Samsung SGH-E590; Telefon Bimbit Dalam Gaya Trendy

NAMA Jasper Morrison mungkin tidak begitu dikenali ramai namun, dalam dunia reka bentuk terutamanya untuk segmen perindustrian, pemilik nama ini adalah individu yang paling dikehendaki.

Sentuhan reka bentuknya dalam menzahirkan produk-produk khusus untuk industri termasuk barangan elektronik dan gajet sangat didambakan oleh syarikat-syarikat terkemuka dunia.

Terbaru, idea dan reka cipta eksklusif pereka ini dizahirkan untuk salah sebuah model telefon bimbit Samsung bagi siri SGH iaitu E590 yang dilancarkan awal tahun ini.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket
SELAIN warna hitam, model SGH-590 ini juga ditawarkan dalam warna putih sesuai untuk pengguna wanita.


Model yang ditujukan kepada pengguna kelas pertengahan ini biarpun nampak biasa namun, ia begitu menyerlahkan konsep rekaan yang diberikan kepada Morrison iaitu bagi menjadikannya sangat trendy.


Konsep yang sama juga dapat difahami ketika diberi peluang mengguna uji model SGH-590 ini, baru-baru ini, yang penulis sifatkan sangat mudah, praktikal dan selesa.



Hadir dalam saiz kompak dan hanya seberat 66 gram, teknologi dan aplikasi yang ditawarkan oleh SGH-590 ini bagaimanapun tidaklah secomel seperti pandangan luarannya sebaliknya sarat dengan kelebihan tersendiri.

Paling mengesankan ialah kamera auto fokus 3.2 megapiksel gajet ini yang disokong oleh saiz skrin 1.8 inci LCD TFT dengan resolusi 176x220 piksel.

Bagi mereka yang gemar merakam foto dan video menerusi telefon bimbit, gabungan kelebihan ciri-ciri itu pastinya membawakan pengalaman multimedia yang baik yang ditawarkan menerusi sebuah gajet sekecil SGH-590 ini.

Biarpun tidak menyokong kelebihan jaringan generasi ketiga (3G) sebaliknya hanya beroperasi pada jaringan tri-band GSM 900/1800/1900 MHz, telefon bimbit ini masih menawarkan capaian kepada internet menerusi GPRS dan EDGE.

Ia juga dilengkapkan dengan punca sambungan pantas termasuk Bluetooth 2.0 dan USB 2.0 sekali gus memudahkan kerja-kerja pemindahan fail dari telefon bimbit ke komputer peribadi atau sebaliknya.



Ruang kapasiti memori terbina dalam model ini iaitu 90MB juga agak besar jika dibandingkan dengan kebanyakan telefon bimbit lain dalam kelasnya dan sekiranya ia tidak memadai, slot memori sokongan jenis mikro SD turut disediakan.

Untuk pengalaman muzik pula, pengguna pasti sangat berpuas hati kerana model ini mampu menyokong pelbagai format fail muzik popular antaranya MP3, AAC, AAC+, e-AAC+ dan WMA dengan jangka hayat bateri kira-kira tujuh jam.

Namun, seperkara yang sangat mencuri perhatian mengenai model SGH-590 ini adalah aksesori yang didatangkan bersama-samanya iaitu sebuah tripod kamera yang diberi nama Bean Bag.

Aksesori yang diperbuat daripada material getah ini agak unik kerana ia sangat membantu ketika ingin merakam gambar dalam apa jua situasi seolah-olah menggunakan kamera digital biasa.

Model SGH-E590 ini kini sudah berada di pasaran dan ditawarkan dalam dua warna menarik iaitu hitam ‘Noble’ dan putih ‘Snow Silver’.

More review about Samsung SGH-E590








No comments: