Bas Sekolah Terhumban Dalam Paya

GUA MUSANG: Perubahan sikap seorang pelajar wanita yang tidak mahu dihantar bapanya ke tempat menunggu bas pagi semalam membawa petanda dia pergi selama-lamanya meninggalkan keluarga.

Noashikah Mohd Zain, 16, terbunuh selepas bas sekolah dinaikinya terbabas ke dalam paya dekat Kampung Panggung Lalat disini, pada jam 2.45 petang semalam.

“Saya hairan apabila arwah tiba-tiba tidak mahu bapanya menghantar ke tempat menunggu bas seperti biasa,” kata Maznah Ghani, ibu kepada Noashikah.

Photobucket - Video and Image Hosting

Namun, Maznah berkata, suaminya tetap mahu menghantar arwah ke tempat menunggu bas 100 meter dari rumah mereka kerana bimbangkan keselamatannya berjalan seorang diri kerana keadaan masih gelap.

“Bagaimanapun, apabila separuh jalan, arwah sekali lagi meminta bapanya berhenti kerana dia mahu berjalan kaki ke tempat menunggu bas.

“Suami akhirnya akur dan membiarkannya berjalan seorang diri.

“Rupa-rupanya itu petanda awal dia mahu meninggalkan kami sekeluarga,” katanya ketika ditemui di Hospital Gua Musang (HGM), petang semalam.

Maznah berkata, dia diberitahu mengenai kemalangan menimpa anaknya oleh jiran lantas bergegas ke tempat kemalangan bersama suami kira-kira jam 3.30 petang.



Ketika itu, dia dimaklumkan anaknya tersepit dalam bas berkenaan.

“Saya hanya mampu berdoa semoga dia selamat.

“Setiba di tempat kejadian, saya lihat usaha mengeluarkan arwah sedang dilakukan sebelum diberitahu dia sudah meninggal,” katanya.

Dalam kejadian itu, tiga termasuk dua pelajar maut apabila bas sekolah yang membawa 37 pelajar terbabas.

Mereka yang maut Noashikah pelajar Sekolah Menengah Tengku Indera Petra (SMTIP) I akibat cedera parah di kepala, Nor Azlina Alias, 16, pelajar Sekolah Menengah Tengku Indera Petra (SMTIP) II, dan seorang lelaki yang menumpang bas berkenaan, Suriadi Ismail, 26.

Tiga pelajar cedera parah manakala yang lain hanya cedera ringan.

Ketika kejadian, bas itu dalam perjalanan dari Gua Musang menuju ke Kuala Betis bagi menghantar pelajar sekitar Kampung Panggung Lalat, Kampung Lalang dan Kuala Betis pulang ke rumah.

Ketika melalui selekoh berhampiran Felcra Panggung Lalat itu, pemandu bas berkenaan, Mohd Adlan Awang, 27, gagal mengawal kenderaan apabila berselisih dengan sebuah lori pasir.

Keadaan itu menyebabkan bas terbabit terbabas ke kanan jalan sebelum terhumban ke dalam paya sedalam kira-kira tiga meter.



Sementara itu, bapa Suriadi, Ismail Yusof, 56, berkata dia tidak menyangka arwah yang juga seorang pemandu lori turut menjadi mangsa dalam kejadian itu.

Menurutnya, hatinya tergerak melihat kejadian itu selepas diberitahu mengenai kemalangan terbabit.

“Saya terkejut apabila diberitahu Suriadi juga maut dalam kejadian berkenaan.

“Dia menumpang bas dipandu rakannya itu selepas lorinya rosak dan ditinggalkan di Gua Musang,” katanya.



Sumber : Harian Metro Edisi 06-03-07



Ucap Izalsyah; "Al-Fatihah untuk mangsa yang telah pergi dan ucapan takziah untuk keluarga yang terlibat."


No comments: