga tunggak utama Datin Diaries; Nasha, Azean dan Rita



"Tajuk Datin Diaries juga sengaja digunakan dan bukan Diari Datin kerana ini satu cara untuk tarik minat segala lapisan penonton.

"Lagipun, jalan cerita di dalam drama ini memang menggunakan bahasa Melayu dan Inggeris, jadi saya tidak rasa penggunaan tajuk itu dilihat tidak sesuai," ujar Rashid ketika ditemui pada majlis pelancaran drama tersebut di Izzi Restaurant, Kuala Lumpur semalam.

Datin Diaries dibintangi oleh lebih 26 pelakon-pelakon handalan seperti Azean Irdawaty, Rita Rudaini, Nasha Aziz, Fazura, Jalaluddin Hassan, Fahrin Ahmad, Ahmad Tarmimi Saregar dan Zulhuzaimy.

Turut berlakon di dalam drama ini ialah Ako Mustafa, Elly Suriati, Catriona Ross, Rosnah Mat Aris, Yasmin Hamid, Zek Zaidi dan Linda Onn.

Teraju utama drama ini dibawa oleh pelakon veteran Azean Irdawaty sebagai Datin Mary, yang merupakan pengerusi Kelab Datin dan adalah seorang 'datin' yang paling berpengaruh. Drama ini turut diwarnai dengan watak Datin Molly (Rita Rudaini), Datin Sally (Nasha Aziz) dan Datin Nelly (Fazura) yang menghadapi masalah rumahtangga masing-masing.



Ditanya mengenai persepsi orang ramai kelak tentang drama ini yang berkemungkinan boleh mencetuskan sebarang kontroversi, Rashid berkata semuanya terserah kepada penonton sendiri untuk membuat penilaian.

"Ini adalah cerita mengenai kehidupan, terpulanglah kepada persepsi penonton. Apa yang saya cuba paparkan dalam drama ini ialah kisah hidup orang-orang berada, bertaraf tinggi dan apa yang berlaku di sekitar kita.

"Bagi saya, jika kita terima drama ini sebagai bentuk hiburan, tidak ada sebarang masalah yang akan timbul," kata Rashid.

Ujarnya lagi, jika drama-drama terbitan produksi Indonesia dan Filipina berjaya menambat hati penonton negara ini, tidak mustahil drama tempatan seperti Datin Diaries juga mampu mempunyai peminatnya tersendiri.

"Stesen-stesen televisyen asyik beli drama-drama dari sana. Kami tidak layak ke buat cerita seperti itu?



"Sebenarnya, semua bergantung kepada kepercayaan yang diberikan kepada kami, penerbit-penerbit tempatan. Jika ada peluang, kami juga boleh buat cerita-cerita seperti yang dihasilkan oleh produksi luar," katanya.

Menurut Rashid, drama yang akan tamat penggambarannya sekitar minggu depan ini bukan saja mempunyai kekuatan daripada jalan ceritanya, malah juga terletak pada barisan pelakon yang membintangi Datin Diaries ini.

Masakan tidak, hampir keseluruhan pelakon yang terlibat di dalam produksi ini adalah mereka yang mempunyai nama besar di dalam industri.

"Saya sudah berada di dalam industri ini lebih 10 tahun dan saya sudah bekerja dengan ramai pelakon di Malaysia ini. Kalau komitmen mereka bagus dan mampu menghasilkan produk yang baik, apa salahnya saya pilih mereka lagi?

"Memang sukar dan adalah satu cabaran besar juga untuk dapatkan semua pelakon tersebut. Tetapi, alhamdulillah mereka bersetuju untuk terlibat di dalam drama ini," tambah Rashid.



Datin Diaries akan mula disiarkan setiap Selasa, jam 11 malam di TV3 dengan episod pertamanya pada 6 Mac ini.



Sumber : mSTAR Online


Sampuk Izalsyah; "Lepas ni buat la pulak cite Datuk Diaries. Datuk K sesuai rasenyer jadi tunggak utama!" Ahaks!



No comments: