Aksi Robot Transformers

PENGARAH Michael Bay akhirnya berjaya kembali dengan sebuah lagi karya yang hebat tahun ini setelah agak lama karya sutradara berkaliber itu dirasakan kurang menyengat di peta dunia perfileman antarabangsa.

Dua filem terakhir arahannya, Bad Boys II (2003) dan The Island (2005) tidak mengecewakan. Tetapi, sentuhan ajaib Bay ketika menghasilkan filem aksi The Rock (1996) dan Armageddon (1998) bagai tidak kelihatan menerusi dua filem terakhirnya itu.

Begitupun, tentu ramai yang masih ingat, adegan kejar mengejar kereta dan trak di sebatang jalan raya dalam filem The Island, yang masih lagi boleh dianggap antara babak aksi terbaik pernah dihasilkan Hollywood.

Sentuhan itulah yang kini dapat dinikmati kembali peminat pengarah tersohor ini apabila dia menghadiahkan banyak sekali babak aksi cukup mendebarkan, lagi mengagumkan menerusi filem Transformers, karya menarik yang diangkat daripada siri kartun popular.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

Keajaiban robot bertukar bentuk yang menghiburkan kanak-kanak (dan golongan dewasa) sedikit waktu lalu kini direalisasikan oleh Bay menerusi versi filem. Terima kasih tentunya kepada teknologi imej janaan komputer atau CGI yang membolehkan makhluk Autobot dan Decepticon berubah-ubah bentuknya daripada robot kepada pelbagai jenis kenderaan.



Kecanggihan teknologi itu jugalah yang membantu pengarah ini menghasilkan babak aksi mengecutkan perut. Mata akan terbuka luas dan mulut ternganga seawal minit pertama apabila menyaksikan bagaimana sebuah robot jahat, Blackout, yang menyamar sebagai helikopter menyerang pangkalan tentera Amerika di Qatar.

Tidak habis di situ, penonton dihadapkan pula dengan serangan robot berbentuk kala jengking, Scorponok, yang memburu mangsanya di padang pasir. Dan begitulah seterusnya penonton diperkenalkan kepada watak robot lain daripada kem baik mahu pun jahat iaitu Optimus Prime, Bumblebee, Jazz, Ironhide, Ratchet, Megatron, Starscream, Barricade, Frenzy, Bonecrusher dan Brawl.

Kehebatan kesan visual jelas sekali membantu menyerlahkan hasil karya Bay kali ini, sebagaimana filem box officenya terdahulu. Pengarah ini memang sinonim dengan kesan visual terbaik dan adegan letupan yang memecahkan gegendang.

Disokong kesan bunyi cukup baik, keseronokan menonton Transformers amat terasa. Meskipun begitu, keseronokan Transformers bukan hanya terletak pada kecanggihan teknologi kerana Bay turut memastikan unsur cinta remaja dan komedi tidak terlepas pandang dalam penghasilan terbarunya.

Tidak hanya bergantung kepada pelakon utama, Shia LaBeouf, untuk menghasilkan babak lawak, malah telatah watak yang dihidupkan oleh CGI, robot, itu sendiri menggelikan hati. Jangan berkelip apabila tiba adegan kumpulan robot baik mengikut Sam (lakonan LaBeouf) pulang ke rumah. Gelagat makhluk Autobot ketika bersembunyi di sekeliling rumah Sam memang memecahkan perut.



Tingkah laku robot jahat yang paling kecil saiznya, Frenzy, turut mencuit hati. Bayangkan sebuah robot menyelinap masuk ke pesawat Air Force One dengan menyamar sebagai pemain CD dua speaker!

LaBeouf sendiri turut memberikan persembahan mengagumkan menerusi penampilan keenam belasnya di filem. Selepas lakonan baik diberikan menerusi filem bercorak thriller, Disturbia, aktor muda ini menyambung kehebatan aksinya di layar perak dengan watak remaja terperangkap dalam peperangan dua golongan robot dalam Transformers.

Aktor berusia 21 tahun ini dikatakan bakal muncul pelakon lelaki yang akan hebat diperkatakan tahun ini dan untuk beberapa tahun seterusnya. Selepas meminjamkan suaranya untuk watak utama filem kartun Surf’s Up, LaBeouf akan muncul pula dalam filem keempat Indiana Jones tahun depan.





Sinopsis Transformers

PELAJAR sekolah tinggi, Sam Witwicky membeli kereta pertamanya tanpa mengetahui bahawa kereta itu adalah sebuah robot daripada golongan Autobot bernama Bumblebee. Bumblebee menyelamatkan Sam dan teman wanitanya, Mikaela Banes daripada robot Decepticon, Barricade, sebelum ketibaan robot Autobot lain ke muka bumi.

Mereka semua mencari Allspark, dan peperangan antara dua robot itu semakin hebat apabila robot Decepticon menyerang pangkalan tentera Amerika Syarikat di Qatar.

Sam dan Mikaela kemudian ditahan sebuah agensi rahsia dikenali sebagai Sector 7 untuk membantu mereka menghalang kemaraan Decepticon. Begitupun, mereka juga sedar Sector 7 turut ingin memusnahkan Autobot. Lalu, mereka mencari formula sendiri untuk menyelamatkan dunia.









No comments: