Jom Heboh Haram!

PETALING JAYA: Program karnival dan konsert Jom Heboh anjuran TV3 yang difatwakan haram oleh Mufti Perak akan tetap diadakan mengikut jadual bermula esok.

Pegawai di jabatan komunikasi korporat stesen televisyen itu, Yusnita Mad Jalani berkata program bulanan itu diteruskan memandangkan segala persiapan telah diatur untuk diadakan di perkarangan Stadium Indera Mulia di Ipoh.

"Program ini tetap 'on'. Malah, kami baru sahaja menghantar krew di dalam tiga buah bas untuk menjayakan program itu," kata Yusnita kepada mStar Online, sewaktu diminta mengulas kenyataan terbaru mufti tersebut.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket
Datuk Seri Harussani Zakaria, Mufti Perak.


Datuk Seri Harussani Zakaria hari ini menegaskan kembali pendiriannya sejak beberapa tahun bahawa karnival tersebut, yang memuatkan konsert hiburan, tetap haram di sisi Islam.

Beliau dilaporkan berkata mereka yang menganjur, menghadiri dan menonton acara tersebut adalah haram.



Harussani berkata pesta jualan sambil berhibur itu, walaupun ditukar namanya sekarang daripada Sure Heboh, boleh "membawa kesan buruk kepada orang Melayu", lapor agensi berita Bernama.

"Benda yang haram tetap haram. Saya sudah membantah pada awal-awal lagi sebelum ia datang ke Perak," beliau dipetik sebagai berkata.

Pada 30 Julai 2004, Harussani membuat kenyataan bahawa Majlis Mufti-mufti Malaysia memutuskan bahawa konsert tersebut hukumnya haram dengan alasan ia melalaikan umat Islam dan menggalakkan maksiat di kalangan generasi muda.

Karnival dua hari itu antara lain menampilkan Menteri Besar, Datuk Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali dan juga Setiausaha Kerajaan Perak, Datuk Dr Abdul Rahman Hashim sebagai jemputan di set rancangan tersebut.

Ia juga dijadualkan mementaskan persembahan beberapa orang penyanyi terkenal, antaranya Misha Omar, Adibah Noor dan Hattan.



No comments: