"Sakit" Azza Elite

AWALNYA dia cuba berselindung. Hanya sisa tawa yang kedengaran di hujung talian sebaik salam bersambut. Berulang dia menjelaskan dirinya tidak apa-apa. Sihat seperti selalu biarpun hangat diperkatakan ketika ini dia menjadi mangsa mereka yang dengki dengan apa yang dinikmatinya.

Apabila acap kali pertanyaan mengenai susuk tubuhnya yang semakin melidi diajukan, Azza akhirnya mengalah. Berulang juga dia memohon supaya isu yang satu itu tidak terlalu digembar-gemburkan.

“Serba salah saya untuk menerangkan keadaan sebenarnya,” perlahan nada suaranya, disulami tawa kecil mungkin untuk menyembunyi rasa yang berkecamuk.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket
Azza, ternyata sukar untuk dia berterus terang.


Kata Azza, sukar untuk dia berterus terang. Mahu mempercayai apa yang berlaku, bimbang kepercayaan itu akan memakan dirinya sendiri. Ibu tunggal seorang cahaya mata ini berkata, seboleh mungkin dia enggan memberatkan fikiran dengan apa yang diperkatakan ketika ini.

“Saya tidak mahu buruk sangka, menyalahkan orang itu dan orang ini. Saya serahkan semuanya kepada Allah, mungkin ada hikmah semua ini berlaku,” katanya, seraya cuba membawa penulis untuk lari seketika daripada topik perbualan.



Masih lagi cuba berselindung, Azza berkata, mungkin sebahagian peminat sudah lupa sebelum mendirikan rumah tangga, susuk tubuhnya pernah kurus begini. Selepas berkahwin, berat badannya perlahan bertambah.

“Saya mengaku pernah sakit, tiga bulan saya kehilangan suara. Semua ini berlaku selepas hari raya tempoh hari,” katanya, merungkai sedikit persoalan yang masih belum terjawab sepenuhnya.

Menyisih prasangka buruk, Azza berkata, apa yang berlaku itu mungkin peringatan daripada Tuhan supaya dia mengasihi dirinya sendiri. Sebelum ini, kata Azza, dia terlalu sibuk bekerja hingga mengabaikan kesihatan diri.

“Tuhan sayangkan saya, maka dia datangkan sakit supaya saya mengingati diri-Nya. Saya pernah dengar cerita saya terkena buatan orang. Tetapi saya tidak mahu terlalu memikirkan sangat soal itu. Mungkin betul, mungkin tidak.

“Apabila ada yang bertanya, itu bermakna mereka mengambil berat soal kesihatan saya. Saya sangat berterima kasih, syukur kerana saya dikelilingi mereka yang begitu prihatin,” katanya, masih belum bersedia untuk mendedahkan apa yang terdasar di sudut hatinya.

Sesekali kata Azza, dia diburu ketakutan apabila mereka yang melihat keadaan dirinya mengkhabarkan berita kurang enak. Sebagai Muslim, dia enggan mempercayai perkara tahyul yang boleh menggugat imannya.




Doktor nasihat ubat kampung


“Cuma saya berharap sangat, jika ada berbuat silap, maafkanlah saya. Jangan saya dianiaya kerana saya punya tanggungjawab besar untuk menyara keluarga,” kata pemegang watak utama dalam drama bersiri, Sembilu Kasih ini.

Enggan membiarkan penulis membuat kesimpulan sendiri, Azza akhirnya berterus terang. Katanya, kesihatannya mula terganggu apabila dia bercerita mengenai hasratnya untuk merakamkan album solo.

“Suara saya perlahan-lahan hilang. Pernah di studio, Edry (KRU) menegur kerana saya langsung tidak boleh menyanyi. Dia hairan apa yang terjadi kepada saya. Mulanya saya tidak begitu mengambil pusing, mungkin keletihan kerana kuat bekerja.

“Tetapi saya rasa seperti ada yang tidak kena apabila beberapa tawaran yang datang, namun pada saat akhir semuanya tidak menjadi. Ibu membawa saya berjumpa doktor dan membuat pemeriksaan kesihatan.

“Selepas membuat pemeriksaan teliti, doktor menasihatkan saya supaya berubat cara kampung. Saya cuma mampu berdoa tidak ada yang buruk berlaku,” katanya.


Diajak mengimbas saat getir itu, Azza berkata, sepanjang tiga bulan itu dia langsung tidak menerima apa-apa tawaran. Pernah pada waktu tertentu, dia mengehadkan perbelanjaan kerana mahu berjimat disebabkan bergantung sepenuhnya kepada wang simpanan.

“Mujur juga saya ada menjalankan beberapa bisnes sampingan. Sedikit sebanyak ia dapat menampung perbelanjaan harian. Mulanya saya tidak sedar langsung ada yang tidak kena kepada diri saya.

“Emak yang mula perasan apabila melihat saya hanya di rumah dan tidak keluar bekerja seperti selalu. Saya sudah biasa sibuk, jadi apabila hanya duduk di rumah membuatkan emak berasa hairan,” katanya.





Perit sebuah kegagalan


KEMBALI diburu kesibukan dengan penggambaran beberapa drama, Azza juga mencuba semula dunia nyanyian apabila memperkenalkan single pertamanya, Boleh Jalan ciptaan Edry.

Single yang dirakamkan dengan biaya sendiri itu sudah mula berputar di corong radio.

“Jika diterima baik, kemungkinan saya akan kembali dengan album penuh. Semua itu memerlukan sedikit masa kerana saya mahu melihat dulu penerimaan peminat. Apa yang pasti, jika perancangan berjalan lancar, saya akan merakamkan album mini sebelum keluar dengan album penuh,” katanya.

Dan kerana projek rakaman itu juga, Azza seakan dibawa mengimbas semula perjalanan awalnya di bidang seni suara ketika bersama Elite.

“Saya menangis sewaktu ke studio untuk fotografi kulit album. Sayu hati hingga jurugambar pun bertanya kenapa saya nampak sedih sangat. Selama ini apabila ke studio, kami akan pergi beramai-ramai tetapi hari itu saya bergambar sendiri.



“Janggal rasanya namun mahu atau tidak saya perlu juga melaluinya. Saya sangat menghargai detik manis bersama mereka dulu. Kenangan itu terlalu berharga, tidak mungkin peluang itu akan tiba kembali,” katanya dalam nada hiba yang tertahan.

Kata Azza, selain meneruskan kembali perjuangan yang pernah tertunda dulu, dia juga ingin menebus kembali kegagalan yang pernah mereka tempuhi. Azza mahu membuktikan dengan tulang empat keratnya, dia masih mampu menghirup udara seni berbekalkan bakat yang diberikan Tuhan.

“Saya pernah lalui pelbagai kegagalan. Saya pernah gagal dengan Elite, saya juga pernah gagal sebagai isteri. Pernah ada yang bertanya apa sudah jadi dengan Azza? Saya mewah dengan tawaran lakonan dan persembahan tetapi sebagai individu, saya sebenarnya seorang yang gagal.

“Dulu dua tahun saya merahsiakan perceraian kerana tidak mahu ibu terluka. Dua tahun itu juga saya diburu rasa bersalah. Akhirnya saya berkata kepada diri sendiri saya tidak mampu berselindung lagi.

“Saya cuba bersikap terbuka kerana saya tidak mahu terus diburu kesilapan. Saya tidak mahu orang menganggap yang buruk-buruk lagi. Saya juga tidak mahu gagal lagi,” katanya sambil berharap kekalutan yang pernah bertandang dalam hidupnya itu akan segera berlalu.





Info Azza


Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket Azzarima Zawari atau Azza, 29, ialah pengasas kumpulan Elite yang pernah dianggotai Sasha Saidin, Abby Abadi, Watie dan Linda Rafar. Namun, Elite sudah pun berpecah apabila anggotanya membawa haluan sendiri. Azza pula ketika ini aktif sebagai pelakon dan pengacara.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket Dia mendirikan rumah tangga dengan Ehsan Tun Ahmad Zaidi pada 14 Februari 2001, namun tidak dikurniakan cahaya mata sehinggalah mereka tidak lagi tinggal sebumbung pertengahan 2004.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket Pasangan itu akhirnya bercerai pada pertengahan November 2004. Namun, Azza merahsiakan perkara berkenaan dari pengetahuan umum sehinggalah baru-baru ini saja dia bersedia menerima hakikat dan membuat pengumuman.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket Bagi mengisi kekosongan diri, Azza mengambil seorang anak angkat, Marrisa Jannah yang kini berusia setahun lebih. Namun, Azza sudah menganggap Marrisa seperti anaknya sendiri.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket Azza bakal muncul dengan album solo pertamanya yang berkonsepkan pop & dance. Album berkenaan diterbitkan syarikatnya sendiri, AR Productions.



No comments: