Karipap Internet - Jualan Dua Beradik Terpaksa Berhenti Sekolah

Dua beradik tak bersekolah, jual kuih tampung perbelanjaan seharian


 photo Karipap Internet_zpswmtsmyrn.jpg

Cheras - Menyedari kemiskinan keluarga yang tidak mampu membiayai persekolahannya, dua beradik sanggup tidak bersekolah sebaliknya berusaha mempelajari cara membuat kuih melalui internet sebelum menjajanya di sekitar kawasan rumah bagi menampung perbelanjaan harian keluarga.

Dua beradik berkenaan, Noor Danielle Abdul Malik, 17, dan Muhammad Idham Abdullah, 14 yang berlainan bapa memilih menjual kuih kerana itu saja cara untuk mendapatkan wang kerana ibu mereka, Norzulaini Mat Ali, 42, tidak lagi boleh lagi bekerja akibat menghidap penyakit saraf sejak setahun lalu.

Bapa tiri mereka, Mohd Azri Mat Nasir, 29, pula hanya bekerja sebagai buruh kasar dengan pendapatan tidak menentu.

Lebih malang, pada masa yang sama kedua-dua beradik ini juga perlu menjaga adik ketiga mereka, Noor Adrienna Putri Mohd Azri, 9, yang lumpuh separuh badan sejak dilahirkan.

Muhammad Idham atau lebih mesra dipanggil Adam berkata, dirinya berasa bertanggungjawab membantu keluarga kerana dia satu-satunya anak lelaki dalam keluarga itu.



"Saya sedar papa dan mama sudah berusaha lebih untuk memberi kami makan, tetapi setakat itu saja rezeki mereka dan saya tidak kisah untuk membantu," katanya.

Menurutnya, idea untuk menjual kuih timbul kerana itu saja cara yang ada kerana dia dan kakaknya tidak mungkin boleh diambil bekerja kerana masih di bawah umur.

"Kakak saya memang gemar melayari internet terutama jika mahu mendapatkan resipi masakan sebelum timbul idea untuk membuat kuih karipap dan apam kerana cara pembuatannya lebih mudah dan murah.

"Selepas berpakat, saya dan kakak memberitahu hasrat untuk menjual kuih kepada mama dan dengan modal RM20 yang dipinjam mama daripada rakannya, kami memulakan perniagaan itu," katanya ketika ditemui di rumah sewa ibu bapanya di Pangsapuri Pendekar Tun Razak, di sini semalam.

Adam berkata, sudah lebih setahun mereka menjalankan perniagaan membuat dan menjual kuih dengan meraih pendapatan bersih RM 30 sehari.

"Wang jualan ini akan diberikan kepada mama untuk perbelanjaan harian," katanya yang sudah berhenti sekolah sejak 4 tahun lalu.

Walaupun kadangkala cemburu melihat rakan sebaya yang lain bersekolah dan bermain, dia tidak mempunyai masa untuk itu kerana perlu membuat dan menjual kuih setiap hari.

Dia yang bercita-cita mahu menjadi pemain bola sepak profesional berkata, kerja membuat kuih bermula jam 10 malam setiap hari apabila dia dan kakaknya memotong ubi kentang sebelum dimasak untuk dijadikan inti karipap.

"Karipap yang sudah siap akan disimpan dalam peti sejuk dan digoreng mulai jam 3 petang. Saya dan kakak akan menjual kuih karipap dan apam bermula jam 5 petang di 6 blok kawasan pangsapuri berkenaan dengan menaiki tangga sehingga tingkat 5.

"Demi memberi keluarga sesuap nasi, saya tidak pernah rasa malu malah setiap langkah saya mungkin memberi pahala buat diri ini."

"Saya hanya bersekolah hingga tahun 4 berikutan terpaksa menjaga Noor Adrienna yang ketika itu disahkan lumpuh sebelah badan sejak lahir kerana tidak ada orang lain yang boleh membantu menjaganya.

"Disebabkan itu saya dan kakak menerima surat berhenti daripada pihak sekolah selepas sebulan tidak hadir kerana perlu menjaga adik yang lumpuh," katanya.

Sementara itu Noor Danielle berkata, dia masih mahu meneruskan persekolahan seperti remaja sebaya dengannya demi masa depan.

Katanya, dia tidak kisah sekiranya terpaksa mengulang semula memasuki tingkatan 1 selepas tidak bersekolah sejak 4 tahun yang lalu.

"Saya berhenti sekolah ketika belajar di tingakatan 1 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Gombak."

"Saya sudah tercicir Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta amat merindui zaman persekolahan," katanya yang bercita-cita mahu menjadi guru.

"Saya tidak malu belajar semula dengan budak bawah umur dengan saya, apa yang diharapkan sekarang saya dapat bersekolah semula dan mencapai cita-cita." katanya.


Sumber : Harian Metro Edisi 02-06-2015 bersamaan 15 Syaaban 1436H


No comments: