Tuah Ibtisam Betty

BAGAI bulan jatuh ke riba apabila Betty Banafe menerima undangan daripada kerabat diraja Arab untuk mengadakan persembahan yang dihadiri ramai pembesar dan VVIP. Begitulah tuah Betty bersama album sulungnya, Ibtisam.

Namun jauh di sudut hati, Betty akui cemas. Hatinya sentiasa gelisah menghitung hari untuk beraksi di Bahrain, Qatar, Syria dan Dubai, penghujung bulan ini. Tempoh 20 hari berada di Timur Tengah itu bakal mencipta sejarah baru dalam kerjaya nyanyiannya selain membawa nama negara ke peringkat antarabangsa.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket
Betty akui cemas untuk beraksi di Bahrain, Qatar, Syria dan Dubai


Apa yang dapat dikatakan, Betty satu-satunya penyanyi wanita Malaysia yang berjaya menembusi pasaran Arab. Namun sejauh manakah penerimaan orang Arab terhadap karya dan muziknya itu belum dipastikan lagi.

Sambil tersenyum, penyanyi dan aktres berdarah kacukan Melayu, Arab dan Jawa itu mengakui: "Saya memang cemas dan tidak lena tidur malam. Saya tak kisah dikritik, malah apa pun reaksi mereka terhadap album Ibtisam, saya akan terima dengan hati terbuka.

"Bagaimanapun, apabila memperdengarkan lagu dalam album saya kepada rakan-rakan dari Timur Tengah, mereka memuji, malah sebutan saya juga tepat. Ini menguatkan semangat saya untuk membawa lagu saya untuk diperdengarkan kepada mereka.



"Ramai rakan menganggap album ini unik kerana menggabungkan elemen Arab dan Melayu, mungkin sesuatu yang baru buat mereka. Kelainan yang ditampilkan itu membuatkan kerabat diraja Arab itu begitu berminat membawa saya menerokai pasaran di negaranya."

Betty atau nama sebenarnya, Betty Ibtisam Abu Bakar Banafe, 30, akui dia tidak mempunyai masalah berkomunikasi dalam bahasa Arab kerana Arab dan Indonesia adalah bahasa pertuturannya di rumah.

Bagaimanapun katanya, mereka hanya bertutur bahasa pasar yakni tidak begitu fasih seperti orang Arab sebenar.

Betty berkata dia terpaksa menunggu tujuh tahun untuk menghasilkan Ibtisam. Berkat semangat yang tinggi, akhirnya dia berjaya merealisasikan album impian itu.

"Saya tak menyangka kelainan yang ditampilkan dalam album ini berjaya membuka mata orang luar terhadap muzik kita. Saya harap kehadiran album ini dalam pasaran Timur Tengah akan mendapat menerima reaksi positif," katanya yang turut membawa 20 penari latar mengiring persembahannya kelak.

Selain diundang mengadakan persembahan di empat destinasi, Betty bernasib baik kerana bakal melancarkan album Ibtisam di sana. Khabarnya agensi yang terbabit turut mengaturkan wawancara bersama pihak media massa di sana.




Hati terpikat jejaka Arab?


DALAM diam-diam, Betty khabarnya sedang dilamun cinta dengan jejaka Arab. Namun pemegang Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam itu menafikan gosip itu. Anak kelahiran Johor Bahru itu menegaskan tiada mana-mana lelaki yang wujud dalam hatinya ketika ini.

"Saya memang ramai kawan. Saya memang ada berkawan dengan lelaki Arab tetapi mereka juga tak lebih daripada kawan biasa. Mungkin kerana album Ibtisam, saya semakin rapat dengan kawan dari Timur Tengah.

"Cinta tak pernah wujud dalam diri saya buat ketika ini. Saya percaya kalau ada jodoh tak ke mana, lagi pun saya masih muda dan perlu mengukuhkan nama dalam bidang nyanyian," katanya yang semakin popular dengan lagu Waiyak (Bersamamu) dan Cinta Maulana.

Mungkin ramai tidak mengetahui, Betty mula dikenali sebagai penyanyi pada 1995 dan pernah menghasilkan album gambus pada 1997, tetapi album itu terbengkalai apabila adiknya, Shahrazat Banafe meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya.

Penantian panjang Betty melahirkan album solo akhirnya terjawab dengan kehadiran Ibtisam yang bermaksud Senyuman.



"Tujuh tahun saya mengumpul bahan selain mencari komposer yang mampu mengetengahkan lagu Arab. Akhirnya saya bertemu Shed Ali, selain adik saya, Rifkee Banafe sebagai produser. Halangan tidak terhenti di situ apabila tiada syarikat rakaman yang berani mengedarkan album saya, jadi saya terpaksa memasarkannya menerusi Internet sebelum bertemu Maestro Records.

"Saya amat bersyukur dugaan dan halangan tidak sedikit pun mematahkan semangat saya menjadi penyanyi," ujarnya.



Info Betty Banafe


Nama: Betty Ibtisam Abu Bakar Banafe
Tarikh Lahir: 14 November
Tempat Lahir: Johor Bahru, Johor
Keluarga: Anak ketiga daripada enam beradik
Drama: Nur Penyuluh Alam, Kiranya Ku Tahu, Dari Maisarah Ke Qistina, Hijrahku, Sayangnya Liya, sitkom Inggeris - Samsuddin & Partner
Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam
Filem: Buai Buai Laju dan Haru Biru
Album solo: Ibtisam










No comments: