Kwek Mambo Anita - Bukan Hiburan Kosong

SEPERKARA yang membuatkan Anita Sarawak begitu senang didekati adalah sikapnya yang mudah mesra dengan sesiapa saja. Meskipun mungkin pertemuan pertama, Anita akan membuat anda senang dan terhibur dengan pelbagai telatah yang melucukan.

Barangkali kerana sikapnya yang menyukarkan untuk berkata tidak kepada setiap pelawaan, membuatkan Anita disenangi stesen televisyen satelit popular, Astro.

Justeru, apabila program bual bicara, Anita berakhir selepas enam musim bersiaran, penghibur bertaraf antarabangsa itu mengemukakan kertas cadangan untuk sebuah program baru dan tanpa teragak-agak ideanya itu pantas diterima.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket
RAMAH: Anita ceria melayan peminat yang mengikuti rakaman Kwek Mambo Anita.



Syukur kata Anita, kerana selepas kejayaan program Anita, lahir pelbagai rancangan yang mengangkat format serupa namun masih bergerak atas landasan yang sama iaitu membantu mereka yang memerlukan.

Namun, menerusi Kwek Mambo Anita yang bersiaran sejak 5 Ogos (Ahad) lalu jam 9 malam di Astro Prima, isteri kepada Mohd Mahathir Abdullah ini cuba membawa pendekatan baru kepada peminat setianya.



Meskipun Kwek Mambo Anita lebih berteraskan kepada hiburan, namun wanita yang akrab membahasakan dirinya sebagai Kak Nita ini tidak mahu melekakan peminatnya dengan sajian kosong.

Anita mahu menjadikan Kwek Mambo Anita sebagai program yang memberi inspirasi dan aspirasi kepada masyarakat Malaysia untuk menggapai kejayaan seperti yang pernah dikecapi tetamu undangannya.

“Kwek Mambo Anita cuba membawa harapan semua orang yang ingin berjaya, tidak kira dalam kerjaya mahu pun kehidupan. Betapa seronoknya Kak Nita kerana dapat berkongsi dengan orang ramai segala pengalaman tetamu yang membawa mereka berada pada tahap sekarang.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket
MASIH BERTENAGA: Anita tidak dimamah usia meskipun sudah mencecah 55 tahun.



“Harapan Kak Nita penonton akan mendapat manfaat daripada program ini, sekali gus mempelajari sesuatu yang positif untuk memperbaiki diri dalam mencipta masa depan yang cemerlang,” katanya pada majlis pelancaran program itu, baru-baru ini.

Berbeza Anita, Kwek Mambo Anita bergerak lebih bebas tanpa terikat kepada skrip malah kata penyanyi berusia 55 tahun ini, penonton akan mengenali siapa dirinya yang sebenar menerusi program itu.

Pakej Web Jualan

Tiada pura-pura, tiada lakonan kerana apa yang terpampang di kaca televisyen itulah diri Anita yang sebenar.

“Peminat akan dapat melihat Anita yang sejati,” kata Anita apabila ditanya mengenai format program itu.

Menerusi program itu juga Anita cuba mencungkil pengalaman dan resipi kejayaan setiap tetamunya hingga membawa mereka berada di tempat yang sangat istimewa di hati peminat.

“Kak Nita cuba menjadikan setiap episod sebagai kenangan yang cukup bermakna buat tetamu. Mungkin ada yang malu-malu kerana ini pertama kali ditemubual namun Kak Nita cuba memecahkan tembok sepi itu.

“Apa yang utama, Kak Nita mahu mereka berkongsi pengalaman dan pengajaran positif sepanjang perjalanan menempa kejayaan. Lebih istimewa, program ini membawa Kak Nita lebih dekat kepada masyarakat,” katanya.



Selama sejam bersiaran, rakaman yang berlangsung sepanjang Mei lalu itu meninggalkan momen yang cukup indah buatnya.

Pertemuan dengan bintang veteran seperti Datuk Maria Menado dan seniwati Mariani paling mengharukan terutama apabila mereka membawanya kembali mengenang zaman Anita ketika kanak-kanak.

“Mereka bercerita bagaimana Kak Nita ketika kecil dan itu sudah cukup membuatkan Kak Nita terharu. Iyalah tidak semuanya sempat Kak Nita berkongsi bersama arwah ibu. Daripada mereka Kak Nita mengenali diri dan sesekali terselit juga rasa malu. Tetapi, pengalaman ini sangat bermakna,” katanya.

Penonton juga dapat melihat sisi eksklusif Anita apabila dia tampil dengan pelbagai gaya mewah menerusi rekaan pereka tempatan iaitu Khoon Hooi, Calvin Thoo dan Ashley (Kapas Couture).

Malah, sesetengah persalinan diterbangkan khas oleh Anita dari Las Vegas, Amerika Syarikat dan diperindahkan lagi dengan set barangan kemas, Cinta Collection dari Alya & Co serta kasut rekaan Karina Ng.



“Dalam diam sudah empat tahun Kak Nita bersama Astro. Kerjasama ini akan berterusan dan kami sentiasa memastikan untuk tampil dengan pelbagai idea kreatif yang bersesuaian kehendak masyarakat,” katanya yang akan turut membintangi sitkom baru juga siaran Astro Prima.

Sebelum ini, Anita pernah mengacarakan program Deko Rasa selain membintangi telemovie, Topeng dan sitkom, Agensi Melur.










No comments: