Ke Mana Arah Nieyl?

MAC ini menjadi detik penentuan buat tiga bintang Mentor 2. Kecuali juaranya, Fiq yang mengikat kontrak bersama EMI, perjalanan Nieyl, Kat dan Ayu masih menjadi tanda tanya.

Laluan mereka belum pasti namun bagi Nieyl, apa juga keputusannya nanti perjalanan harus diteruskan. Dia tidak akan mengalah andai ditakdirkan nanti, namanya digugurkan daripada syarikat rakaman antarabangsa itu.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket
Perjalanan seni Nieyl masih lagi menjadi tanda tanya.


“Kami mengikat kontrak selama tiga bulan dan setakat ini, saya kurang pasti apa perancangan seterusnya. Mungkin mereka mahu melihat potensi kami terlebih dulu. Perbincangan juga masih dibuat namun jawapan pasti belum diterima.

“Tetapi, jika tiada rezeki dengan EMI, Nurul (mentor Nieyl dalam program itu) ada berjanji akan mengambil saya bernaung di bawah syarikat rakamannya,” kata Nieyl ketika ditemui pada majlis pelancaran album Fiq dan Nieyl, baru-baru ini.

Justeru, kata Nieyl, dia cuba menyisih perasaan gundah itu dengan menumpukan dulu kepada komitmen yang sudah dipersetujui. Biarpun masih belum mempunyai album penuh, hanya melahirkan kompilasi album dan berkongsi dengan Fiq, bakat berusia 23 tahun itu mewah dihujani tawaran persembahan.

“Ia sudah cukup membuat saya gembira kerana bukan mudah untuk artis baru seperti kami mendapat ruang seperti ini,” katanya yang turut menjayakan siri persembahan sempena pelancaran Karnival Jom Heboh.

Sesekali apabila terluang Nieyl akan bertemu Nurul dan mendapatkan pandangan penyanyi itu. Akui anak kelahiran ibu kota itu, Nurul banyak membantunya merencana perjalanan karier biarpun siri Mentor sudah lama berakhir.



“Saya akui dapat menarik nafas lega dengan jaminan yang diberikan kak Nurul. Sudah lama saya mengimpikan peluang untuk bertapak sebagai penyanyi. Ruang itu sudah terbuka dan saya hanya perlu menggilap kerana tidak mahu peluang yang ada dipersiakan,” katanya.

Dan kerana Mentor juga, Nieyl kini meniti perubahan. Jika dulu, dia lebih bebas namun sejak dikenali langkahnya semakin terbatas. Walaupun tidak pernah menganggap dirinya sebagai artis, namun Nieyl amat menitikberatkan penampilan.

Jika dulu perwatakannya agak kasar tetapi kini, dia sudah berubah. Gaya feminin membangkitkan seri wajah gadis berkulit cerah yang sedang popular dengan lagu Andainya ciptaan Hadi Hassan itu.

“Paling utama, penampilan menerusi cara berpakaian dan komunikasi kerana dua aspek ini amat penting untuk membuat kita disenangi. Saya lebih berhati-hati kerana tidak mahu tersalah langkah,” kata gadis periang yang peramah ini.

Biarpun masih samar mengenai masa depannya sebagai artis rakaman, Nieyl tetap menyusun perancangan sendiri. Malah, proses pengumpulan material juga perlahan-lahan disusun. Antara komposer kegemarannya ialah Hadi Hassan dan Adnan Abu Hassan.

Dalam kompilasi Fiq & Nieyl, gadis kelahiran Ampang itu merakamkan tiga lagu termasuk Ingatan Manis Di Bulan September dan Persada, duet bersama mentornya, Nurul.





Tangguh kahwin demi cita-cita

TANGGAL 15 Januari lalu, genap setahun Nieyl bergelar tunangan kepada ahli perniagaan, Dazma Shah Daud. Perancangan asal mereka akan mendirikan rumah tangga tahun ini.

Bagaimanapun, kata Nieyl, melihat kepada perkembangan karier seninya yang makin mekar bertunas, hasrat ke jinjang pelamin terpaksa ditangguhkan dulu.

“Tunangan saya memahami, malah dia sendiri meminta perkahwinan kami ditangguhkan. Alhamdulillah, dia merestui cita-cita saya dan mungkin kerana mahu melihat saya terlebih dulu berjaya dia sanggup berkorban,” katanya.

Pun begitu kata Nieyl, dia memberikan tempoh dua tahun untuk mengejar impian.

“Sepanjang tempoh itu, saya berdoa moga hati ini tidak berubah. Saya menghargai pengorbanan serta sokongan Dazma dan berharap hasrat untuk bersatu di pelamin menjadi kenyataan juga nanti,” katanya.



Berkelulusan diploma dalam bidang kecantikan, Nieyl juga sibuk mengusahakan perniagaan salun kecantikan, Miracle Salon yang dibuka sejak setahun lalu di Cheras Baru.

“Dulunya salun ini dibuka di Hulu Langat namun sebaik mendapat lokasi baru, saya berpindah untuk memudahkan lagi urusan. Jika tidak terbabit dengan sebarang aktiviti seni, di sinilah saya menghabiskan masa.

“Itu semua sebagai persediaan kerana saya tahu rezeki anak seni ada pasang surut,” katanya.



INFO

NAMA: Nuriylia Jailani

UMUR: 23 tahun

ASAL: Kuala Lumpur

ADIK BERADIK: Anak bongsu daripada tiga beradik

HOBI: Menyanyi dan potong rambut

PENDORONG: Ibu bapa, keluarga dan rakan

PENYANYI KEGEMARAN: Siti Nurhaliza




Sumber : Berita Harian Edisi 16-03-07

Prepaid4U.Net Your Mobile Lifestyle

Kata Izalsyah; "Udah bertunang rupanya! Huh!"



No comments: