'Mukjizat' Punk

KUALA LUMPUR: Karut dan syirik! Itulah pegangan segelintir pengikut Punk di negara ini kononnya setiap ahli kumpulan itu mempunyai ‘mukjizat’ yang boleh menguasai elemen tanah, air, api dan angin bagi melindungi ancaman orang luar.

Ahli kumpulan itu yang nyata sesat menafikan kewujudan Tuhan selain menolak Rukun Iman kelima, iaitu kepercayaan kepada hari kiamat.

Pendedahan pegangan kumpulan itu dibuat seorang remaja yang pernah menjadi pengikut Punk selama tiga tahun.

Photobucket - Video and Image Hosting

Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Sarah, 19, kini sudah kembali kepada ajaran Islam.

Menceritakan pengalamannya ketika bersama kumpulan itu, Sarah memberitahu Harian Metro, kepercayaan karut itu tersebar di kalangan pengikut kumpulan berkenaan dan berbeza mengikut identiti, pakaian dan peragaan rambut setiap ahli.

“Kumpulan Punk Anarki yang saya sertai percaya kami mempunyai kuasa ‘super’ yang tidak diberikan kepada orang biasa.

“Malah, saya pernah diperdaya apabila teman lelaki menunjukkan kuasa angin dimilikinya ketika kami berada di rumahnya di Kajang.

“Ketika itu, seorang lelaki Nepal cuba mengusik saya di luar rumah yang menjadi tempat kami berkumpul. Teman lelaki saya yang geram kemudian menunjukkan jari sebelum tiba-tiba angin kencang datang entah dari mana,” katanya ketika ditemui di Rumah Sahabat, Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Selangor (Perkid) di Hulu Langat, dekat sini, semalam.

Katanya, kejadian itu menyebabkan lelaki Nepal terbabit lari sejurus mendapati tiang ampaian rumah berkenaan tiba-tiba tercabut.

“Sejak itu saya percaya kami anggota Punk mempunyai kuasa tertentu, malah saya sendiri yakin dikurniakan kuasa api,” katanya.

Sarah menceritakan, anggota Punk remaja lelaki turut aktif menawarkan cinta murahan, terutama terhadap golongan gadis sekolah yang mudah dipikat sebelum jadi alat pemuas nafsu.

Gadis belasan tahun tidak sekadar dipengaruhi ideologi antiketuhanan oleh kumpulan punk tetapi dijaja kehormatan diri tanpa rasa malu.

“Kebanyakan gadis yang berjaya ditundukkan akan diajar oleh mentor supaya menyerahkan tubuh kepada ahli Punk pada bila-bila masa.

“Mereka dididik berpakaian Punk, bergaul bebas sesama ahli selain berpeleseran dengan melakukan gejala tidak senonoh, termasuk menjamah sampah bagi membuktikan kepatuhan sebagai ahli punk,” katanya.

Kata Sarah, walaupun agak mengerikan apabila ‘dirogol’ sekumpulan lelaki dalam satu masa, gadis Punk terpaksa akur dan tunduk kerana ia sebahagian syarat menjadi ahli Punk sejati.

Ketika mula-mula menyertai punk, dia bersyukur tidak ‘dikendurikan’ kerana dirinya sudah menjadi kekasih seorang anggota senior kumpulan Punk Anarki yang disertainya.

“Memang bersyukur kerana tidak dijadikan seperti itu,” katanya yang mengenali kumpulan itu ketika berusia 16 tahun selepas lari dari sekolah berasrama di Negeri Sembilan.

Menurutnya, ahli Punk daripada kumpulan Nazi, Anarki dan kumpulan lain tidak percayakan agama.

Rakannya yang juga bekas ahli Punk dikenali sebagai Ziela, 18, mendedahkan falsafah hidup setiap ahli punk, iaitu ‘Punk not die’ bukan kata-kata biasa kerana ia jiwa dan semangat setiap ahli.

Sementara itu, Pengerusi Perkid, Masridzi Sat berkata, Punk adalah yang kumpulan mengamalkan kegiatan terancang untuk memesongkan akidah seseorang, terutama remaja Islam melalui hiburan muzik yang mengandungi lirik memuja syaitan.

Menurutnya, mesej yang diserapkan ialah antiketuhanan atau menolak kewujudan Tuhan selain pengamalan seks rambang dan keganasan.

“Ibu bapa dan umat Islam perlu menyedari bahaya gejala punk yang bukan hanya boleh meruntuhkan bangsa, malah agama dan iman seseorang terutama remaja Islam yang mudah dipengaruhi.

“Mereka perlu mengawal pergerakan anak dan mengetahui sebarang kegiatan dilakukan,” katanya.


No comments: