Pendaki Bogel Ditangkap Beramai-Ramai

4 Pendaki Barat Direman 

KOTA KINABALU - 4 pelancong Barat terdiri daripada 2 lelaki dan 2 wanita ditahan reman selama 4 hari dilokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu bermula semalam untuk membantu siasatan kes kontroversi pendaki berbogel di Gunung Kinabalu pada 30 Mei lalu. 

 photo pendaki-bogel-gunung-kinabalu-sabah-kena-tangkap_zpsn4mby9nb.jpg

Tahanan reman ke atas 4 pelancong berusia 22 hingga 24 tahun itu dibuat selepas mendapat perintah Mahkamah Majistret Kota Kinabalu. 

4 pendaki tersebut terdiri daripada 2 rakyat Kanada dan masing-masing seorang dari Britain dan Belanda. 

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, 3 daripada mereka ditahan selepas menyerah diri di IPD Kota Kinabalu pada pukul 6 petang kelmarin.

 photo Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jalaluddin Abdul Rahman_zpszia7soco.jpg

Katanya, 2 daripada yang menyerah diri itu merupakan pasangan adik-beradik rakyat Kanada dengan diiringi wakil kedutaan negara mereka. 

"Seorang lagi yang menyerah diri merupakan pelancong lelaki rakyat Belanda."

"Seorang lagi yang ditahan ialah wanita rakyat Britain yang berusia 24 tahun di Lapangan Terbang Tawau kira-kira 12 tengah hari semalam (kelmarin)," katanya pada sidang akhbar di sini semalam. 


 photo 10-pendaki-bogel-gunung-kinabalu-sabah-2_zpsmjfdx2ei.jpg

Katanya kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 294 (a) Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan lucah di tempat awam yang boleh dijatuhkan hukuman penjara 3 bulan jika individu yang terbabit didapati bersalah. 

Kosmo! sebelum ini melaporkan tindakan 10 pendaki warga asing apabila beraksi bogel di kawasan South Peak Gunung Kinabalu pada ketinggian 3,993 meter. 

Tindakan itu mencetuskan kemarahan penduduk Sabah terutama masyarakat Kadazan Dusun yang menganggap ia sebagai penghinaan kepada Gunung Kinabalu sebagai tempat suci persemadian roh nenek moyang mereka. 

Perbuatan itu juga dianggap oleh penduduk tempatan sebagai penyebab berlakunya gempa bumi berukuran 5.9 pada skala Richter pada Jumaat lalu yang mengorbankan 18 pendaki dan malim gunung. 

Walau bagaimanapun, berdasarkan kajian pakar, Lingkaran Api Pasifik yang semakin mendekati Malaysia terutamanya di Sabah mungkin menjadi penyebab utama gempa terkuat yang pernah melanda Malaysia. 

Dalam perkembangan berlainan, Jalaluddin memberitahu, seorang lelaki Jerman berusia 38 tahun yang ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu pada Isnin lalu telah dibebaskan. 

Ujarnya, siasatan mendapati lelaki itu tidak melakukan perbuatan berbogel pada hari kejadian dan hanya saksi dalam kes tersebut. 

Dalam pada itu, kira-kira 750 orang penduduk Kampung Kiau Nuluh di sini bertempiaran lari meninggalkan rumah masing-masing semalam selepas dikejutkan dengan dentuman kuat seperti guruh selama hampir sejam dari arah lereng Gunung Kinabalu. 

"Ingatkan helikopter sedang berpusing, rupa-rupanya batu-batu sedang jatuh dari atas gunung. Mujur tidak sampai ke kawasan kampung," kata Lucy Siun, 32, yang melarikan diri ke kawasan lapang di kampung itu. 

Kampung Niau Nuluh yang terletak 10 kilometer dari Taman Kinabalu berada berhampiran dengan bahagian selatan gunung itu.

Info kejadian kes bogel di Malaysia. 

 photo info-kes-bogel-di-Malaysia_zpscfchrpbf.jpg

Sumber : Kosmo! Edisi 11-06-2015 bersamaan 24 Syaaban 1436H 

No comments: