6 Ibu Muda Rentung

PADANG: Enam ibu muda di Singkarak, Sumatera Barat, rentung, ketika cuba menyelamatkan anak masing-masing di sekolah ketika gegaran gempa bumi kuat melanda kawasan itu, semalam.

Mereka adalah antara lebih 70 orang terbunuh manakala ratusan lagi cedera dalam dua gempa bumi dengan kekuatan masing-masing 6.3 dan 6.1 pada skala Richter melanda wilayah Sumatera Barat.

Photobucket - Video and Image Hosting

Unicef pula menganggar sekurang-kurangnya 82 orang terbunuh dalam gempa bumi itu.

Agensi berita Antara melaporkan enam mangsa itu dikenali sebagai Herawati, Rustami, Nina, Yet, Eva dan Mulyani.

Mereka, kecuali Eva dan Mulyani, adalah penjaja kaki lima yang sedang berniaga makanan ringan di sekitar sekolah rendah Sumani di Singkarak.

Eva dan Mulyani pula secara kebetulan ada di kawasan sekolah itu untuk menghantar nasi anak masing-masing ketika waktu rehat.

Ketika gegaran kuat, kawasan itu bergoncang dan enam wanita berkenaan berkejar ke sekolah untuk menyelamatkan anak tanpa menyedari semua murid sudah keluar ke tempat selamat.

Dalam keadaan kelam-kabut itu, seorang pemilik warung tidak menyedari dapurnya yang menggunakan bahan bakar minyak tanah, masih menyala dan terbalik sebelum menyambar minyak yang tumpah.



Seorang saksi, Neli, berkata, api dari dapur itu semakin merebak dan membakar dinding sekolah itu tanpa disedari sesiapa.

Katanya, enam ibu muda berkenaan yang mencari anak masing-masing, akhirnya terperangkap dalam bangunan sekolah dan rentung hingga sukar dikenal pasti.

Menurutnya, seorang lelaki di situ, Helmi, 40-an, tidak mampu menyelamatkan mangsa, termasuk Mulyani yang juga adik iparnya.

“Hingga kini, Helmi masih trauma dan enggan bercakap,” katanya.

Saksi lain pula mengatakan bahawa semua enam ibu muda itu memang tidak dapat menyelamatkan diri kerana api terlalu besar membakar bangunan sekolah itu.

Semua mayat itu dikebumikan keluarga masing-masing selepas dikenal pasti melalui pakaian atau barang kemas yang dipakai.

Dalam pada itu, Solok, kawasan paling teruk dilanda gempa turut menyaksikan dua kanak-kanak mati apabila sebuah bangunan dua tingkat runtuh.



Ketua Polis Solok, Lt Kol Budi Sarwono turut mengesahkan banyak bangunan musnah dan mengalami kerosakan.

Ramai penduduk tidak berani kembali ke rumah masing-masing, sebaliknya sanggup tidur di bukit berhampiran malam tadi.

“Kaum wanita menangis kerana ketakutan. Kami menyelamatkan diri secepat mungkin sebaik menyedari gempa bumi berlaku,” kata seorang pengimpal, Alpion, yang bertempiaran lari ke kawasan selamat.

Hospital dibanjiri dengan penduduk yang mengalami kecederaan.

Setiausaha Kabinet Indonesia, Sudi Silalahi, berkata kebanyakan yang terbunuh ialah penduduk di kawasan yang teruk dilanda gempa bumi itu di Tanah Datar, Solok dan Padang Panjang.

Katanya, Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono mengarahkan Panglima Tentera Nasional Indonesia dan Ketua Polis Indonesia supaya mengerahkan anggota masing-masing dan jentera berat untuk membantu kerja mencari dan menyelamat.

Jurucakap Badan Meteorologi dan Geofizik (BMG) Indonesia di Jakarta mengatakan gempa bumi yang pertama berlaku jam 10.49 pagi manakala yang kedua, 12.49 tengah hari. — Agensi




Gegaran selepas kuliah

KUALA LUMPUR: “Gegaran kuat kira-kira satu minit menyebabkan orang ramai bertempiaran lari menyelamatkan diri kerana menyangka kejadian tidak diingini akan berlaku,” kata Mohamad Erhan Rajimi Abdul Rahman, pelajar Malaysia di Padang, Indonesia, menceritakan detik cemas kejadian gempa bumi di Sumatera, semalam.

Erhan, pelajar tahun tiga jurusan perubatan yang juga Penasihat Kanan Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Indonesia cawangan Padang, berkata kejadian gempa bumi yang mengakibatkan gegaran kuat di bandar Padang, berlaku kira-kira jam 11 pagi (12 tengah hari waktu Malaysia).

“Pada masa itu saya sedang makan selepas kuliah pada sesi pagi dan apabila berlaku gegaran, terpinga-pinga melihat orang ramai lari menyelamatkan diri.

“Saya pada mulanya terkejut apabila melihat orang ramai lari bertempiaran sebelum mendapati pinggan nasi saya turut bergoyang menyebabkan saya turut menyelamatkan diri.

“Gegaran hampir seminit itu berulang lagi pada jam 1 tengah hari, sebelum diikuti gegaran ketiga pada 3 petang,” katanya ketika dihubungi Harian Metro di Padang, malam tadi.

Beliau berkata, gegaran turut berlaku kira-kira jam 8 malam, ketika semua pelajar Malaysia dikumpulkan untuk diberi penerangan oleh pihak berkuasa Konsulat Malaysia.

Katanya, seramai 226 pelajar Malaysia menuntut di Padang dan kebanyakannya mengambil jurusan perubatan dan farmasi.

“Sehingga kini tiada sebarang kecederaan dilaporkan membabitkan pelajar Malaysia di sini, dan kami semua berada dalam keadaan selamat.

“Keluarga di Malaysia tidak perlu bimbang dengan keadaan kami di sini, kerana pihak konsulat sentiasa memberi penerangan mengenai perkembangan kejadian dari semasa ke semasa.

“Kami juga dilatih supaya tidak panik dengan sebarang kejadian dan akan berkumpul di konsulat sekiranya berlaku sebarang kejadian,” katanya.




Semua pelajar kita selamat

JAKARTA: Semua 112 pelajar tajaan kerajaan Malaysia yang sedang menuntut di Universiti Andalas, Padang di Sumatera Barat, disahkan selamat dalam kejadian gempa bumi yang menggegarkan wilayah itu pada jam 11.49 pagi semalam, diikuti gegaran kedua kira-kira dua jam kemudian.

Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia di Indonesia, Dr Junaidi Abu Bakar, berkata 50 pelajar sudah berkumpul di Hospital Padang manakala yang lain sedang dalam perjalanan ke situ.

“Kebetulan seorang pegawai Konsul Malaysia di Medan sedang berada di Padang dan beliau kini mengendalikan pelajar kita di hospital itu,” katanya.

Hospital Padang menjadi lokasi pelajar Malaysia berkumpul untuk melaporkan diri apabila berlaku bencana di tempat mereka.

Dr Junaidi berkata, pelajar memaklumkan semua kuliah di Universiti Andalas dibatalkan berikutan gempa bumi itu.

Agensi Kaji Bumi Amerika Syarikat mengukur gempa bumi itu pada kekuatan 6.3 skala Richter manakala pusat gempa bumi kebangsaan Indonesia meletakkannya pada 5.8 skala Richter.

Gegaran turut dirasai di beberapa bandar di pantai barat Semenanjung Malaysia dan Singapura.




Pengsan jatuh tangga

KUALA LUMPUR: Gegaran kesan daripada gempa bumi di selatan Sumatera, Indonesia pagi semalam menyebabkan ribuan pekerja di beberapa bangunan tinggi di ibu kota panik dan segera lari menyelamatkan diri berikutan bimbang bangunan berkenaan mungkin akan runtuh.

Dalam kejadian jam 1.50 tengah hari semalam, kesan gempa bumi itu menyebabkan kebanyakan mangsa yang bertugas di bangunan tinggi yang melebihi 20 tingkat merasai gegaran terbabit dalam tempoh antara 30 saat hingga satu minit.

Tinjauan Harian Metro mendapati kesan gegaran dirasai pekerja di Menara Kembar Petronas (KLCC), Menara Celcom, Wisma Bernama dan bangunan TH Selborn di Jalan Tun Razak.

Kakitangan Menara Celcom yang dikenali sebagai Helmi, 30-an berkata, gegaran kali pertama dirasai jam 11.50 pagi diikuti gegaran kedua jam 1.45 tengah hari.

“Akibatnya kami diarah turun menyelamatkan diri dengan menggunakan tangga kecemasan sementara menunggu arahan selanjutnya.



“Saya tidak pasti apa yang berlaku berikutan hanya pekerja di tingkat 19 ke atas bangunan setinggi 22 tingkat ini merasai kesan gegaran gempa bumi,” katanya.

Menurutnya, pihak pengurusan dan keselamatan Menara Celcom turut memaklumkan kejadian itu kepada Jabatan Pertahanan Awam (JPA3) kerana bimbang berlaku kejadian tidak diingini.

Bagaimanapun, kebanyakan pekerja dibenarkan memasuki semula menara terbabit jam 2.30 petang selepas mendapati gegaran itu tidak mendatangkan kesan kepada struktur bangunan.

Kali terakhir gegaran gempa bumi dirasai di bangunan sama pada 14 Mei 2005 apabila ratusan pekerja menyelamatkan diri dalam kejadian jam 1.05 tengah hari.

Jurucakap Jabatan Meteorologi Malaysia berkata, pihaknya menerima laporan gegaran itu dirasakan penghuni bangunan tinggi di Selangor, Melaka dan Johor.

“Kejadian gempa itu berlaku jam 11.49 pagi di Sumatera Selatan, Indonesia,” katanya ketika dihubungi.

Jurucakap itu menambah, gempa bumi itu bertahap sederhana berlaku 65 kilometer ke barat laut Padang, Indonesia dan 372 kilometer ke barat daya Melaka.

Bagaimanapun, gempa bumi ini dijangka tidak menyebabkan tsunami.



Sementara itu di PETALING JAYA, suasana di Menara Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) cemas seketika apabila pekerja bergegas turun dari pejabat masing-masing selepas merasa gegaran.

Keadaan kelam-kabut itu menyebabkan seorang wanita pengsan terjatuh tangga ketika menyelamatkan diri sebelum diberi rawatan dan dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Pekerja di menara berkenaan, Zuraidah Haris, 30, berkata ketika gegaran dia sedang duduk di hadapan komputer menyelesaikan tugasannya sebelum tiba-tiba kepalanya terasa pening.

Katanya, ketika kejadian pada jam 11.50 pagi itu, dia menyangka dirinya mengalami sakit kepala dan cuba berdiri sebelum melihat skrin komputer di hadapannya tiba-tiba bergoyang.

“Apabila saya berdiri badan terasa bergoyang dan ketika itu rakan sepejabat memberitahu mengalami keadaan sama sebelum kami mendengar loceng amaran dan bergegas turun,” katanya.

Zuraidah berkata, selepas sejam berkumpul di lobi Menara PKNS, semua kakitangan dibenarkan ke pejabat masing-masing sebelum dikejutkan dengan gegaran kedua pada jam 1.45 tengah hari.



No comments: