Islam Galak Merantau Cari Rezeki Halal

ISLAM berjaya merubah pandangan sesetengah pihak yang beranggapan pekerjaan sebagai satu yang rendah dan hina. Malah, Islam menjunjung tinggi nilai kerja walau apa pun bentuknya dan mencela pengangguran atau menumpang hidup kepada orang lain.

Islam menerangkan kepada manusia bahawa bekerja keras memperoleh rezeki halal adalah sesuatu yang mulia, walaupun sebahagian manusia memandangnya sebagai sesuatu yang hina.

Memang ada kumpulan yang menganggap pekerjaan hina seperti sebahagian Arab zaman dulu hingga sanggup menghina pekerjaan serta usaha orang lain. Seorang penyair pada zaman itu pernah menghina musuhnya dengan mengatakan bahawa datuknya bekerja sebagai tukang besi. Ada antara mereka pula suka menjadi pengemis daripada melakukan pekerjaan dianggap tidak sesuai dengan kelayakannya.

Banyak sebab mengapa ada yang tidak mahu bekerja dan antaranya kerana tidak mendapatkan peluang bekerja di kampung halamannya. Disebabkan tidak suka tinggal berjauhan daripada keluarga.

Kepada mereka yang berfikiran seperti ini, Islam datang memberi galakan supaya mereka berani merantau. Islam menerangkan kepada mereka bahawa bumi Allah ini luas dan Allah tidak menaburkan rezeki pada satu kawasan tertentu saja.



Jika seseorang meninggal dalam keadaan berjauhan daripada kaum keluarga dan kampung halamannya, Allah akan mengukur jarak antara tanah kelahiran dengan tempat ia dikebumikan. Kelak di syurga, Allah melimpahkan kepadanya pahala sejauh jarak itu.

Ummu Salamah pernah ditanya perihal anaknya merantau ke penjuru dunia, sehingga ada yang meninggal di timur dan ada pula yang menemui ajal di barat. Ummu Salamah menjawab: “Mereka dijauhkan cita-cita dan harapan.”

Sebahagian manusia enggan bekerja dan berusaha kerana menggantungkan hidupnya kepada agihan harta zakat, sedekah diberikan orang ramai. Bagi tujuan itu, dia sanggup meminta-minta kepada orang lain dengan mengaitkan perasaan aib, sedangkan tubuhnya sihat dan dia mampu berusaha mencari nafkah. Inilah fenomena menyedihkan yang sering kita temui di negara Islam.

Berdasarkan kesedaran itu Rasulullah SAW pernah menyelar sikap dua orang yang datang meminta bahagian harta zakat kepadanya. Baginda berkata: “Di dalam harta zakat ini tidak ada peruntukan bagi orang kaya dan orang yang kuat (mampu berusaha).” (Riwayat Ahmad, Abu Daud dan an-Nasai)

Dengan kenyataan itu Rasulullah SAW menjelaskan penganggur yang malas tidak berhak menerima harta zakat. Larangan Islam terhadap perbuatan meminta juga sangat keras dan tegas.



Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan satu hadis daripada Ibnu Umar, bahawa Baginda SAW bersabda yang bermaksud: “Seseorang yang terbiasa meminta-minta akan datang pada hari kiamat dan tidak ada secebis daging pun pada wajahnya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Perbuatan meminta-minta juga boleh menzalimi orang yang diminta. Orang yang diminta akan mengalami kesusahan kerana memberikan hartanya kepada orang yang meminta.

Adalah menjadi kewajipan pemerintah memberi peringatan kepada individu yang suka hidup merempat dalam masyarakat, sedangkan ia sihat dan mampu bekerja. Juga kepada setiap orang yang hidup dengan mengharap simpati orang lain dan berasa berhak mengambil harta zakat padahal dia tidak menerimanya.

Ada juga golongan yang tidak mahu bekerja kerana tidak mampu menguruskan pekerjaannya sendiri. Terlebih lagi dia tidak memiliki sebarang kemahiran dan ilmu pengetahuan, walaupun secara fizikal dia mampu bekerja.



Islam mewajibkan kita membantu golongan seperti ini dan memberinya peluang bagi mengerjakan pekerjaan sesuai dengan dibantu anggota masyarakat pada amnya serta pemerintah khasnya.

Islam mengajar orang miskin untuk menentang kemiskinan dengan memanfaatkan seluruh potensi yang ada padanya, walaupun nilainya tidak seberapa. Islam juga memerintahkan mereka melihat kekuatan yang ada pada diri sendiri, betapapun kecilnya kekuatan itu.

Islam tidak membenarkan seseorang meminta-minta sedangkan dia memiliki sesuatu yang boleh dimanfaatkan untuk menyara hidupnya. Setiap pekerjaan yang boleh mendatangkan rezeki halal adalah pekerjaan mulia, walaupun pekerjaan itu hanya mengumpul dan menjual kayu api.

Jelaslah bahawa setiap individu Muslim wajib bekerja dan berusaha mencari rezeki. Ia wajib bekerja tanpa memandang jenis pekerjaan, sama ada dalam bidang pertanian, perkilangan, perniagaan, pentadbiran, penulisan atau profesion lain.










No comments: