Rozita dan Zizan - Ditakdir Jatuh Cinta?

SEORANG jelitawan yang mekarnya bak bunga kembang pagi. Seorang lagi si jejaka yang tidak henti-henti memuja dan memuji laksana pungguk rindukan bulan. Segalanya bermula dengan pengakuan Azizan Nin (Zizan) di dalam Pancaindera awal tahun lalu bahawa dia “jatuh cinta” dengan kejelitaan Rozita.

Kata Zizan, dia terpesona dengan Rozita yang dilihat memiliki karisma wanita yang dicari. Cantik, manja ditambah dengan santun dan susila seorang wanita, hati lelaki mana yang tidak tertawan? Meskipun belum pernah bersua muka, dalam diam Zizan mengagumi wanita seusia dengannya ini.

Itu kisah beberapa bulan lalu. Kala mendapat khabar yang ada perkembangan baru terhadap hubungan kedua-duanya, saya ajak mereka bersama untuk sesi fotografi ini. Tidak lain tujuan untuk menyelongkar segala cakap-cakap yang timbul dalam dunia hiburan bahawa merpati dua sejoli sedang dibakar api asmaranya.

Banyak kawan menyampaikan khabar bahawa mereka sering melihat kedua-dua pelakon ini mesra bersama. Selalu saja kelihatan bergandingan keluar makan, tengok wayang dan sudah pandai rindu-rinduan. Lagaknya macam orang bercinta saja.

Malah Zizan juga ada membuat pengakuan kepada teman saya bahawa hari ini hatinya sudah dicuri. Seorang wanita jelita menghuni hatinya pada saat ini. Ingin benar saya tahu apakah wanita yang dimaksudkan itu ialah Rozita Che Wan, pelakon berbakat yang mula mendapat tempat ini?

Pakej Web Jualan

Pada mulanya Zizan mahupun Rozita menolak. Tak mahu digandingkan bersama, masih terlalu awal kata mereka. Tetapi akhirnya mengalah kerana jarang ada artis yang menolak untuk berada di muka depan Pancaindera.

Pun begitu, awal-awal lagi Zizan meminta “Tolonglah janganlah disensasikan sangat kisah kami sebab baru hendak bermula,” katanya, dengan bahasa yang santun penuh ramah. Itu kata Zizan pada awal bicara. Tengoklah saja aksi mereka bila jurugambar mula membedik kameranya. Kemanjaan terserlah dan barangkali itulah cerita sebenarnya.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket
Bercinta ke? Mesra Azizan Nin bersama Rozita Che Wan.


Mesra dan manja, memanglah gaya orang bercinta. Mata saya nakal mencuri pandang, hati saya pun berbisik demikianlah dunia yang menjadi milik pasangan bercinta.

Jadi, seriuskah ini? Tanya saya kepada Zizan mulanya mengajak mereka membuka bicara.

“Pada waktu ini tak adalah apa-apa petanda ke arah yang lebih serius. Orang kata, kalau bunga tengah mekar, tak boleh terlebih baja, terlebih air. Nanti tiba-tiba saja layunya.



“Janganlah tulis besar-besar kata kami bercinta. Baru hendak mula,“ katanya diiringi ketawa.

Kata Zizan, sebagai lelaki yang sudah mencapai usia 34 tahun, dia merasakan memang sudah sepatutnya mempunyai teman istimewa. Asyik bercinta dalam filem dan drama saja, empunya diri hendak juga berasa cinta di alam realiti.

Mereka sedang mencuba. Kalau ditakdirkan perhubungan ini membuahkan sesuatu yang manis, berpunyalah jejaka yang seorang ini nampaknya. Apa yang penting, kata Zizan, dia selesa sekali “berkawan” dengan Rozita. Berteman baik, saling berkongsi jiwa dan rasa.

Malah banyak benda yang boleh dikongsi bersama dengan wanita yang bermata cantik ini.

“Saya sendiri tidak tahu macam mana hubungan kami yang sebenarnya. Kami tak pernah bercakap tentang hati dan perasaan. Sehingga hari ini memang kami rapat, selalu keluar bersama tetapi saya tak pasti apakah hatinya sudah dimiliki atau sebaliknya,” kata Zizan.



Makan Malam Romantis

Sesuatu yang tidak mungkin dilupakan apabila bercakap tentang bekas pramugara itu ialah apabila Rozita mengajak dia keluar makan malam bersama sewaktu ulang tahun Zizan yang ke-34 pada 17 Mei lalu. Satu makan malam yang cukup romantis dan bakal dikenang sepanjang kehidupannya.

Ketika itu mereka berada pada hari terakhir penggambaran drama Akankah Mungkin dan Rozita tiba-tiba mengajak Zizan keluar makan malam.

“Lepas kami makan, Rozita keluarkan kek dan minta saya tiup lilin. Rupa-rupanya dia tahu hari itu ulang tahun saya. Betul, seumur hidup saya tak pernah ada perempuan yang buat macam tu. Sebab itu saya katakan dia istimewa dalam hidup saya,’’ kata Zizan lagi.



Kalau Jodoh Dengan Artis

Sebagai lelaki, kata Zizan, dia bersedia menerima sesiapa saja sebagai suri di hatinya. Baik artis mahupun orang biasa, apa juga status bukan halangan besar. Yang penting, dalam hati ada cinta. Zizan mencari wanita yang bijak mengambil hati, manja dan boleh menjadi teman, bukan setakat kekasih di halaman.

Bercakap tentang Rozita, dia mengakui wanita itu mempunyai banyak ciri yang diinginkan.

“Suka dia sebab ciri-ciri Melayu yang tinggi. Dia suka memasak. Memang jarang sangat sekarang ni kalau kita dengar hobi wanita suka memasak. Malah Rozita juga suka menjahit. Kalau ke kedai bahan jahitan saja yang selalu dibelinya.

“Malah di lokasi pun kalau ada waktu senggang, dia selalu menyudahkan jahitan, bukan bersembang kosong. Itu yang buat saya senang dengan dia,” katanya.



Bertuahnya Zizan. Nampaknya Aidilfitri akan datang tak payahlah menempah baju Melayu di kedai. Maklum sajalah, buah hati khabarnya pakar menjahit baju Melayu lelaki. Bagaimanapun yang pasti kata Pelakon Lelaki Harapan di Festival Filem Malaysia ke-20 ini, untuk ke fasa selanjutnya, mungkin akan mengambil masa yang agak lama.

Kerana bagi Zizan, bukan mudah untuk menyayangi orang, apatah lagi seorang wanita yang kita anggap istimewa. Dia sendiri tidak tahu sejauh mana hubungan ini boleh pergi. Ke fasa yang lebih serius atau terhenti hanya sekadar di batasan teman istimewa semata?

“Saya sendiri tak ada jawapan. Kadang-kadang saya akui saya ni orang tak punya. Pakai pun kereta kecil saja. Saya bukan orang kaya, sekadar artis biasa yang punya cita-cita besar.

“Apa pun saya percaya kepada takdir. Kalau dijanjikan ada sesuatu untuk kami bersama, insya-Allah saya bersedia,” katanya dengan bahasa paling jujur.



Senang Dengan Si Dia

Rozita sendiri mengakui dia juga senang dengan Zizan. Katanya, pada waktu ini Zizan adalah teman lelaki yang paling rapat dengan kehidupannya.

“Zizan datang kebetulan pada masa saya tak ada sesiapa sebagai teman lelaki. Tetapi masih terlalu jauh untuk gambarkan ke arah mana hubungan kami selepas ini,’’ kata Rozita yang senang membahasakan dirinya sebagai Ita saja ini.

Kata Rozita, buat masa sekarang hanya Zizan satu-satunya lelaki yang rapat dengan kehidupannya.

Justeru tidak salah kalau mereka sering keluar bersama, ke majlis makan malam, menonton wayang dan teater berdua. Diterjah dengan soalan, benarkah ke tahap bercinta bagai dikata? Rozita tersenyum manja.

“Biarlah dulu. Kalau hendak kata bercinta tu jauh lagi. Kami perlu kenal hati budi dulu. Biarkan hubungan ini berjalan dan bergerak mengikut arusnya sendiri, bukan dipaksa-paksa.



“Tetapi saya tak nafikan mengenali Zizan adalah antara detik indah dalam hidup saya,” katanya lagi. Ini kerana si kacak ini bukan lelaki jenis berpeleseran ke kelab malam pada waktu kelapangan. Hobi mereka kebetulan saja sama, memerap di rumah.

Menghargai nilai kekeluargaan, Rozita memberitahu, dia memerlukan lelaki yang sarat dengan nilai tanggungjawab. Bukan sahaja kepada dirinya, malah kepada dua anak dari perkahwinannya yang terdahulu.

Apatah lagi Rozita sendiri membayangkan dia tidak akan lama berada dalam dunia hiburan. Hampir dua tahun menjelajah ke dunia artis Rozita mengakui bukan sesuatu yang mudah untuk membawa gelaran sebagai artis.

Gelaran popular juga bukan mudah untuk disandang di bahu. Memerlukan semangat yang kuat, daya tahan yang kukuh dan tebal telinga.

“Buat silap sikit, kena kutuk teruk. Itulah derita besar jadi artis. Sebab itu sekarang saya baru sedar, saya lebih senang dengan cara hidup lama. Saya bukannya suka glamor, suka hidup normal. Masak, jaga budak-budak, itu dunia saya,’’ katanya.

Kata Rozita, dia merancang untuk tidak berlari terlalu jauh dalam dunia artis. Kalau berpeluang, dia mahu mengambil jalan pintas, keluar ke dunia biasa dan menghambakan diri kepada kehidupan berkeluarga.



Lelaki Kaya Mudah Beli Cinta

Yang penting kata Rozita, dia masih mencari siapakah lelaki yang bakal membawa kebahagiaan di hatinya. Mengakui sukar untuk mencari lelaki yang ikhlas pada ketika ini, yang bersepah adalah lelaki jenis suka mengambil kesempatan terhadap wanita.

Lelaki kaya, berpangkat dan berkedudukan barangkali boleh membawa kesenangan dan kemewahan. Tetapi dari sudut lain, untuk apa kaya-raya, harta melimpah kalau hati berjarak bahagia.

“Banyak lelaki kaya anggap mereka mudah membeli cinta wanita. Sebab itu kadangkala saya menjadi takut dengan lelaki yang berpangkat, yang banyak duit. Mereka pandang wanita sebelah mata dan boleh dibeli dengan duit.

“Sebab itu dalam kehidupan hari depan, saya senang mencari lelaki yang biasa saja. Biar susah sikit tak apalah, asalkan kita membina hidup bersama-sama untuk hari tua. Itu lebih bermakna daripada bertemu dengan lelaki kaya tetapi tidak menghargai cinta,’’ katanya.

Sepanjang kehidupannya, kata Rozita, dia tidak pernah bermimpi untuk mencari lelaki yang kaya-raya. Bertemu jodoh dengan lelaki biasa, sederhana saja kewangannya sudah memadai andai mampu mencari bahagia.

“Saya lebih menghargai lelaki yang sama-sama bangun dengan saya. Kita sama-sama cari duit, cari kekayaan berdua. Lelaki seperti itu akan lebih menghargai wanita di sampingnya,’’ katanya lagi.



Zizan Unik

Lalu apa yang membuatkan dia merasakan Zizan istimewa? Rozita dengan laju menjawab, “Penting sekali dia tak pernah perasan dirinya hebat. Rendah diri dan bersikap ambil berat.’’

Apa pun kata Rozita, dia takut untuk mengharap lebih kepada perhubungan berkenaan. Dia bimbang hati terluka kalau terlalu pantas membuat keputusan. Biarlah hari-hari yang mereka lewati memberikan jawapan apakah mereka boleh bersama ke fasa selanjutnya, atau kekal hanya sebagai sahabat sahaja.

“Dalam kehidupan saya selalu percaya kepada falsafah cinta. Ada orang kata, benda paling susah hendak dapat dalam hidup ialah dicintai oleh orang yang kita cintai. Jadi saya tak mahu terlalu terburu-buru,” katanya. Mungkin benar pesan orang tua-tua, orang yang memegang tangan kita daripada terjatuh akan membuatkan kita jatuh cinta dengannya.











No comments: