Pelaburan Internet - Haram!

KUALA TERENGGANU: “Pelaburan melalui Internet yang menjamin keuntungan secara tetap didapati mengandungi unsur riba dan gharar (keraguan).

“Justeru, umat Islam diharamkan terbabit dengan pelaburan berkenaan,” kata Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Prof Datuk Dr Abdul Shukor Husin.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

Menurutnya, keputusan pengharaman pelaburan melalui Internet itu dibuat berdasarkan rujukan kepada beberapa ayat al-Quran yang tidak membenarkan pelaburan yang menjamin keuntungan secara tetap.

Katanya, fatwa pengharaman pelaburan melalui Internet itu akan dikemukakan kepada semua kerajaan negeri untuk diwartakan secepat mungkin.

“Kerajaan Pusat banyak menyediakan skim pelaburan berlandaskan Islam dan ia boleh disertai umat Islam di negara ini.



“Kami menasihatkan umat Islam yang membuat pelaburan melalui Internet supaya menghentikan kegiatan itu serta-merta,” katanya selepas berakhir muzakarah ke-77 majlis itu di sini semalam yang memutuskan pelaburan melalui Internet yang banyak dianjurkan di negara ini sebagai haram.

Pelaburan melalui internet mendapat tumpuan baru-baru ini apabila akhbar Metro Ahad pada 18 Mac lalu melaporkan ramai umat Islam ghairah menjadi orang kaya baru (OKB) dengan terbabit dalam pelaburan seperti itu tanpa mengetahui hukumnya halal atau haram.

Turut dipaparkan pandangan orang ramai, pendirian mufti negeri seperti Perak, Perlis, Johor dan Terengganu.

Perak, contohnya memberi amaran kepada umat Islam mengenai bahaya pelaburan di Internet kerana bukan saja ia berunsur riba, tetapi mampu menyebabkan kekacauan di kalangan masyarakat berikutan potensi pelabur ditipu cukup besar.

Jabatan Mufti Perlis memfatwakan pelaburan di Internet sebagai haram, manakala Johor dan Terengganu meminta Majlis Fatwa Kebangsaan (MFK) mengkaji dan mengeluarkan ketetapan segera.



Menerusi laman web Jabatan Mufti Perak, kajian dikeluarkan daripada pejabat Datuk Seri Harussani Zakaria itu turut memberi hujah, kebanyakan pelaburan di internet tidak menyatakan dengan jelas bentuk pelaburan mereka, sama ada dalam sektor halal atau haram.

Kajian bertajuk ‘Beberapa Perkara Syubhah (Meragukan) Dalam Pelaburan Internet’ yang dikeluarkan pada 24 Mac lalu itu turut menjelaskan, skim pelaburan berkenaan mendedahkan pelabur kepada bahaya ditipu.

Setiausaha Majlis Penasihat Syariah sebuah institusi kewangan Islam antarabangsa di Malaysia, Zaharuddin Abdul Rahman, turut menegaskan, pulangan yang diterima daripada pelaburan di Internet adalah haram.

Selain pelaburan Internet, Majlis Fatwa Kebangsaan juga memutuskan pameran jin, hantu dan keranda yang dianjurkan di negara ini sebagai haram kerana boleh menimbulkan kekeliruan dan pertikaian di kalangan umat Islam.

Katanya, pameran itu boleh mendatangkan mudarat kepada akidah umat Islam kerana perkara ghaib tidak boleh dicapai akal manusia.



“Kami tidak mahu umat Islam dididik dan disogok dengan perkara berunsur tahyul serta boleh menjurus ke arah khurafat.

“Pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kerajaan negeri diminta tidak membenarkan pameran seperti itu diadakan,” katanya.

Abdul Shukor juga meleraikan keresahan umat Islam mengenai nada dering telefon bimbit menggunakan ayat al-Quran dan azan apabila majlis itu memutuskan tiada halangan penggunaannya.

Bagaimanapun, katanya, mereka diminta menjaga kesucian ayat suci al-Quran, terutama menggunakannya di tempat bersesuaian.

Muzakarah kali ini turut mencapai kata sepakat untuk menerima pakai keputusan muzakarah ke-44 pada 25 Jun 1998 berhubung penggunaan nama saudara baru iaitu nama itu hendaklah tidak berunsur lucah dan memberi makna yang sesuai dan baik.



“Perlis juga bersetuju pada prinsipnya. Mereka hanya berbeza sedikit iaitu masih mengekalkan bin atau binti bapa yang bukan Islam itu,” katanya merujuk kepada keputusan Majlis Fatwa Negeri Perlis bahawa bagi orang bukan Islam yang memeluk Islam dilarang menukar nama kepada “bin atau binti Abdullah” sebaliknya mereka wajib mengekalkan nama bapa atau keturunan mereka.


Mesti baca; Pelaburan Saham Melalui Internet Haram - Majlis Fatwa dan Hukum Melabur Dalam Swiss Cash






No comments: