Jac Sedih Kecewakan Peminat

“MAAFKAN saya kerana mengecewakan semua penyokong tanah air,” demikian luah rasa Ikon Malaysia kategori solo, Jaclyn Victor (Jac) selepas tewas di tangan Vina Morales dari Filipina dalam pertandingan akhir Anugerah Ikon Asean, Ahad lalu.

Dia sedar semua peminatnya mengharapkan kemenangannya, tetapi adat pertandingan, ada memang, ada yang kalah. Bagaimanapun, tewas baginya tidak bermaksud pengakhir untuk segala-galanya.

“Ya, saya sedih sedikit bukan sebab tidak menang tetapi sebab kecewakan peminat semua. Namun sebenarnya saya sangat gembira kerana walaupun dalam keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan, saya berjaya membawakan lagu dengan baik.” katanya ketika dihubungi Hip.

Mengenai komen Hetty Koes Endang yang mengatakan Jac gagal kerana salah pilih lagu, Jac berkata dia sebenarnya mahu membuatkan satu tribute kepada Allahyarham Tan Sri P Ramlee, lalu persembahan pertama dia memilih medley Kau Laksana Bulan, Tunggu Sekejap dan Getaran Jiwa.

“Tapi saya faham maksud Hetty. Memang ada kebenarannya kerana apabila kita membawakan lagu medley kecenderungan untuk memberikan jiwa pada lagu tidak ada kerana belum sempat hendak menghayati, kita terpaksa tukar lagu lain.



“Mungkin ada kebenarannya, tapi saya memilih untuk membawakan medley sekadar untuk menunjukkan variasi sebab itulah lagu kedua saya memilih untuk membawakan Gemilang,” jelasnya ketika dihubungi Hip.

Apapun, Jac akur dengan adat pertandingan, malah merasa sangat berpuas hati kerana banyak perkara yang dipelajari sejak menyertai pertandingan itu. Malah maklum balas yang diterima bukan saja dari peminat tanah air tetapi juga penggiat seni dari luar sangat memberangsangkan.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket
Jaclyn Victor gagal meraih gelaran sebagai Ikon Asean.


“Paling buat saya rasa gembira walaupun terlepas RM87,000 ialah pujian dari Hetty Koes Endang yang sangat mengagumi suara saya,” katanya yang kelihatan begitu anggun mengenakan gaun biru menawan rekaan Carven Ong, malam itu.

Sementara itu, kegagalan kumpulan OAG yang begitu mengagumkan ketika membawakan Dayang Marikh Asthmara dan Beautifool dikesan kerana tidak konsisten. Mereka juga terpaksa akur dengan kehebatan Kjwan. Mana tidaknya, vokal Radhi seolah sedikit terganggu ketika persembahan kedua menyampaikan lagu Nowhy2.

Dalam pada itu, tidak dapat disangkal lagi, penguasaan finalis Ikon Filipina, baik dalam kategori solo mahupun berkumpulan, memang pilihan tepat.



Anugerah Ikon Asean yang berlangsung di Auditorium Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Ahad lalu di ungguli Vina Morales (solo) manakala Kjwan bagi berkumpulan.

Bukan kerja senang untuk menghakimi pertandingan nyanyian apatah lagi bertaraf antarabangsa. Namun Mac Chew (Malaysia), Hetty Koes Endang (Indonesia), Iskandar Mirza Ismail (Singapura) dan Eugene Villaluz (Filipina) melaksanakan tanggung jawab dengan penuh profesionalisme.

Untuk memastikan kaedah penghakiman lebih seimbang, adil dan saksama, juri tidak dibenarkan menghakimi penyanyi satu negara dengan mereka.

Persembahan bertenaga kumpulan rock Kjwan menjadi tirai pembuka pertandingan mendendangkan lagu One Look dan diikuti Shai. Mendengarkan dentuman sekuen dram dan gitar utamanya sudah buat anda meremang bulu roma. Malah gaya vokal utamanya, Marc Abaya berjaya memukau perhatian penonton dan juri.

Vina pula tidak hanya tampil anggun dalam gaun putih meleret membawakan Pangako Saiyo, balada romantis dari siri telenovela terkenal dengan iringan 65 pemuzik orkestra pimpinan Ramli MS. Malah vokal Vina yang cukup mengasyikkan menjadikan lagu itu bertambah indah dinikmati.



Kebolehan Vina dalam tarian dan membawakan lagu berentak dance terbukti menerusi Feels So Nice. Terpegun seketika penonton melihat dan mendengar keupayaan Vina mengawal vokal dengan baik walaupun sedang rancak menari.

Judika, Ikon Indonesia yang cukup bagus suaranya malam itu namun masih kurang bernasib baik membawakan Malaikat Maut dan Bukan Rayuan Gombal. Bagi kategori kumpulan, Tahta mempersembahkan lagu Dasar Pengecut dan Tempat Yang Paling Indah.

Mesti baca; Jac Ikon Malaysia


Pakej Web Jualan








No comments: