Perlis Haram Guna ‘bin Abdullah’

KANGAR: Majlis Fatwa Perlis semalam memutuskan penggunaan istilah 'bin Abdullah' yang diguna pakai saudara baru, bukan syariat Islam dan penukaran nama atau keturunan keluarga itu adalah haram.

Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin, berkata golongan itu harus mengekalkan nama serta keturunan asal yang menentukan nasab (keturunan) masing-masing.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket
Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin


Katanya, tindakan yang dianggap bertentangan dengan ajaran Islam itu bukan saja menjejaskan pemuliharaan nasab, malah menafikan hak seorang bapa ke atas anaknya.

"Islam tidak pernah memutuskan hubungan kekeluargaan terutama antara anak dan bapa, walaupun berlainan fahaman atau agama.

"Malah, majlis fatwa memutuskan keturunan asal seseorang perlu dikekalkan kerana nasab mempunyai kaitan kukuh dengan sistem perundangan Islam, selain mengelak kekeliruan terutama membabitkan hukum syarak dan isu nikah kahwin," katanya selepas mempengerusikan perbincangan itu, di sini semalam.

Sambil memberi contoh, beliau berkata jika seseorang itu bernama Sami anak lelaki Raju, apabila memeluk Islam dia hendaklah mengekalkan namanya sebagai Sami bin Raju dan bukan Sami bin Abdullah.



Asri berkata, keputusan mengharamkan penukaran nama bapa atau keturunan, antara lain bertujuan mengelak timbul perasaan takut di kalangan penganut agama lain untuk mendekati Islam.

Beliau berkata, pihaknya sedar banyak keluarga bukan Islam merungut apabila kehilangan atau terputus hubungan dengan ahli keluarga selepas mereka menganut Islam.

"Ingin saya tegaskan di sini, penukaran nasab bukan syariat Islam tetapi hanya amalan yang diamalkan tanpa berlandaskan hukum syarak.

"Bagaimanapun, hari ini perbincangan dibuat majlis fatwa bukan dari segi perundangan, tetapi berkisarkan hukum. Justeru, itulah keputusan kami," katanya.

Dr Asri berkata, bagi mereka yang sudah memeluk Islam dan menukar nama asal dengan bin atau binti Abdullah, mereka mesti menukar semula nama bapa atau keturunan jika tidak membabitkan halangan dalam unsur perundangan seperti kad pengenalan atau dokumen diri.



Beliau berkata, fatwa itu yang berkuat kuasa di Perlis akan dibawa dan dibincangkan pada Majlis Agama Islam dan Majlis Fatwa Kebangsaan untuk diputuskan.

Satu kertas kerja sedang dibuat untuk dibentangkan kepada Majlis Agama Islam yang akan bersidang pada 1 April di Selangor.

Difahamkan, empat kertas kerja dibentangkan panel jemputan pada perbincangan kira-kira empat jam semalam di hadapan panel penilai terdiri daripada 13 ahli jawatankuasa majlis fatwa negeri itu.

Selain isu penukaran nama keturunan, majlis turut membincangkan kewujudan pelaburan internet yang diputuskan sebagai haram, isu perebutan jenazah, selain arahan mewajibkan semua masjid dan surau melaungkan azan subuh sebanyak dua kali.

Asri bagaimanapun enggan mengulas lanjut isu perebutan jenazah kerana tiada keputusan dibuat semalam dan ia dijangka dibincangkan secara lebih teliti dalam pertemuan akan datang, awal bulan depan.

"Semua laporan keputusan perbincangan akan diserahkan kepada Majlis Agama Islam Perlis sebelum arahan mewartakannya dikeluarkan," katanya.



Sumber : Berita Minggu Edisi 11-03-07



Kata Izalsyah; "bin Ahmad..."




No comments: