Betty Banafe Kecewa Kerenah Birokrasi

NADA kecewa berikutan reaksi dingin daripada beberapa stesen radio yang lebih mengagungkan produk luar jelas kedengaran pada bicara pelopor irama Timur Tengah di negara ini, Betty Banafe.

Perasaan terkilan yang sarat menghuni sudut hatinya hanya mampu dipendam, sukar untuk dikongsi jika kerenah birokrasi sesetengah stesen radio yang enggan menerima produk tempatan masih berlarutan.

Anehnya kata Betty, mereka lebih memandang tinggi produk luar terutama dari Indonesia walaupun anak seni tempatan tidak pernah lelah berusaha menghasilkan album yang terbukti menerima pengiktirafan daripada peminat asing.

Situasi yang sama turut dihadapinya ketika hendak mempromosikan album Arab sulungnya, Ibtisam. Produk itu sudah membawanya menjelajah bumi Arab, namun di negara sendiri kehadiran album itu seperti kurang disedari.

Bagi artis yang turut membina nama sebagai pelakon itu, meskipun penerimaan masyarakat terhadap album itu agak perlahan namun dia percaya dengan kesungguhannya melakukan promosi berterusan, kehadiran Ibtisam akan membuka mata banyak pihak.



“Saya tidak berkecil hati bila ada pihak yang memandang rendah terhadap usaha ini. Cuma saya tertanya mengapa kita anak tempatan tidak mahu berbangga dengan produk sendiri yang dilihat masyarakat luar sebagai album yang unik dan mampu dibawa lebih jauh?

“Saya rasa malu apabila orang luar boleh menerima album Ibtisam sebagai produk unik tetapi orang di sini tidak begitu. Sepatutnya kita bersikap lebih terbuka dan menyokong usaha ini apatah lagi saya sendiri terpaksa melalui jalan panjang untuk merealisasikan impian yang satu ini,” katanya kesal dengan sikap sesetengah pihak yang enggan mengakui kualiti Ibtisam.

Namun, anak kelahiran Johor itu bersyukur kerana di sebalik kerenah birokrasi stesen radio, masyarakat negara ini menerima usaha yang dipeloporinya itu secara berdikit-dikit.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

Biar perlahan namun Betty pasti, jika diberi peluang masyarakat akan lebih terbuka seperti mana penerimaan peminat terhadap muzik luar yang semakin hebat menguasai persada seni tempatan.

“Saya memulakan usaha ini sejak 2000, cuma tahun ini ia direalisasikan kerana penggiat industri tidak yakin album Arab mempunyai pasaran yang baik. Dunia sedang menuju era globalisasi, mengapa kita harus singkatkan pemikiran dan tidak mahu mempercayai anak seni tempatan juga sebenarnya berdaya saing untuk mencipta nama di negara luar?

“Mungkin orang melihat saya terlalu bercita-cita tinggi, tidak mengapa. Sekurang-kurangnya saya berusaha untuk mendidik masyarakat supaya menghargai produk sendiri dan menyesuaikan diri dengan perubahan dalam arus muzik semasa,” kata Betty yang memperuntukkan bajet sendiri untuk penghasilan album itu.



Langkah Semakin Pantas

PUAS menimba pengalaman hampir sebulan merantau di negara Arab akhir April lalu, 7 September depan penyanyi itu akan kembali untuk mengukuhkan lagi empayar seninya di sana. Sebagai duta kepada produk berstatus Koridor Raya Multimedia (MSC), pemergiannya ke Dubai selain mempromosikan perkhidmatan yang disediakan, Betty juga akan meneruskan misi memperkenalkan namanya di rantau itu.

Tidak bersendirian kerana akan ditemani adiknya, Rifky, Betty akan menjayakan persembahan solo selama sejam membawakan tujuh lagu dipetik daripada album Ibtisam untuk masyarakat di sana.

“Sejak pemergian kali pertama, saya dapati media di sana semakin terbuka malah menanti kedatangan semula saya untuk siri promosi di sana. Pada mulanya mereka sendiri agak skeptikal, apatah lagi kepada orang luar namun alhamdulillah, keunikan yang saya persembahkan berjaya menarik hati mereka.

“Justeru, pemergian kali kedua ini lebih mudah kerana jalan sudah terbuka dan saya hanya perlu meneruskan apa yang dimulakan dulu,” katanya yang berbangga kerana krew MBC, rangkaian televisyen terbesar di sana pernah berkunjung ke Kuala Lumpur untuk mendalami sejarah dirinya.



Kesempatan itu juga membawa Betty ke Mesir untuk bertemu komposer di negara itu dan berbincang mengenai tawaran yang diberikan.

Awalnya kata Betty, mereka pernah memohon supaya dia menyambung siri promosi ketika berkunjung dulu namun tidak dapat dipenuhi kerana merindui Malaysia.

“Banyak kerja yang tergendala menyebabkan saya mengambil keputusan untuk pulang ke negara ini. Saya cuma berharap perbincangan ini akan menghasilkan sesuatu yang positif.

“Seandainya tawaran yang diberikan menarik, saya tidak teragak-agak untuk berhijrah ke negara luar. Jika itu diperlukan untuk memajukan diri saya sedia berkorban. Siapa yang tidak mahu berada di puncak,” katanya yang kali terakhir beraksi di layar perak menerusi filem Haru Biru.

Mesti Baca; Tuah Ibtisam Betty Banafe



Profil Betty Banafe

Nama Sebenar: Ibtisam Abu Bakar Banafe

Tarikh Lahir: 14 November 1978

Tempat Lahir: Hospital Tun Aminah, Johor Bahru

Pendidikan: Sarjana Muda Kepujian Sebaran Am

Profesion: Penyanyi, pelakon, model dan pengacara

Program TV: Juara Minda, Idola, Salam Bollywood dan Panorama

Teater: Demi Zaitun, Hering, Sifu dan Sarah

Drama: Lebih 20 antaranya ialah Kiranya Ku Tahu, Bila Rama-Rama Terkopak Sayapnya, Aleya Maisarah, Nak Pulang Tak Pulang serta Nur Penyuluh Alam

Filem: Buai Laju-Laju, Haru-Biru serta 1959-Hati Malaya

Album: Ibtisam







Sumber : Berita Harian Edisi 07-09-2007




Kata Izalsyah; "Minat juga lagu Arab ni."




No comments: